Wednesday, June 23, 2010

Sejarah Penulisan Hadith


MENGAPA SEJARAH INI PENTING?

Sejarah penulisan Hadith sangat penting untuk difahami oleh pelajar subjek Ulum Al-Hadith. Maklumat mengenai sejarah penulisan Hadith yang telah pun kita bincangkan bukan sekadar nota kuliah yang digunakan untuk peperiksaan. Sesetengah IPTA di Malaysia menawarkan subjek hadith yang lebih khusus bagi pelajar yang mengikuti jurusan Al-Quran dan Al-Hadith iaitu subjek "RECORDING OF SUNNAH" (Penulisan dan Pembukuan Hadith).

Antara kepentingan memahami sejarah tersebut ialah untuk menangkis serangan pemikiran orientalis dan gerakan anti-hadith. Gerakan anti-hadith juga menggunakan gelaran al-Quraniyyun yang tidak menerima hadith sebagai sumber perundangan Islam yang kedua.

Seorang orientalis berbangsa Inggeris-Scotland, Professor James Robson dalam kajian Ph.Dnya dalam bidang hadith mempertikaikan status hadith nabi. Beliau menganggap hadith pada zaman awal Islam tidak diambil berat oleh masyarakat Islam dan tiada kaitan dengan persoalan hukum dan perundangan. Penulisan hadith hanya berlaku semasa pemerintahan Abbasiyyah. Antara hujah yang dikemukan olehnya:

"People who knew him would be asked to tell stories about him. not for the purposes of laying a supply of material for the guidance of future generations, but merely to satisfy natural curiosity about a great man" (lihat: Beyanouni, Fathiddin, The Noble Hadith in the Early Days of Islam: A Critical Study of a Western Approach, (Kuala Lumpur: Research Centre International Islamic University Malaysia, 1st Edition, 2005), m/s 7.

Secara ringkasnya, Robson menganggap hadith tidak dipelihara pada zaman Nabi kerana ia bukannya perkara yang penting dan ia sekadar keinginan untuk mengetahui peribadi Nabi dan tidak lebih dari itu. Kenyataan Robson seolah-olah kelihatan ilmiah pada awalnya, tetapi jika diselidik dari perspektif sejarah hujah beliau hanyalah kata-kata kosong yang disaluti hiasan perkataan yang mengelabui mata masyarakat awam. Menurut beliau lagi, penulisan hadith berlaku lewat iaitu ia bermula pada zaman Imam Syafi'e bukannya era nabi Muhammad dan Sahabat.

Justeru, pelajar perlu mengetahui perkembangan penulisan hadith agar dapat menjawab tuduhan-tuduhan golongan orientalis yang berniat untuk menghancurkan Islam melalui pena dan pemikiran. Antara bukti kukuh yang menunjukkan generasi awal Islam menjadikan hadith sebagai hujah ialah usaha mereka menulis hadith di dalam lembaran-lembaran (sahifah/suhuf) seperti aL-Sahifah Al-Sadiqah yang ditulis oleh Abdullah bin 'Amru bin Al-As.

Abu Hurairah juga mempunyai naskhah hadith Nabi yang dikenali sebagai Al-Sahifah Al-Sahihah yang mengandungi 138 buah hadith. Kandungannya lengkap dalam dua salinan dengan tulisan tangan yang sama. Satu naskhah disimpan di Damsyik, Syria dan satu lagi di Berlin, Jerman.

Sila rujuk buku yang kita gunakan dalam kuliah untuk keterangan dan contoh-contoh yang lain dengan lebih lanjut.

No comments:

Post a Comment

BERDAMPING DENGAN JIN? MENGAPA TIDAK DENGAN AL-QURAN? IA LEBIH BERMAKNA! Dapatkan buku yang diterjemahkan dan dimurnikan dalam b...