Monday, June 6, 2011

Penilaian kaedah P&P B.A


PENILAIAN UMUM:

UJIAN PERTENGAHAN SEMESTER = 30%

PEMBENTANGAN = 30%

TUGASAN BERTULIS = 40%

JUMLAH KESELURUHAN = 100% / 60%

PEPERIKSAAN AKHIR = 100% / 40%


PENILAIAN TERPERINCI:

1) PEMBENTANGAN 30%:


Pembentangan dilakukan secara berkumpulan. Semua kumpulan perlu menentukan tajuk masing-masing supaya tidak berlaku pengulangan tajuk. Setiap kumpulan akan membentangkan satu jenis kaedah pengajaran yang akan diaplikasikan untuk pelajaran bahasa Arab. Setiap ahli kumpulan akan menerangkan sejarah, konsep, ciri-ciri dan kelemahan kaedah pengajaran bahasa yang dipilih selain dari empat kaedah yang dihuraikan oleh pensyarah iaitu kaedah nahu dan terjemah, kaedah langsung, kaedah dengar dan tutur dan kaedah elektik. Setelah itu, ahli kumpulan hendaklah memilih satu tajuk pelajaran bahasa Arab yang sesuai diajarkan berdasarkan kaedah yang telah dipilih. Setiap kumpulan juga hendaklah menghantar satu sahaja salinan contoh rancangan pengajaran mikro harian sebelum pembentangan dilakukan. Penilaian akan dilakukan secara individu. Oleh itu, setiap ahli kumpulan wajib mempamerkan kreativiti dan daya penarik masing-masing ketika membentangkan tugasan.

2) TUGASAN BERTULIS 40%:

Tugasan ini ialah secara inidividu dan perlu dihantar dalam tulisan tangan. Tulisan mestilah jelas, kemas dan bersih. Markah juga akan diambil kira bagi aspek ini. Mukasurat untuk ulasan artikel tidak boleh melebihi 5 helai tidak termasuk muka hadapan dan mukasurat untuk rujukan. Untuk tugasan ini, pelajar boleh memilih antara dua bentuk tugasan ini:

1. Memilih satu jenis kaedah pengajaran bahasa kedua selain daripada kaedah-kaedah yang dibincangkan dalam kuliah, menghuraikan bentuk-bentuknya, kekuatan dan kelemahannya serta mengaitkannya dalam bidang pengajaran Bahasa Arab.

2. Mencari apa sahaja artikel Bahasa Melayu mengenai isu-isu dan permasalahan dalam bidang Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab. Ia boleh diperolehi dari majalah Dewan Bahasa, Pelita Bahasa dan Dewan Masyarakat serta laman web yang berkaitan. Kemudian pelajar perlu membuat ulasan tentang artikel yang telah dibaca dan dianalisa. Contoh tajuk artikel:
"Gerakan Merosakkan Bahasa Arab Tinggi" Majalah Dewan Masyarakat, Jilid 48, Bil. 2, Februari 2010 hlmn. 28-29."

Untuk ulasan artikel, sewaktu pelajar menghantar hasil masing-masing salinan artikel yang diambil mestilah dikepil bersama-sama dengan hasil anda untuk tujuan penyemakan oleh pensyarah. Sumber artikel mestilah ditulis di akhir mukasurat iaitu nama majalah, tarikh disiarkan, bilangan jilid dan mukasurat. Begitu juga dengan laman web, tarikh dan alamat laman web mestilah direkodkan.

PERHATIAN: PERLU DIINGATKAN SEKALI LAGI, TUGASAN BERTULIS IALAH TUGASAN INDIVIDU DAN WAJIB DITULIS DENGAN TANGAN!

Saturday, June 4, 2011

Kaedah P&P B.ARAB





Dalam subjek ini, tajuk-tajuk utama yang akan disentuh dan dibincangkan ialah:



1.
Definisi pendekatan, kaedah dan teknik dan aspek perbezaannya.
2  
Kaedah nahu dan terjemah: Sejarah, kelebihan dan kekurangan.
3.

Kaedah langsung: Sejarah, kelebihan dan kekurangan.

4.



Kaedah dengar dan tutur: Sejarah, kelebihan dan kekurangan.
5.
Kaedah elektik: Konsep, kelebihan dan kekurangan.
6.
Sistem sintaksis (nahw) bahasa Arab dan teknik pengajarannya.
7.
Sistem morfologi (sarf) bahasa Arab dan teknik pengajarannya.
8.
Sistem fleksi (i’rab) bahasa Arab dan teknik pengajarannya.
9.
Kemahiran pengajaran mikro dalam bahasa Arab.
10.
Strategi pembelajaran bahasa Arab: Jenis-jenis dan cara penggunaannya di kalangan pelajar.
11.
Pembentangan (pengajaran mikro): Kaedah pengajaran nahu bahasa Arab 1 (Pembahagian kalimah kepada Al-Ism, Al-Fi'l dan Al-Harf, Dhamir,  Gender dan Bilangan).
12.
Pembentangan (pengajaran mikro): Kaedah pengajaran nahu bahasa Arab 2 (Kana Wa Akhawatuha, Inna Wa Akhawatuha).
13.
Pembentangan (pengajaran mikro): Kaedah pengajaran sarf bahasa Arab 1 (Tasrif F'il Al-Madhi Wa Al-Mudhari' Al-Sahih).
14.
Pembentangan (pengajaran mikro): Kaedah pengajaran sarf bahasa Arab 2  (Tasrif F'il Al-Madhi Wa Al-Mudhari' Al-Mu'tal).



"It’s not enough that a person can speak a language. Teaching another person to do the same is a whole different matter".

Sunday, February 20, 2011

BAGAIMANA MENGUASAI BAHASA KEDUA?


Gambar hiasan
PENDAHULUAN

Alhamdulillah...kita telah sampai ke penghujung semester bagi para pelajar Diploma Pendidikan Islam. Bagi pelajar Daurah (Kursus bahasa Arab) pula, anda perlu teruskan usaha untuk memantapkan lagi penguasaan bahasa Arab samada dari sudut nahu ataupun pertuturan. Penguasaan sistem bahasa dan kemahiran menggunakan bahasa Arab melalui komunikasi lisan amat penting dan tidak boleh dipisahkan sama sekali. Ada pelajar yang menguasai nahu bahasa Arab tapi tidak mampu bertutur. Ada yang boleh bercakap tetapi banyak kesalahan bahasa yang dilakukan. Untuk menjadi pelajar bahasa Arab yang cemerlang dan seimbang, dia perlu tahu beberapa sistem Nahu yang kritikal (penting) dan pada masa yang sama bermotivasi untuk bercakap dengan tidak melakukan kesalahan global (iaitu kesalahan yang menjejaskan kefahaman seperti salah menyebut huruf Qaf dan Kaf pada perkataan Qalb=jantung/Kalb=anjing, serta huruf Zai dan Sin pada kata kerja Zara=telah menziarahi/Sara=telah berjalan).

BAHASA ARAB IALAH BAHASA SEDERHANA SUSAH DAN SENANG

Mungkin ada pelajar yang masih mengatakan bahasa Arab ialah bahasa yang paling susah. Sebenarnya setiap bahasa ada aspek yang senang dan susah. Bahasa Cina ialah bahasa yang agak sukar dari sudut penulisan sehingga pelajar Cina juga menghadapi kesukaran mempelajarinya. Bahasa Inggeris juga susah dari sudut spelling (ejaan) kerana apa yang dieja tidak sama dengan apa yang disebut. Sebab itu ada program "spell it right" yang disiarkan suatu ketika dahulu di televisyen Malaysia. Dari sudut jumlah huruf, bahasa Bangladesh pula mempunyai jumlah huruf yang lebih banyak daripada bahasa Arab iaitu sekitar 50 huruf. Penutur asli bahasa Bangladesh juga kadang-kadang tidak menghafal kaedah nahu bahasa itu dan melakukan kesalahan Manakala Bahasa Jerman mempunyai pembahagian kata kerja yang banyak. Sebutan huruf dalam bahasa Russia juga perlu disebut dengan teliti kerana sebutan antara huruf seakan-akan sama dan ini juga sama dengan sebutan perkataan dalam bahasa Cina. Dalam bahasa Cina,perkataan "Ma" jika disebut dengan sedikit intonasi yang berlainan akan berubah maksudnya. Dalam bahasa Cina sendiri terdapat puak yang menggunakan bibir ketika bercakap. Sudah tentu amat sukar untuk meniru lenggok dan gaya percakapan puak tersebut. Bahasa Melayu juga kadang-kadang sukar dipelajari terutamanya kepada pelajar bukan Melayu seperti penutur bahasa inggeris. Aspek yang susah dalam bahasa Melayu ialah imbuhan. Agak sukar bagi bukan Melayu menentukan imbuhan bagi kata kerja samada ber- atau me- atau meng- atau men-. Hal ini juga diakui oleh seorang sahabat saya berbangsa Chechnya ketika mempelajari imbuhan dan menyebut imbuhan untuk perkataan Pustaka-Perpustakaan.

Tetapi dalam bahasa Arab ada juga aspek yang senang kerana sebutan dalam bahasa ini sangat jelas kecuali beberapa huruf yang perlu ditebalkan dan dinipiskan. Bagi pelajar di Nusantara banyak perkataan Arab yang dipinjamkan dalam bahasa Melayu yang boleh dimanfaatkan dalam pembelajaran bahasa Arab. Selain dari itu, pembacaan Al-Quran dalam solat dan azan juga sedikit sebanayak dapat membantu kita menyebut ayat bahasa Arab dengan lebih lancar dan baik. Walaubagaimanapun, pelajar perlu menggandakan usaha untuk fokus kepada sistem yang agak berlainan dari bahasa Melayu khususnya ketika menggunakannya dalam pertuturan. Antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah MASA, JANTINA dan BILANGAN.

PERMINDAHAN POSITIF DAN NEGATIF

Untuk memanfaatkan persamaan antara perkataan bahasa Melayu dan bahasa Arab, perbezaan sebutan antara perkataan dalam bahasa itu sangat penting. Boleh dikatakan perkataan yang dipinjamkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu amat banyak tetapi sebutannya berlainan. Pemindahan positif berlaku dari sudut perkataan. Manakala pemindahan negatif akan berlaku jika cara menyebut perkataan Arab tidak mengikut kepada stress (penekanan kepada huruf mad khususnya). Apa yang dimaksudkan dengan peralihan negatif ialah kita memindahkan sesuatu unsur bahasa kita kepada bahasa kedua dengan menyalahi kaedah sebutan atau tidak mengetahui sistem nahu dalam bahasa yang dipelajari. Sebagai contoh, pelajar melayu tidak mengutamakan perbezaan nahu di antara jantina ketika berkomunikasi. Dari sudut sebutan orang yang mempelajari bahasa Melayu akan memindahkan unsur bahasa secara negatif apabila menyebut perkataan Perangai, Pembela, Persatuan, Beli, Belang, Semua kerana dia akan menyebut perkataan tersebut seperti ini Pirangai, Pimbila, Pirsatuan, Bili, Bilang, Simua disebabkan sebutan PE,SE atau SE tidak wujud dalam bahasa pelajar Arab itu. Walaubagaimanapun jika sistem sebutan dalam bahasa pertama seseorang itu ada persamaan dengan sistem sebutan dalam bahasa kedua yang dipelajarinya, dia akan melakukan pemindahan positif (positive transfer). Oleh itu, kemungkinan besar pelajar Sweden dapat menyebut perkataan "Perangai", "Pembela", "Semua" dengan betul dalam bahasa Melayu kerana terdapat cara sebutan yang sama antara Bahasa Melayu dan Sweden.

MAHER ZAIN BERLATIH NASYID DALAM BAHASA MELAYU?

Jika dilihat secara perbandingan mengenai sebutan vokal tadi, ia memberikan kita satu lagi hujah bahawa tidak ada satu pun bahasa yang paling susah di dunia ini. Dari sudut sebutan vokal, bahasa Arab merupakan bahasa yang paling mudah kerana ia hanya mempunyai sebutan vokal a, i, u. Berbeza dengan bahasa Melayu, bahasa kita mempunyai lebih dari tiga sebutan iaitu sebutan "e" pepet (seperti perkataan periuk) dan "e" taling (seperti perkataan merah). Dalam hal ini, Maher Zain seorang ikon muslim yang semakin meningkat namanya di persada seni antarabangsa, melalui temuramah jemputan dalam radio Sinar.FM bertarikh 22 Februari 2011, menggunakan strategi pemindahan positif dari satu unsur dalam bahasa pertamanya (bahasa Sweden) iaitu dengan berlatih cara menyebut vokal e "taling" untuk perkataan PEMBELA kerana terdapat persamaan menyebut vokal e dalam perkataan Sweden dan Melayu. Walaubagaimanapun, beliau masih mempunyai sedikit kesukaran untuk menyebut huruf "Dal" atau "D" mungkin disebabkan oleh pengaruh bahasa Arabnya yang menjadi salah faktor gangguan. Tetapi Maher Zain tetap terus berlatih untuk menyebutnya untuk memantapkan lagi lagunya bertajuk "INSYAALLAH" yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu. Oleh itu pelajar Melayu perlu bersyukur kerana lidah kita masih lagi fleksibel untuk menyebut perkataan yang tidak terdapat dalam bahasa kita. Siapa yang cakap bahasa melayu senang? Semua bahasa ada perkara yang susah dan senang! Yang penting perlu ada usaha dan kekuatan kehendak untuk belajar dan belajar lagi.


STRATERGI PEMBELAJARAN PELAJAR DIPLOMA DAN DAURAH


Di sini saya ingin menyentuh sedikit mengenai cara pembelajaran setiap pelajar diploma dan daurah. Cara belajar bahasa berbeza dengan belajar subjek yang lain. Belajar bahasa Arab atau apa juga bahasa kedua tidak sama corak pembelajarannya dengan subjek Fiqh, Aqidah atau Pengajian Islam. Mempelajari bahasa memerlukan fokus dan objektif yang jelas. Bagi pelajar diploma terutama yang mengambil subjek Bahasa Arab Komunikasi, tempoh masa agak singkat. Apa yang penting ialah anda perlu fokus dalam kelas dan ada motivasi untuk belajar walaupun kelas telah berakhir. Anda perlu sentiasa terus mendengar, membaca dan bercakap dalam setiap waktu bersama rakan-rakan. Ia bergantung kepada usaha individu. Belajar bahasa tidak ada short cut ataupun jalan pintas. Imam Syafi'e pernah mengatakan menuntut ilmu itu memerlukan masa yang panjang. Berlatih menggunakan bahasa Arab tidak terhenti dengan berakhirnya kelas. Gunakan tips-tips yang telah kita bincangkan dalam kuliah.

Bagi pelajar Daurah pula corak pengajaran dan pembelajaran agak berbeza. Kursus bahasa Arab dijalankan dalam bentuk intensif. Sebenarnya pembelajaran bahasa Arab atau apa juga bahasa asing/kedua perlu kepada penekanan yang dilaksanakan setiap hari. Ambillah peluang yang diberikan. Menguasai bahasa Arab juga bergantung kepada latihan dan pengulangan serta aktiviti bahasa yang memantapkan bahasa pelajar. Jika pensyarah sahaja yang bercakap, pensyarah sahaja yang akan menjadi mahir. Pelajar hanya menjadi pakar mendengar. Sepatutnya subjek Nadwah perlu digunakan sepenuhnya oleh pelajar. Aktiviti seperti public speaking, forum dan debat merupakan cara untuk menggilap bakat anda untuk bercakap dan berkomunikasi dengan lebih berkeyakinan kerana antara sebab seseorang itu tidak boleh bercakap ialah tiada keyakinan diri dan masih berfikiran negatif. Sikap negatif terhadap bahasa Arab perlu dibuang. Berfikir bahawa bahasa Arab ialah bahasa yang paling susah ialah pandangan yang tidak tepat.

HUBUNGAN ANTARA BILANGAN PELAJAR DAN MASA BELAJAR

Dalam kelas Daurah kita telah membahagikan kumpulan asal kepada kumpulan yang lebih kecil. Dalam bidang pemerolehan bahasa kedua (Acquaring Second Language/SLA), terdapat satu teori yang sangat penting. Disebabkan pembelajaran bahasa tidak sama dengan subjek yang lain, para sarjana dalam bidang pembelajaran bahasa kedua telah menetapkan satu teori yang tidak boleh diketepikan sama sekali. Terdapat hubungan berlawanan antara MASA dan JUMLAH pelajar dalam kelas bahasa. "SEMAKIN RAMAI JUMLAH PELAJAR BAHASA DALAM SESEBUAH KELAS, SEMAKIN SEDIKIT PENDEDAHAN MEREKA TERHADAP PENGUASAAN BAHASA, BEGITU JUGA SEBALIKNYA, SEMAKIN SEDIKIT JUMLAH PELAJAR SEMAKIN BANYAK PENDEDAHAN MEREKA TERHADAP BAHASA YANG MEREKA PELAJARI ITU". Dalam kelas bahasa, untuk memastikan keputusan yang terbaik, jumlah pelajar dalam kelas sepatutnya tidak boleh melebihi 20 orang. Lagi sedikit lagi baik. Setiap pelajar perlu diberikan perhatian yang khusus dalam menguasai bahasa. Lihatlah sejarah menguasai bahasa German oleh Tentera Amerika Syarikat sepertimana yang anda boleh rujuk dalam artikel saya:"Menguasai Bahasa Arab melalui Kaedah Tentera" (Klik pada "Kaedah Tentera" pada ruangan artikel). Sekumpulan tentera Amerika ketika Perang Dunia Kedua telah dibahagikan kepada kelas yang bersaiz kecil untuk menguasai bahasa German bagi tujuan perisikan pada tahap yang maksimum. Melonggokkan pelajar dalam jumlah yang sangat ramai menyalahi etika pengajaran dan pembelajaran bahasa. Saya sebagai pelajar sarjana yang pernah mengambil subjek kaedah pengajaran bahasa Arab sebagai bahasa kedua ketika belajar di IPTA dahulu amat menghormati teori hubungan berlawanan anta MASA dan JUMLAH pelajar yang disebutkan tadi.

Akhir kata: "PERFECT PRACTICE MAKES PERFECT"

Monday, January 17, 2011

Misteri Jumlah Ismiyyah dan Fi'liyyah


ANTARA AL-KALAM DAN AL-JUMLAH

Dalam kesibukan pasukan paranormal mencari kewujudan dan misteri entiti halus yang tidak berkesudahan, adalah wajar
kita membongkar misteri Sistem Ayat Ismiyyah dan Fi'liyyah dalam bahasa Arab. Alam halus tidak perlu dibuktikan dengan pancaindera. Iman dan kepercayaan tidak memerlukan bukti secara nyata. Nilai keimanan dalam Islam ialah mempercayai sesuatu walaupun kita tidak mampu melihat. Adapun misteri Jumlah Ismiyyah & Fi'liyyah, maka ia perlu dikaji kerana ia tidak ada kaitan dengan alam ghaib.

Berbalik kepada perbincangan mengenai Jumlah Ismiyyah dan Jumlah Fi'liyyah, kedua-dua bentuk ayat dalam bahasa Arab perlu diketahui dan digunakan oleh para pelajar bukan Arab. Dalam buku teks tahun 1, kita telah menekankan mufradat (vocab) asas dan beberapa kata nama maskulin (mudzakkar) dan feminin (muannath). Sebaliknya, buku teks tahun 2 menyentuh bentuk dan struktur yang lebih kompleks iaitu sistem ayat dalam bahasa Arab. Dalam bahasa Arab, ada dua istilah yang perlu dibezakan iaitu:

1. Al-Kalam.
2. Al-Jumlah.

Al-Kalam ialah Lafaz yang berganding dengan lafaz yang lain dan ia memberikan (manfaat) maksud kepada pendengarnya.(Al-Kalam Huwa Al-Lafd Al-Murakkab Al-Mufid Bil Wadh'ie). Manakala Al-Jumlah mempunyai pengertian yang sama tetapi kadang-kadang ia memberi maksud dan kadang-kadang ia tidak memberi maksud. Oleh itu setiap Al-Kalam itu Al-Jumlah, tetapi tidak semua Al-Jumlah itu Al-Kalam. menerusi buku teks tahun 2, kita mandapati banyak contoh Jumlah Ismiyyah diberikan. Persembahan dalam buku itu dimulakan dengan contoh kemudian definisi baru disentuh. Contohnya Takrif Isim, Fi'il dan Huruf dibincangkan pada akhir buku teks. Kaedah pengajaran yang digunakan dalam buku tersebut ialah Kaedah Istiqraiyyah.

ANTARA KAEDAH ISTIQRAIYYAH DAN ISTINTAJIYYAH

Terdapat dua kaedah untuk menghuraikan sesuatu perkara iaitu Kaedah Istiqraiyyah (Inductive Method) dan Kaedah Istintajiyyah (Deductive Method). Kaedah yang pertama bermaksud: "a process of using observations to develop general priciples about a specific subject". Dalam konteks pengajaran bahasa, kaedah ini bermula dengan memberikan contoh-contoh bahasa yang ingin digunakan oleh pelajar kemudian teori atau definisi diterangkan setelah pelajar mendapat bentuk sesuatu struktur bahasa. Adapun Kaedah Intintajiyyah, ia bermula dengan menerangkan teori tentang struktur bahasa dan kemudian contoh akan diberikan untuk memberi huraian dengan lebih terperinci.

Kaedah Istiqraiyyah sesuai digunakan oleh kita apabila ingin menyampaikan sesuatu kandungan bahasa itu kepada pelajar peringkat rendah. Kaedah kedua lebih sesuai digunakan oleh pelajar dewasa kerana pemikiran orang dewasa lebih kepada logik dan analisis.

KEGUNAAN JUMLAH ISMIYYAH DAN FI'LIYYAH

Kita mungkin akan tertanya-tanya kenapa perlu belajar kedua-dua sistem bahasa Arab itu? Sebenarnya Jumlah Ismiyyah diutamakan dahulu sebelum Fi'liyyah untuk tujuan menggunakannya dalam dialog dan pertuturan harian bagi memudahkan pelajar kita membuat perbandingan dengan sistem ayat dalam bahasa ibunda mereka. Bahasa Melayu sememangnya bermula dengan kata nama dan bukannya kata kerja. Jadi apakah pula kegunaan Jumlah Fi'liyyah? Jumlah Fi'liyyah perlu dikenali oleh pelajar untuk tujuan pembacaan bahan rujukan dalam bahasa Arab pada masa akan datang. Ini kerana boleh dikatakan 80 peratus penulisan bahasa Arab menggunakan ayat yang dimulakan dengan kata kerja (fi'il). Selain dari itu, melatih diri mengenali Jumlah Fi'liyyah akan mengukuhkan penulisan pelajar dengan memantapkan gaya bahasa Arab dalam kemahiran menulis. Jika Jumlah Ismiyyah dan Fi'liyyah dapat diseimbangkan dalam penulisan mereka, ini bermakna sentuhan bahasa Arab telah meresapi dalam jiwa pelajar sedikit demi sedikit. Antara kesalahan gaya bahasa di kalangan pelajar ialah menggunakan ayat ismiyyah sahaja dan mengetepikan ayat fi'liyyah. Mempelbagaikan penggunaan ayat akan memantapkan bahasa kita.

Selain dari itu, memahami susunan perkataan dalam sesuatu ayat sangat penting untuk membezakan sistem bahasa-bahasa di dunia. Dengan kata yang lebih mudah ayat yang dimulai dengan kata nama iaitu subject+verb+object (SVO) merupakan sistem yang dikongsi oleh Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Tetapi sususan bahasa Arab dan Hebrew(Ibrani) mempunyai ayat yang bermula dari kata kerja sekaligus merupakan jumlah fi'liyyah iaitu verb+subject+object (VSO). Jangan terkejut jika ada bahasa yang meletakkan verb di akhir ayat iaitu subject+object+verb (SOV). Bahasa-bahasa yang mengikut susunan ayat jenis ini ialah Bahasa Welsh, Jepun, Cina dan Bangladesh. Contohnya: Muhammad bola main (Muhammad main bola). Contoh untuk bahasa Cina ialah: "Zai tushuguan kan shu (Saya di perpustakaan baca buku)" Perkataan Kan Shu (Baca buku) diletak di akhir sesebuah ayat. Susunan perkataan dalam ayat-ayat tadi ini dianggap betul penggunaannya dalam bahasa-bahasa ini walaupun ia kelihatan agak janggal.

Demikianlah pentingnya membandingkan bentuk-bentuk ayat dalam bahasa yang kita pelajari. memahami susunan perkataan dalam bahasa yang tertentu merupakan cara kita memahami budaya sesebuah masyarakat dan memperkayakan lagi ilmu kita. Usaha memahami perbezaan struktur ayat dalam setiap bahasa bertepatan dengan seruan Al-Quran agar kita mengenali setiap perbezaan dalam budaya, cara berfikir, kecenderungan setiap bangsa di dunia.

قوله تعالى: «يا أيها الناس إنا خلقناكم من ذكر و أنثى و جعلناكم شعوبا و قبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله أتقاكم»

Sunday, December 5, 2010

DAURAH TAHFIZ AL-HIWAR


- Gambar hiasan.

Assalamualaikum. Salam sejahtera. Tidak lama lagi daurah atau kursus Bahasa Arab akan diadakan di MARSAH. Di Malaysia, pusat pengajian dan institusi Tahfiz Al-Quran telah berkembang dengan pesat. Satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Di sini saya ingin memberikan beberapa soalan iaitu:

1. Adakah kita mempunyai Ma'ahad Tahfiz Al-Hadith Al-Nabawi di Malaysia?
2. Adakah kita mempunyai Daurah/Kursus Bahasa Arab secara intensif di Malaysia?
3. Adakah kita mempunyai Ma'ahad Tahfiz Al-Hiwar Al-Arabiy di Malaysia?


Institusi yang ditubuhkan untuk menghafal hadith-hadith Nabi rasanya masih belum ditubuhkan secara serius. Satu cadangan yang perlu diambil perhatian. Manakala Kursus Intensif Bahasa Arab banyak diusahakan samada secara persendirian atau melalui syarikat motivasi ataupun menerusi kolej-kolej Islam di Malaysia. Apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah peranan kursus bahasa Arab yang dijalankan. Istilah "Menguasai Bahasa Arab" satu kenyataaan yang sangat umum. Apakah yang ingin dikuasai oleh pelajar yang mendaftar untuk kursus sebegini? Bahasa Arab mempunyai pelbagai cabang. Ilmu yang berkaitan dengannya juga boleh dibahagikan kepada Ilmu Nahu (Sintaksis) , Saraf (Morfologi), I'rab (Infleksi), Ilmu balaghah (Retorik dan Sastera) serta lain-lain lagi. Jika pelajar yang telah memperolehi sijil bagi kursus ini masih tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa itu dengan lancar, dia tidak harus dipersalahkan kerana tidak mungkin seseorang itu dapat menguasai bahasa Arab secara keseluruhan pada masa yang terhad ekoran banyak kemahiran yang perlu dikuasai iaitu kemahiran mendengar, bercakap, membaca dan menulis sebagaimana yang disarankan dalam kursus Bahasa Arab. Tidak mungkin mereka dapat menguasai kesemua kemahiran tersebut dalam tempoh yang singkat.

Pada pandangan saya, jika sesuatu kursus bahasa itu ingin dijalankan dalam masa yang singkat, penggunaan istilah untuk sesuatu kursus dan objektif yang terperinci dan memiliki nilai measurable or can be evaluated physically perlu difikirkan. Satu slot khas mengenai Attitude dan Aptitude terhadap Kepentingan Bahasa Arab juga akan dikuliahkan dalam bentuk yang boleh kita istilahkan sebagai PROPAGANDA BERSIFAT POSITIF untuk mengawal minda pelajar pada permulaan kursus tersebut. Justeru, nama kursus yang ingin saya cadangkan di sini ialah "Kursus Menghafal Dialog Bahasa Arab". Objektif yang ingin diperolehi ialah pelajar akan menghafal dan fasih berdialog dalam bahasa Arab dalam masa seminggu sebagai satu contoh. Konsep latihan yang akan digunapakai ialah konsep ala "total immersion" yang digunakan oleh kaedah tentera Amerika Syarikat semasa perang dunia kedua atau program yang dinamakan sebagai ASTP (Army Specialized Training Programme).

Konsep ini perlu dibina di atas objektif yang jelas dan akurat, pendekatan yang selari dengan teori komunikasi serta dilengkapi dengan teknik dan langkah yang tertentu. Dalam kursus "Mari Belajar dan Menghafal Dialog Bahasa Arab" contohnya, para pelajar akan didedahkan dengan dialog-dialog asas bahasa Arab dalam situasi yang pelbagai. Langkah yang seterusnya para pelajar akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan bersaiz kecil untuk latihan menuturkan ayat dalam dialog yang diberikan kemudian mereka akan diarah untuk menghafalnya dalam tempoh tertentu. Guru bahasa yang dilantik dan fasilitator yang fasih akan membantu menuturkan ayat dengan tepat dan betul. Setelah itu para pelajar akan menjalani aktiviti "TASMI'" sebagaimana Tasmi' Al-Quran dilakukan di ma'ahad-ma'ahad Tahfiz. Setiap hari pelajar akan diberikan dialog ringkas yang baru. Aktiviti tasmi' akan dibahagikan kepada beberapa waktu samada selepas solat subuh, solat maghrib atau sebelum memulakan riadah pada waktu pagi. Para pelajar yang tidak menghafal dialog akan dikenakan denda (sebagai contoh: mereka yang didenda perlu menulis kembali dialog bahasa Arab yang mereka pelajari sebanyak 3 helai beserta dengan baris), dengan tujuan penulisan akan membantu mengukuhkan hafalan struktur ayat Bahasa Arab dalam minda mereka. Para pelajar juga akan mengikuti aktiviti "outdoor" seperti riadah dan bersukan bagi menyeimbangkan tahap emosi, jasmani dan intelektual mereka.

Di samping itu, strategi pembelajaran juga amat penting. Setiap pelajar berbeza dari segi usaha untuk mempertingkatkan penguasaan mufradat (vocabulary) dan contoh ayat Bahasa Arab yang sering digunakan dalam kehidupan seharian. Bagi menyeragamkan strategi pembelajaran mereka, pelajar akan diberikan buku nota khas yang perlu digunakan untuk mengisi atau menulis apa saja ayat yang diberikan oleh pelatih. Semua aktiviti pelajar perlu dipantau dan dibantu oleh para fasilitator yang telah mendapat arahan dari ketua program.

Dengan ini diharapkan akan wujudnya satu kelainan yang diharapkan iaitu pelajar boleh bertutur dalam bahasa Arab setelah kursus selesai dijalankan. Teknik Hafalan yang digunakan secara berterusan oleh pelajar sepanjang tempoh kursus sekurang-kurangnya dapat dimanfaatkan pada masa-masa akan datang walaupun hafalan tidak semesti membolehkan mereka bercakap dalam Bahasa Arab secara spontan. Sekurang-kurangnya mereka berusaha untuk bercakap dengan mengenali gaya bahasa dan MENGENAL bentuk ayat Bahasa Arab serta mengukuhkan seni berbual-bual dalam Bahasa Arab di dalam alat pemerolehan bahasa mereka yang terletak di dalam setiap otak individu, atau apa yang dipanggil di dalam bidang psikolinguistik sebagai: "LANGUAGE ACQUISITION DEVICE" (LAD). Semoga kursus ini dapat menanamkan kemahiran berkomunikasi dengan penuh keyakinan dalam Bahasa Arab. MENGUASAI BAHASA PERLU KEPADA LATIHAN YANG SERIUS DAN BERTERUSAN. Tiada ubat atau suntikan khas yang boleh diisi dalam picagari doktor bagi menjadikan seseorang itu fasih berbahasa asing. Jika ada ubat khas sekalipun, ia bertentangan dengan konsep ta'aruf sepertimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran. Ta'aruf dalam konteks mengenali sesuatu bahasa memerlukan usaha yang gigih dan sifat saling hormat-menghormati antara satu dengan yang lain.

"PRACTICE MAKES PERFECT. WE LEARN HOW TO USE THE LANGUAGE NOT LEARN ABOUT THE LANGUAGE. THINK..."

Sekian.

Ditulis oleh:
Muhammad Hakim Rosly

JADUAL KULIAH 2011/2012











*SILA CLICK PADA JADUAL INI UNTUK PEMBESARAN. MAAF DI ATAS KESULITAN ANDA.


1. SUBJEK (12 JAM SEMINGGU):

A. KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA ARAB (KELAS 1, 2 DAN 3 / SEMESTER 3)

B. ULUM AL-HADITH (KELAS 2 / SEMESTER 3)

2. PENASIHATAN AKADEMIK (3 JAM SEMINGGU)

3. BUDAYA AL-QURAN (1 JAM -TILAWAH, TA'LIQ AL-AYAT DAN SOAL JAWAB)

Saturday, December 4, 2010

DAURAH TAHFIZ AL-HIWAR


- Gambar hiasan.

Assalamualaikum. Salam sejahtera. Tidak lama lagi daurah atau kursus Bahasa Arab akan diadakan di MARSAH. Di Malaysia, pusat pengajian dan institusi Tahfiz Al-Quran telah berkembang dengan pesat. Satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Di sini saya ingin memberikan beberapa soalan iaitu:

1. Adakah wujud di Malaysia Ma'ahad Tahfiz Al-Hadith Al-Nabawi?
2. Adakah wujud di Malaysia Daurah/Kursus Bahasa Arab secara intensif?
3. Adakah wujud di Malaysia Ma'ahad Tahfiz Al-Hiwar Al-Arabiy?


Institusi yang ditubuhkan untuk menghafal hadith-hadith Nabi rasanya masih belum ditubuhkan secara serius. Satu cadangan yang perlu diambil perhatian. Manakala Kursus Intensif Bahasa Arab banyak diusahakan samada secara persendirian atau melalui syarikat motivasi ataupun menerusi kolej-kolej Islam di Malaysia. Apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah peranan kursus bahasa Arab yang dijalankan. Istilah "Menguasai Bahasa Arab" satu kenyataaan yang sangat umum. Apakah yang ingin dikuasai oleh pelajar yang mendaftar untuk kursus sebegini? Bahasa Arab mempunyai pelbagai cabang. Ilmu yang berkaitan dengannya juga boleh dibahagikan kepada Ilmu Nahu (Sintaksis) , Saraf (Morfologi), I'rab (Infleksi), Ilmu balaghah (Retorik dan Sastera) serta lain-lain lagi. Jika pelajar yang telah memperolehi sijil bagi kursus ini masih tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa itu dengan lancar, dia tidak harus dipersalahkan kerana tidak mungkin seseorang itu dapat menguasai bahasa Arab secara keseluruhan pada masa yang terhad ekoran banyak kemahiran yang perlu dikuasai iaitu kemahiran mendengar, bercakap, membaca dan menulis sebagaimana yang disarankan dalam kursus Bahasa Arab. Tidak mungkin mereka dapat menguasai kesemua kemahiran tersebut dalam tempoh yang singkat.

Pada pandangan saya, jika sesuatu kursus bahasa itu ingin dijalankan dalam masa yang singkat, penggunaan istilah untuk sesuatu kursus dan objektif yang terperinci dan memiliki nilai measurable or can be evaluated physically perlu difikirkan. Satu slot khas mengenai Attitude dan Aptitude terhadap Kepentingan Bahasa Arab juga akan dikuliahkan dalam bentuk yang boleh kita istilahkan sebagai PROPAGANDA BERSIFAT POSITIF untuk mengawal minda pelajar pada permulaan kursus tersebut. Justeru, nama kursus yang ingin saya cadangkan di sini ialah "Kursus Menghafal Dialog Bahasa Arab". Objektif yang ingin diperolehi ialah pelajar akan menghafal dan fasih berdialog dalam bahasa Arab dalam masa seminggu sebagai satu contoh. Konsep latihan yang akan digunapakai ialah konsep ala "total immersion" yang digunakan oleh kaedah tentera Amerika Syarikat semasa perang dunia kedua atau program yang dinamakan sebagai ASTP (Army Specialized Training Programme).

Konsep ini perlu dibina di atas objektif yang jelas dan akurat, pendekatan yang selari dengan teori komunikasi serta dilengkapi dengan teknik dan langkah yang tertentu. Dalam kursus "Mari Belajar dan Menghafal Dialog Bahasa Arab" contohnya, para pelajar akan didedahkan dengan dialog-dialog asas bahasa Arab dalam situasi yang pelbagai. Langkah yang seterusnya para pelajar akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan bersaiz kecil untuk latihan menuturkan ayat dalam dialog yang diberikan kemudian mereka akan diarah untuk menghafalnya dalam tempoh tertentu. Guru bahasa yang dilantik dan fasilitator yang fasih akan membantu menuturkan ayat dengan tepat dan betul. Setelah itu para pelajar akan menjalani aktiviti "TASMI'" sebagaimana Tasmi' Al-Quran dilakukan di ma'ahad-ma'ahad Tahfiz. Setiap hari pelajar akan diberikan dialog ringkas yang baru. Aktiviti tasmi' akan dibahagikan kepada beberapa waktu samada selepas solat subuh, solat maghrib atau sebelum memulakan riadah pada waktu pagi. Para pelajar yang tidak menghafal dialog akan dikenakan denda (sebagai contoh: mereka yang didenda perlu menulis kembali dialog bahasa Arab yang mereka pelajari sebanyak 3 helai beserta dengan baris), dengan tujuan penulisan akan membantu mengukuhkan hafalan struktur ayat Bahasa Arab dalam minda mereka. Para pelajar juga akan mengikuti aktiviti "outdoor" seperti riadah dan bersukan bagi menyeimbangkan tahap emosi, jasmani dan intelektual mereka.

Di samping itu, strategi pembelajaran juga amat penting. Setiap pelajar berbeza dari segi usaha untuk mempertingkatkan penguasaan mufradat (vocabulary) dan contoh ayat Bahasa Arab yang sering digunakan dalam kehidupan seharian. Bagi menyeragamkan strategi pembelajaran mereka, pelajar akan diberikan buku nota khas yang perlu digunakan untuk mengisi atau menulis apa saja ayat yang diberikan oleh pelatih. Semua aktiviti pelajar perlu dipantau dan dibantu oleh para fasilitator yang telah mendapat arahan dari ketua program.

Dengan ini diharapkan akan wujudnya satu kelainan yang diharapkan iaitu pelajar boleh bertutur dalam bahasa Arab setelah kursus selesai dijalankan. Teknik Hafalan yang digunakan secara berterusan oleh pelajar sepanjang tempoh kursus sekurang-kurangnya dapat dimanfaatkan pada masa-masa akan datang walaupun hafalan tidak semesti membolehkan mereka bercakap dalam Bahasa Arab secara spontan. Sekurang-kurangnya mereka berusaha untuk bercakap dengan mengenali gaya bahasa dan MENGENAL bentuk ayat Bahasa Arab serta mengukuhkan seni berbual-bual dalam Bahasa Arab di dalam alat pemerolehan bahasa mereka yang terletak di dalam setiap otak individu, atau apa yang dipanggil di dalam bidang psikolinguistik sebagai: "LANGUAGE ACQUISITION DEVICE" (LAD). Semoga kursus ini dapat menanamkan kemahiran berkomunikasi dengan penuh keyakinan dalam Bahasa Arab. MENGUASAI BAHASA PERLU KEPADA LATIHAN YANG SERIUS DAN BERTERUSAN. Tiada ubat atau suntikan khas yang boleh diisi dalam picagari doktor bagi menjadikan seseorang itu fasih berbahasa asing. Jika ada ubat khas sekalipun, ia bertentangan dengan konsep ta'aruf sepertimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran. Ta'aruf dalam konteks mengenali sesuatu bahasa memerlukan usaha yang gigih dan sifat saling hormat-menghormati antara satu dengan yang lain.

"PRACTICE MAKES PERFECT. WE LEARN HOW TO USE THE LANGUAGE NOT LEARN ABOUT THE LANGUAGE. THINK..."

Sekian.

Ditulis oleh:
Muhammad Hakim Rosly

BERDAMPING DENGAN JIN? MENGAPA TIDAK DENGAN AL-QURAN? IA LEBIH BERMAKNA! Dapatkan buku yang diterjemahkan dan dimurnikan dalam b...