Wednesday, December 28, 2011

Memelihara Imej Islam dengan Memahami Bahasa Arab



- Gambar hiasan





Syabas dan Tahniah saya ucapkan kepada Exco Dakwah dan Tarbiyah Majlis Perwakilan Pelajar MARSAH di atas program dan ceramah perbandingan agama yang dianjurkan pada 15 Julai 2011 di Dewan 1 iaitu "Salah Tanggapan Terhadap Islam". Ceramah ini telah disampaikan oleh Saudara Lim Jooi Soon. Seorang bekas penganut Buddha dan Evangelikal Protestant. Beliau telah membuka mata setiap hadirin tentang beberapa perkara yang perlu difikirkan kembali seperti bertanya kepada diri sendiri: Adakah apa yang dipelajari di sekolah benar-benar merupakan fakta? Tidak kira dalam apa sahaja bidang, setiap perkara mestilah didasari dengan dalil dan bukti yang kukuh.

Dalam bidang sains, perubahan siang dan malam berlaku yang disebabkan oleh matahari terbit di sebelah timur dan terbenam di sebelah barat merupakan satu pandangan yang salah. Ia terjadi kerana putaran bumi di atas paksinya. Istilah "Alam Semulajadi" juga tidak benar kerana alam ini ada penciptanya dan bukan terjadi secara sendiri dan semulajadi. Manakala dalam bidang agama, sebenarnya jika mengikut kepada dalil yang tepat dan benar, orang bukan Islam sebenarnya boleh masuk ke dalam masjid, makan, minum dan membuat upacara keagamaan mereka. Hal ini dibuktikan ketika 60 perwakilan Kristian dari Najran dibenarkan melakukan demikian di dalam Masjid Nabawi (Sila buat kajian tentang sumber maklumat mengenai perkara ini bagi pelajar Ulum Hadith). Ini bermakna fakta mengenai haramnya orang non-muslim masuk ke dalam masjid adalah teori yang tidak benar.

Dalam program yang berlangsung selama lebih kurang 2 jam selepas solat maghrib, Saudara Lim Jooi Soon menjelaskan soalan-soalan yang sering dilontarkan oleh non-muslim kepada orang Islam bagi membuktikan Islam itu agama yang tidak adil dan berat sebelah kepada kaum lelaki. Setelah itu, beliau menjelaskan cara untuk menjawab kembali dengan dalil logik dan Al-Quran serta hadith. Apa yang menarik dan yang ingin saya kongsikan dalam blog ini ialah antara cara untuk menangkis kembali persoalan dan kritikan tanpa asas dari non-Muslim atau orang yang memusuhi Islam ialah dengan memahami BAHASA ARAB itu sendiri dengan baik.

Bagi menyampaikan maklumat tentang Islam dengan berkesan dan memelihara imej Islam dengan lebih baik, seseorang yang bergelar Muslim itu wajib mempelajari dan mamahami Bahasa Arab. Memahami Islam dari sumber yang asli dapat menjawab salah tanggapan terhadap agama Islam yang kita cintai ini. Antara contoh yang boleh dikongsikan berkenaan perkara ini ialah bagaimana jika kita ditanya: "Islam itu tidak adil. Dalam syurga golongan adam sahaja yang akan memperolehi bidadari. Bagaimana pula dengan kaum hawa? Ini tidak adil!!!" Soalan ini mungkin dijadikan isu berdasarkan ayat Al-Quran yang mulia ini:
مُتَّكِئِينَ عَلَىٰ سُرُرٍ مَّصْفُوفَةٍ ۖ وَزَوَّجْنَاهُم بِحُورٍ عِينٍ (Surah Al-Tur: 20). Maksudnya: "Mereka duduk berteleku di atas pelamin-pelamin yang berderet. Dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari (Hur) yang putih melepak, lagi luas cantik matanya" (Rujukan: Tafsir pimpinan Ar-Rahman).

Dari terjemahan ini perkataan bidadari berkemungkinan besar akan difahami sebagai perempuan-perempuan yang cantik bagi lelaki di syurga nanti. Namun adakah perempuan di syurga disisihkan> Itulah yang menjadikan bahan kritikan bagi non-muslim jika ayat ini tidak difahami dengan merujuk kepada Bahasa Arab. Sebenarnya, Hur dalam bahasa Arab jika diterjemahkan dengan lebih tepat ialah pasangan (spouse). Ini bermakna setiap lelaki dan perempuan di syurga akan mendapat pasangan masing-masing. Tiada isu dan masalah yang besar dalam persoalan ini. Ini adalah pandangan yang disampaikan oleh Saudara Lim. Tetapi bagi saya, sesiapa yang mengkritik Islam dan berat sebelah dalam masalah ini, dia perlu juga memerhatikan ayat-ayat Al-Quran yang lain. Perkataan Hur secara umum memang merujuk kepada bidadari yang putik melepak dan hitam biji matanya dan dikhaskan untuk para lelaki yang beriman. Jika kita cari ayat yang lain semua orang muslim tidak kira lelaki dan perempuan akan mendapat ganjaran masing-masing. Tiada diskriminasi antara kaum adam dan hawa. Allah memberikan ganjaran sesuai dengan fitrah masing-masing. Adakah logik jika seseorang lelaki itu mendapat hadiah minyak wangi perempuan jika dia menang dalam apa-apa peraduan? Adakah logik jika seseorang perempuan itu memperolehi hadiah seperti dompet kulit atau jam tangan lelaki?

Dari contoh yang kita berikan di sini, saya suka untuk mengaitkan persoalan tadi dengan pertanyaan dari pelajar saya berkenaan dakwaan yang mengatakan: "Malaikat orang Islam pengecut kerana tak boleh memasuki rumah yang mempunyai anjing dan gambar (patung)!!!". Contoh yang kedua ini juga boleh dijawab dengan mengembalikan terjemahan yang lebih tepat dari bahasa Arab dari hadith yang digunakan oleh sebahagian musuh Islam atau non-muslim mengenai hal ini. Dakwaan tersebut berdasarkan dalil dari hadith yang diriwayatkan dari Sahih Al-Bukhari iaitu:
لا تدخل الملائكة بيتا فيه كلب ولا صورة تماثيل. Maksudnya: "Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada anjing dan gambar berbentuk patung di dalamnya". Hadith ini wajar dijelaskan dari dua sudut iaitu sudut bahasa dan sudut aqidah. Sebenarnya Imam Nawawi pernah menghuraikan maksud perkataan Malaikat di dalam bukunya Syarah Sahih Muslim tetapi huraian beliau agak ringkas. Beliau mengatakan maksud Malaikat dalam matan hadith itu ialah Malaikat Rahmat dan Istighfar (Sekumpulan malaikat yang ditugaskan secara khas untuk mendoakan kerahmatan dan kesejahteraan orang-orang Islam dan Mukmin).

Seperti yang dibincangkan tadi, ilmu tentang bahasa Arab amat penting demi menjaga imej Islam agar tidak ditafsirkan sesuka hari. Jika dilihat kepada perkataan Malaikat dalam hadith sahih tadi, asal penggunaan perkataan tersebut ialah adanya Alif Lam pada perkataan Malaikat iaitu Al-Malaikah. Alif Lam yang dimasukkan dalam perkataan ini tidak merujuk kepada semua malaikat, tetapi hanya sekumpulan malaikat sahaja. Alif Lam ini dinamakan sebagai Alif Lam Li Ta'rif Al-Jins (untuk menyatakan sebahagian jenis sahaja). Dalam Bahasa Arab terdapat banyak penggunaan dan maksud Alif Lam antaranya yang lain ialah Alif Lam Lil Istighraq (untuk menyatakan keseluruhan jenis walaupun perkataan itu bersifat tunggal atau satu). Contohnya: Dalam surah Al-Asr, Allah menyatakan : "Inna Al-Insan Lafi Khusr". Perkataan Al-Insan walaupun merujuk kepada seorang manusia, tetapi ia merujuk kepada seluruh manusia walaupun Allah tidak menggunakan perkataan yang lebih jelas maksudnya iaitu Al-Nas (Kata Jamak bagi Al-Insan). Tetapi wujudnya Alif Lam pada perkataan Al-Insan merujuk adalah bagi merangkumi semua orang (Lil Istighraq). Jadi, sepatutnya terjemahan bahasa Melayu dalam hadith tadi perlu mengatakan: Sebahagian Malaikat yang diarahkan oleh Allah tidak akan memasuki rumah yang mempunyai anjing.

Begitulah jika kita memahami bahasa Arab dengan baik. Dari sudut aqidah, umat Islam wajib percaya jumlah malaikat lebih banyak dari manusia dan setiap malaikat ada tugas masing-masing. Semua malaikat hanya menurut perintah Allah. Tidak ada yang melnggar perintah-Nya. Jika Malaikat Rahmat dan Istighfar diarahkan untuk tidak memasuki rumah yang mempunyai anjing, ini tidak bererti mereka pengecut, tetapi menunjukkan mereka taat perintah Allah. Kalau nak diikutkan ada sahaja malaikat yang lagi mantap peranan mereka dan boleh menghancurkan manusia dalam sekelip mata seperti malaikat yang ditugaskan untuk mengambil nyawa dan yang mengawal orbit dan galaksi. Satu perbandingan juga boleh dibuat bagi menangkis dakwaan malaikat orang Islam pengecut. Cuba kita fikir, apabila sekumpulan askar perubatan yang lengkap bersenjata tidak dibenarkan masuk ke dalam sesetengah kem musuh, adakah ia bererti mereka bacul dan pengecut? Tidak sama sekali! Mereka boleh menyerang musuh bila-bila masa sahaja. Mereka hanya mendengar arahan yang diberikan. Dakwaan kedua ini boleh dijawab dalam perspektif bahasa, aqidah dan perbandingan logik sekaligus.

Kes ketiga yang ingin saya bawa di sini juga sangat penting bagi menjaga imej Islam terutama Al-Quran itu sendiri melalui kefahaman bahasa Arab. Satu ketika dahulu, perkataan "Salam" pernah dikontroversikan dalam e-mail dan facebook. Penggunaan salam dalam facebook dan sms dalam telefon bimbit tidak wajar digunakan kerana berdasarkan dalil yang digunakan dalam Al-Quran Surah Al-Zukhruf ayat 89 iaitu: فَٱصۡفَحۡ عَنۡہُمۡ وَقُلۡ سَلَـٰمٌ۬‌ۚ فَسَوۡفَ يَعۡلَمُونَ . Maksudnya (Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman: "Jika demikian, maka janganlah engkau (Wahi Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: "Selamat tinggallah! Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)". Berdasarkan ayat ini, ramai yang memperolehi mesej yang mengatakan kita tidak boleh perkataan salam, mesti mengucapkan salam secara penuh iaitu ASALAMUALAIKUM WA WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Sebagai seorang yang berfikiran kritis dan sihat, kita perlu melihat ayat Al-Quran dengan konteks yang lebih luas dan tidak menggunakan sebagaian sahaja ayat bagi menjadikan dalil bagi hujah tertentu. Sebenarnya perkataan salam dalam bahasa Arab mengandungi maksud yang tertentu. Lafaz Salam ialah lafaz musytarak atau polisemi (satu perkataan kadang-kadang mengandungi banyak maksud). Dalam ayat tadi ia bermaksud salam untuk menyindir atau mengucapkan selamat tinggal bagi orang yang tidak mahukan kebenaran). Dalam ilmu bahasa Arab dari aspek gaya bahasa, perkataan salam pada ayat tadi bererti salam lil mutarakah (untuk ucapkan selamat tinggal kepada orang yang ingkar). Jika kita bergantung pada ayat tadi sahaja, bagaimana pula dengan ayat lain yang mengandungi perkataan salam. Dalam Al-Quran ucapan salam juga ditujukan kepada Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan salam juga digunakan bagi memuji Malam Lailatul Qadar. Salam dalam konteks penggunaannya kepada Nabi dan orang yang beriman dinamakan sebagai Salam Tahiyyah (penghormatan) bukannya Lil Mutarakah (Selamat tinggal negatif). Baca dan teliti setiap tafsiran ulama tafsir pada ayat 89 Surah Al-Zukhruf tadi. Pada pandangan saya perkataan salam boleh digunakan dalam facebook atau sms jika ia bermaksud salam penghormataan. Jika tidak, hanya Allah sahaja yang dapat menilai niat hambanya. Jika perkataan Salam diharamkan penggunaannya, maka dengan ini syarikat Salam Phone terpaksa memikirkan nama syarikatnya yang baru! Namun, mungkin ada yang mengatakan Salam itu nama Allah.

Benar, ia merupakan salah satu Nama Allah. Tetapi Nama Allah perlu digandingkan dengan Alif Lam yang merujuk kepada Nama Allah secara khusus iaitu Al-Salam dan bergantung kepada konteks. Jika kita membicarakan tentang Al-Asma' Al-Husna maka apa yang dimaksudkan ialah Al-Salam iaitu Nama Allah yang mulia. Jika tidak ia mungkin merujuk kepada Salam Tahiyyah atau Salam Mutarakah. Kalau kita tak menerima hujah ini, bagaimana pula dengan nama sahabat kita seperti Hakim, Aziz, Karim dan Halim? Ia juga merupakan nama-nama Allah. Tetapi kenapa pula tidak diperdebatkan? Pengetahuan yang komprehensif dalam bahasa Arab dapat mengelakkan non-muslim mengatakan ayat Al-Quran itu saling bertentangan.

Dengan ini, jelas kepada kita perkataan dalam Al-Quran dan Al-Hadith perlu difahami melalui ilmu Bahasa Arab, bukannya terjemahan atau tafsiran mengikut sesuka hati. Al-Quran dan Hadith Nabi disampaikan dalam bahasa Arab yang jelas dan tinggi nilai bahasanya. Diharap penjelasan dari ketiga-tiga kes tadi akan dapat membuka minda kita agar sentiasa mempelajari Bahasa Arab untuk memahami Islam dan menyampaikannya dengan lebih dinamik dan jelas serta mengelakkan salah tanggapan masyarakat non-muslim dan tuduhan orientalis serta musuh-musuh Islam yang lain. Perbincangan ini juga menggalakkan kita memahami Islam berdasarkan dalil dan ilmu, bukannya ikut-ikutan kerana ISLAM IKUT-IKUTAN akan menghalang non-muslim dari menerima imej Islam yang sebenar dan memberikan salah tanggapan terhadap agama Islam yang mulia ini. Kepada Pelajar Diploma Pendidikan Islam, janganlah jemu untuk belajar Bahasa Arab dengan saya dan teruskan usaha anda!

No comments:

Post a Comment