Thursday, June 24, 2010

Pendekatan Komunikatif Bahasa Arab


PENDEKATAN KEPADA BAHASA ARAB

Dalam kuliah pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab pada minggu yang pertama, kita telah menganalisa kandungan buku teks bahasa Arab untuk peringkat rendah melalui pendekatan komunikasi. Begitu juga dengan orang awam yang ingin mempelajari bahasa Arab untuk tujuan perbualan. Untuk menguasai bahasa Arab objektif harus ditentukan dengan terperinci.

Terdapat dua objektif utama mempelajari bahasa Arab:
1. Untuk memahami kandungan Al-Quran dan Hadith Nabi (samada peringkat sekolah atau kelas-kelas tidak rasmi).
2. Untuk tujuan komunikasi (sebagai contoh perbualan semasa haji dan aktiviti pelancongan).

Terdapat juga individu yang berminat untuk mempelajarinya atas dasar minat yang mendalam supaya dapat berkomunikasi dalam bahasa itu dengan lancar. Jadi, apabila seseorang itu ingin bercakap dalam bahasa Arab dengan lancar, kandungan bahasa itu harus sesuai dengan matlamat individu itu. Pendekatan (Approach) juga perlu selaras dengan objektif.

Dalam pengajaran Bahasa Kedua terdapat beberapa pendekatan yang digunakan antaranya:
1. Humanistic Approach (Al-Madkhal Al-Insani).
2. Media-based Approach (Al-Madkhal Al-Tiqni).
3. Communicative Approach (Al-Madkhal Al-Ittisoli)
4. Analytical Approach (Al-Madkhal Al-Tahlili)


Di Malaysia, bahasa Arab biasanya diajarkan melalui pendekatan analisis bahasa (Analytical Approach). Pendekatan ini menjelaskan maklumat tentang bahasa dengan membahaskan teori sintaksis (nahu) dan morfologi (saraf) yang mempunyai pelbagai cabang. Bagi yang ingin mempelajari bahasa Arab untuk bercakap, pendekatan yang perlu digunakan ialah Pendekatan Komunikatif. Pendekatan ini berpegang kepada hipotesis yang mengatakan:

“Bahasa itu satu sistem untuk menjelaskan maksud tertentu dan fungsi utama bahasa ialah untuk merealisasikan hubungan antara manusia. Bahasa juga bukan sahaja bergantung kepada kaedah nahu, tetapi ia memerlukan pengetahuan tentang cara berhubung dalam situasi tertentu”.

Pendekatan ini diperkenalkan hasil dari teori yang dinamakan sebagai Communicative Competence bagi membezakan istilah Linguistic Competence yang dicadangkan oleh Noam Chomsky. Apa yang diutarakan oleh Chomsky hanya melibatkan keupayaan dalaman seseorang untuk memahami mengenai sistem dan struktur bahasa. Manakala istilah Communicative Competence menjurus ke arah keupayaan menggunakan bahasa dalam situasi yang berlainan.

Oleh itu, dalam buku teks bahasa Arab yang telah dibincangkan bentuk kata kerja (fi’il) yang didedahkan dahulu ialah fi’il mudhari’(present tense) dan kata ganti diri yang pertama dan kedua (dhamir munfasil iaitu ana, nahnu, anta dan anti). Sebagai satu perbandingan, buku-buku bahasa Arab yang tidak menggunakan pendekatan komunikatif akan menggunakan kata ganti diri yang ketiga iaitu huwa-huma-hum (dia). Setelah itu pelajar harus menghafal kesemua bentuk kata ganti diri untuk membezakan aspek bilangan (seorang/dua orang/ramai). Kata ganti diri yang pertama perlu didedahkan terlebih dahulu agar unsur-unsur bahasa dapat digunakan secara langsung dalam perbualan.

Walaubagaimanpun ciri-ciri nahu bahasa Arab yang asas dan beberapa perbendaharaan kata perlu didedahkan. Dalam buku teks tersebut beberapa perkataan Arab dan sistem nahu untuk maskulin dan feminin (mudzakkar dan muannath) dalam bahasa Arab diberikan untuk panduan bagi pelajaran seterusnya. Secara ringkas, unsur bahasa yang perlu diketengahkan pada peringkat permulaan ialah:
1. Kata ganti diri bahasa Arab (Ana-Nahnu-Anta-Anti).
2. Kata kerja (sedang berlaku) / Fi’il Mudhari’ untuk seorang lelaki dan perempuan.
3. Kata nama maskulin dan feminine yang perlu diselaraskan antara subjek dan prediket.

No comments:

Post a Comment

BERDAMPING DENGAN JIN? MENGAPA TIDAK DENGAN AL-QURAN? IA LEBIH BERMAKNA! Dapatkan buku yang diterjemahkan dan dimurnikan dalam b...