Friday, June 4, 2010


KONFLIK POLITIK MENYUBUR BUDAYA ILMU

KEBANGKITAN ISLAM DAN PERANAN RASUL

Kebangkitan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w telah menghapuskan segala bentuk perselisihan dan penyelewengan dalam agama-agama sebelumnya. Tidak syak lagi ia merupakan agama yang benar dan paling rasional dengan mengalahkan setiap hujah-hujah agama terdahulu walaupun sebahagian golongan manusia berasa cemburu dan irihati (lihat Al-Quran: surah al-Saff ayat 9). Pembersihan aqidah dari sebarang bentuk kesyirikan menjadi matlamat dan dasar utama rasul terakhir yang diutuskan itu. Sistem kehidupan manusia sama ada dalam aspek ibadah dan muamalah telah diatur dengan sempurna selaras dengan kesesuaiannya pada setiap masa dan tempat tanpa memerlukan ‘expired date’ .


Sesetengah para sarjana barat menyifatkan kebangkitan Islam sebagai hasil rekaan seorang insan berbangsa Arab yang bernama Muhammad bin Abdullah dan berusaha untuk menyebarkan pengaruh bangsa Arab terhadap tamadun-tamadun lain. Al-Quran dianggap sebagai ideologi baru hasil pemikirannya. Jika benar, mengapa baginda ditentang oleh bangsanya sendiri dan kebanyakan para penyairnya mengiktiraf ketulenan wahyu tuhan dalam Al-Quran? Kebanyakan buku-buku sejarah barat juga mengistilahkan peranan nabi Muhammad s.a.w sebagai The Founder of a new religion. Kenyataan seperti ini perlu dikritik dalam memberikan pemahaman yang jelas terhadap kebangkitan Islam yang sebenar dan kejelasan peranan perutusan rasul terakhir itu kepada manusia.

Sebenarnya, apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah menghidupkan semula konsep asas yang diseru oeh rasul-rasul terdahulu. Membersihkan fahaman-fahaman syirik, menghapuskan perhambahan manusia sesama manusia dan menyeru kepada aqidah yang benar merupakan dasar utama perutusan rasul-rasul. Nabi Muhammad s.a.w juga membawa mesej yang sama. Tidak timbul istilah The Founder atau pengasas (pencipta) agama baru kerana sejarah umat Islam diasaskan semenjak kejadian alam bermula dan Adam diciptakan. Ia bukan bermula di zaman Arab jahiliyyah sebagaimana yang disangka oleh sesetengah orientalis barat.

Islam yang dibawa oleh nabi Muhmamd s.a.w ialah konsep tauhid yang selari dengan ajaran nabi dan rasul sebelumnya. Istilah ‘Muslim’ bukan khusus kepada umat nabi Muhammad sahaja. Sesiapa sahaja yang taat dan menyerahkan diri kepada perintah wahyu dinamakan Muslim. Malah, umat-umat terdahulu yang mengikuti ajaran rasul-rasul mereka dinamakan Muslim/ Muslimin. Al-Quran sendiri menjawab persoalan siapakah Muslim? Dalam surah ayat 71-72, Nabi Nuh adalah seorang muslim. Nabi Ibrahim juga seorang Muslim (surah Ali Imran: 67). Hawariyyun atau pengikut Nabi Isa juga disifatkan sebagai Muslimun (surah Ali Imran: 52). Oleh itu, sejarah agama Islam bermula sejak dahulu lagi bermula dari umat yang terdahulu, umat Nabi Muhammad s.a.w sehingga hari Kiamat. Diharap sedikit pengenalan ini dapat menjelaskan beberapa kekeliruan dan kesalahfahaman samada disengajakan atau disebabkan kejahilan.

Seterusnya perjuangan menyebarkan Islam diteruskan oleh generasi seterusnya di bawah naungan Khilafah Islam yang diasaskan selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w pada kurun pertama selepas hijrah (7 Masihi). Umat Islam telah menyaksikan pelbagai pemerintahan Khilafah Islam yang dipimpin oleh tokoh-tokoh Islam yang masyhur. Antaranya ialah pemerintahan pada zaman Khalifah Sahabat yang empat ( Abu Bakr, Umar, Uthman, Ali ), dinasti Umayyah, dinasti Abbasiyyah, dinasti Fatimiyyah dan dinasti terakhir iaitu dinasti Uthmaniyyah yang juga telah dihapuskan oleh Kamal Ataturk pada 1343 H/ 1924M.

Walaupun umat Islam telah melalui beberapa pertukaran kuasa politik, namun mereka berada di bawah naungan sistem politik yang sama iaitu Khilafah Islam. Perubahan tidak berlaku pada matlamat dan sumber-sumber pengambilannya, tetapi cara perlaksanaan Khilafah disesuaikan mengikut perubahan politik, ekonomi dan sosial pada zaman tersebut disebabkan beberapa faktor antaranya pertelingkahan politik sesama muslim, keluasan futuhat (pembukaan) kuasa Islam dan pertambahan bilangan manusia yang memeluk Islam.

KE ARAH PEMBENTUKAN DINASTI ABBASIYYAH

Antara zaman pemerintahan Khilafah yang menjadi perhatian ramai pengkaji sejarah muslim dan orientalis ialah zaman Khilafah Abbasiyyah (132-656H/750-1258M). Dinasti yang telah diperintah oleh 37 khalifah bertahan lebih dari 500 tahun dan mengalami beberapa perubahan positif yang meningkatkan taraf kehidupan masyarakat dalam pelbagai aspek samada dari segi politik,ekonomi, ilmu, sosial dan budaya. Zaman pemerintahan Abbasiyyah telah menyaksikan pencapaian tamadun manusia yang tinggi terutama dalam bidang ilmu sehingga diungkapkan sebagai Zaman Keemasan Islam.

Kebangkitan keluarga Abbasiyyah dalam menerajui kepemimpinan Khilafah juga dibantu oleh faktor-faktor pemangkin yang menyumbang ke arah kejayaan pembentukan dinasti ini. Sebelum terasasnya dinasti ini, umat Islam dan non-muslim menghadapi beberapa situasi yang membantu pembentukan Dinasti Abbasiyyah. Sebelum keluarga Abbasiyyah memegang tampuk pemerintahan, perluasan kuasa umat Islam yang dipimpin oleh Dinasti Umayyah telah menjangkau sehingga lembah Sind di sebelah timur dan Andalusia di bahagian barat. Perluasan kuasa ini berakhir pada awal kurun ke 2H/ 8M. Faktor ini memberikan peluang cerah kepada dinasti Abbasiyyah untuk melanjutkan lagi perluasan kuasa mereka.

Selain itu, dinasti Umayyah sedang melalui zaman kejatuhan kerana disebabkan oleh kelemahan sistem pentadbiran dan kewangan pada ketika itu. Kebanyakan gabenor dan pemimpin tertinggi yang dilantik oleh kuasa pusat terdiri daripada orang-orang Arab. Pada penghujung pemerintahan ini, jumlah umat Islam yang bukan berketurunan Arab semakin bertambah. Kebanjiran jumlah ini telah mendorong umat Islam tanpa mengira bangsa untuk mempersoalkan hak non-Arab dalam pentadbiran Khilafah. Oleh itu, mereka memerlukan sokongan padu untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Situasi pada akhir-akhir pemerintahan Umayyah juga tidak begitu stabil kerana mereka berhadapan dengan beberapa krisis politik. Puak Khawarij dan Syi’ah masih aktif dalam kegiatan menentang kuasa politik Umayyah. Penentangan ini turut membuka ruang campur tangan kepada puak penentang Umayyah dan memberikan faedah kepada keluarga Abbasiyyah untuk merebut kesempatan ini dalam membina dinasti baru bagi umat Islam. Satu revolusi dan perancangan yang tersusun untuk menjatuhkan Dinasti Umayyah diperlukan dan hasrat ini terlaksana apabila tentera Umayyah telah dikalahkan pada 132H/ 750M oleh para revolusi yang dipimpin oleh Abu Muslim Al-Khurasani.

Abu Al-Abbas bin Muhammad Al-Saffah telah menjadi Khalifah yang pertama pada 132H/ 750M. Abu Abbas Al-Saffah sebenarnya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan nabi Muhammad s.a.w. Selaras dengan hubungan kekeluargaan ini, slogan “ Ahlil Bayt ” yang digunakan oleh para revolusi sebelum kejatuhan dinasti Umayyah telah menarik ramai perhatian umat Islam dengan harapan kepemimpinan keluarga nabi berupaya meredakan situasi politik yang kritikal . Puak Syi’ah juga telah terpengaruh dengan dakyah ini, secara tidak langsung memberikan keuntungan kepada kepemimpinan Abbasiyyah.

MASALAH PEMBAHAGIAN KUASA POLITIK

Perluasan kuasa Muslim di timur dan di barat pada zaman Umayyah telah membuka pintu yang luas kepada proses integrasi antara tamadun Islam dengan tamadun-tamadun yang lain pada zaman Abbasiyyah. Kita dapat katakan bahawa umat Islam pada zaman ini menuju ke arah ketinggian tamadun manusia dalam pelbagai lapangan. Aktiviti perluasan kawasan jajahan tidak menjadi agenda utama. Sebaliknya, para pemimpin Abbasiyyah berusaha untuk memperbaiki sistem pentadbiran Khilafah dan memperluaskan lagi hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa besar yang lain.

Melalui sistem kuasa pusat (centralized system), khalifah Abbasiyyah berjaya mengawal kestabilan politik pada 100 tahun pertama pemerintannya. Namun, pada selepas 100 tahun pemerintahan Abbasiyyah, sistem kuasa pusat nampaknya tidak berupaya unutk mengekalkan kuasa Dinasti mereka. Ini disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah kawasan jajahan yang begitu luas menyulitkan lagi sistem komunikasi antara kerajaan pusat di Baghdad dan kawasan-kawasan yang berjauhan daripadanya. Di samping itu, kerajaan pusat perlu berhadapan dengan aktiviti-aktiviti puak pembangkang seperti Syi’ah yang berpusat Yaman, Tabaristan dan Afrika Utara Ibadiyyah juga muncul sebagai puak pembangkang setelah Khawarij dilemahkan. Mereka menjalankan akiviti penentangan dengan begitu aktif sekali di Oman dan Afrika Utara.

Faktor-faktor ini telah melemahkan sistem kuasa pusat dan ramai ahli sejarah cuba membahagikan zaman pemerintahan Abbasiyyah kepada dua bahagian iaitu zaman kegemilangan dan zaman kemerosotan (weakness/ disintegration). Sungguhpun begitu, terdapat juga penafian terhadap pembahagian masa pemerintahan ini. Alasannya ialah kemerosotan hanya berlaku dalam sistem pentadbiran yang lemah dan bukannya berlaku dalam keseluruhan aspek. Oleh itu, pandangan kedua ini membahagikan zaman pemerintahan Abbasiyyah kepada dua sistem pentadbiran iaitu zaman kuasa pusat ( centralized period ) dan zaman pembahagian kuasa ( decentralized period ). Dalam perkara ini, kita seharusnya melihat sejauhmanakah dua pendapat ini diletakkan di dalam konteks yang betul dan apakah sikap kita dalam memahami perkara ini?

Pada awal kurun ke 3H/ 9M, sistem kuasa pusat di Baghdad berjalan dengan baik dan lancar. Sistem kuasa pusat ini kemudian menjadi semakin lemah pada penghujung 3H/ 9M. Kuasa politik khalifah juga semakin berkurangan apabila gabenor-gabenor di luar pentadbiran Baghdad yang dilantik oleh kerajaan Abbasiyyah diberikan kuasa yang lebih untuk mengawal kestabilan Khilafah. Polisi yang cuba dilaksanakan oleh khalifah pada masa itu merupakan zaman yang dikatakan sebagai zaman pembahagian kuasa ( decentralized period ). Ini merupakan pandangan yang membahagikan pemerintahan Abbasiyyah kepada centralization dan decentralization.

Sebagai contoh, Khalifah Harun Al-Rashid telah melantik dan memberi kuasa politik kepada Ibn al-Aghlab, seorang ketua kaum berfahaman Sunni yang berpengaruh di Afrika Utara. Kuasa politik yang diberikan itu bertujuan untuk membantu Khilafah Abbasiyyah dalam menangani penentangan yang dilakukan oleh Syi”ah dan Ibadiyyah yang sangat aktif di utara benua tersebut. Melalui polisi yang dilaksanakan oleh Harun Al-Rashid, peranan Khilafah Abasiyyah dari segi fizikal ( physical leadership ) berkurangan namun fungsinya sebagai kepeminpinan spiritual ( spiritual leadership ) tetap diakui dan dihormati. Polisi ini sedikit demi sedikit membuka ruang kepada kaum-kaum lain yang berpengaruh untuk menikmati sebahagian kuasa politik dan ketenteraan yang diberikan oleh kerajaan pusat. Antara puak-puak lain yang memperolehi hak istimewa ini dari kurun ke-3H hingga kurun ke-6H ialah Tulunid dan Ayyubid di Mesir, Habbarid dan Samanid di lembah Sind, Hamadanid di Utara Iraq dan Seljuk Rum yang mendiami di kawasan sempadan empayar Byzantin.

Kuasa pusat di Baghdad juga tercabar dengan munculnya kerajaan Syi’ah yang dikenali sebagai Fatimiyyah di Afrika Utara dan kerajaan Umayyah di Cordova pada kurun ke-4H. Kurun ini telah menyaksikan persaingan merebut gelaran Khilafah antara 3 Abbasiyyah, Umayyah dan Fatimiyyah. Oleh itu bagi ahli sejarah yang membahagikan pemerintahan Abbasiyyah kepada period of strength and weakness, perselisihan politik ini menyumbang kearah zaman kemerosotan umat Islam. Tetapi meletakkan zaman kelemahan secara keseluruhan adalah tidak tepat memandangkan ia tidak menghalang kemajuan dan kekuatan umat Islam dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

KURUN KE-3H: PERKEMBANGAN ILMU PENGETAHUAN

Jika kita amati situasi umat Islam pada akhir-akhir kurun ke-3H sehingga kurun kurun berikutnya, kemajuan mereka dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan pembudayaannya tidak dapat disangkal. Hubungan antara kuasa besar samada melalui cara diplomatik, perniagaan atau peperangan telah menyumbang ke arah integrasi antara pelbagai tamadun. Tamadun Arab, India, Byzantin dan Parsi telah diintegrasi. Umat Islam telah mengambil faedah yang besar dari tamadun yang dibina oleh orng-orang Greek dan Rom. Semasa pemerintahan khalifah Al-Makmun ( 218-227H/ 813-833M ), pembebasan tawanan perang Kristian ditawarkan dengan syarat manusikrip Greek yang berada dalam penguasaan empayar Byzantin diberikan kepada kerajaan Islam sebagai pertukaran. Dalam masa yang sama, Eropah Barat masih lagi berada di dalam cengkaman feudalisme, kongkongan pihak gereja dan kehilangan sebahagian besar khazanah dari tamadun Greek dan Rom.

Aktiviti-aktiviti berteraskan ilmu pengetahuan berjalan dengan meluas sekali. Kelahiran tokoh-tokoh yang disegani dari kalangan ulama dan cendekiawan muslim dan penubuhan sekolah-sekolah serta perpustakaan yang terkenal juga bertitik tolak daripada kurun ke-3H hingga kurun seterusnya. Perhimpunan para ilmuan dari pelbagai bidang dan kepakaran diadakan khususnya semasa pemerintahan Harun Al-Rashid. Para Ulama dikalangan penyair (seperti Abu Nawwas dan Al-Abbas), Ahli Fiqh (seperti Abu Yusuf dan Al-Syafi’e), ahli bahasa (seperti Al-Kasa’I) dan ahli sejarah (seperti Al-Waqidi dan Al-Tabari) telah memberi sumbangan-sumbangan ilmiah yang sangat bernilai kepada umat Islam.

Perdebatan-perdebatan ilmu antara beberapa ulama dalam bidang yang sama atau berlainan juga berlaku, sebagai contoh perdebatan ahli bahasa antara Al-Kasa’I dan Sibawaih dan perdebatan ahli fiqh dan ahli bahasa antara Muhammad bin Al-Hasan dan Al-Kasa’I.
Kurun ke-3H juga mehirkan tokoh-tokoh ulama hadith yang terkenal di dunia Islam. Disebabkan pembudayaan ilmu berkembang dengan aktif dan sikap tanggungjawab dalam memerihara agama Islam, ulama-ulama hadith khususnya telah menghasilkan karya-karya agung yang amat berguna dalam pengkajian hadith-hadith nabi dan prinsip-prinsip pengambilan maklumat agama sehingga berupaya menghasilkan ilmu yang dikenali sebagai ‘Ulum Al-Hadith (Sciences of Hadith). Antara ulama hadith yang terkenal pada kurun ini ialah Muhammad bin Isma’il Al-Bukhari (194- 256H). Beliau berjaya menghasilkan kitab yang paling sahih selepas Al-Quran iaitu Sahih Al-Bukhari. Muhammad bin Isa Al-Tirmizi (209- 279H), Muslim bin Hajjaj Al-Nisaburi (204- 261H) juga merupakan ulama hadith yang sangat masyhur pada kurun ini. Begitu juga dengan Ibn Abi Hatim Al-Razi (240- 327H), beliau telah menghasilkan buku yang penting dalam bidang hadith dan perbahasan terhadap status para perawi hadith yang dinamakan kitab Al-Jarh Wa Al-Ta’dil.

Selain itu, pembinaan madrasah/sekolah-sekolah bagi tujuan pengajaran Al-Quran, hadith dan fiqh diutamakan. Sekolah sekolah perubatan dan untuk anak-anak yatim juga dibina. Bilangan dan pembahagian sekolah fiqh ialah yamg paling banyak jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah yang lain. Fiqh Syafi’e mempunyai 63 buah sekolah, diikuti dengan Fiqh Hanafi sebanyak 52 buah sekolah, Fiqh Hanbali sebanyak 11 buah sekolah dan Fiqh Maliki sebanyak 4 buah sekolah. Antara ulama yang terkenal dalam ilmu fiqh semasa pemerintahan Khilafah Abbasiyyah ialah seperti Abu Hanifah Al-Nu’man bin Thabit, Muhammad bin Idris Al-Syafi’e dan Ahmad bin Muhammad bin Hanbal.

Umat Islam juga tidak ketinggalan dalam bidang matematik, perubatan dan astronomi dari kurun ke-3 H hingga ke kurun-kurun seterusnya. Antara ahli astronomi Islam yang terkenal di dunia Islam dan dan dijadikan sumber rujukan dan inspirasi kepada sarjana-sarjana Barat ialah seperti AL-Khawarizmi (780- 850 M), Abu Ma’syar (787- 886 M), Al-Batani (858- 929 M), Abul Wafa (940- 998 M), Al-Haitham (965- 1038 M) Ibn Sina (kurun ke-11 M) dan ramai lagi. Tokoh-tokoh astronomi muslim ini bejaya mengutarakan beberapa teori bagi pergerakan planet, mencipta matematik untuk pengkajian astronomi, mereka dan mencipta alat-alat astronomi serta mampu menentukan qiblat dari segala tempat di bumi ini. Al-Batani yang telah disebutkan tadi dianggap sebagai ahli astronomi teragung sepanjang masa dan dikenang sebagai bapa astronomi moden. Beliau telah menghasilkan buku yang berjudul “Alzij Assabi” atau “al-Zij Al-Sabi”. Beliaulah orang pertama yang mengetahui pergerakan auja ( jarak terjauh sesebuah planet dari fokusnya) dan mengukur liukan tahunan bumi. Nama beliau kemudian dilatinkan kepada Albategnius. Ramai lagi nama tokoh astronomi Islam yang dilatinkan seperti Ibn Sina ( Avecinna), Al-Haitham ( Alhazen) dan Abu Ma’syar ( Albumasar). Tokoh ilmuan seperti Ibn Sina bukan sahaja menisbikan kepakarannya dalam satu bidang sahaja bahkan beliau juga mendalami lapangan-lapangan yang lain seperti perubatan, psikologi dan falsafah, tetapi nama beliau sangat masyhur dalam dunia falsafah.

Seterusnya tokoh-tokoh astronomi muslim dijadikan sumber inspirasi kepada sarjana-sarjana sains barat yang memberi sumbangan besar dalam perkembangan asas astronomi seperti Alfonso X (1223- 1284 M), Rogiomontanus (1436- 1476 M), Coppernicus (1473-1543 M), Cassini (1625- 1721 M) dan Newton (1642- 1727 M). Alfonso X sangat gigih menyebar astronomi muslim di Eropah dan Rogiomontanus pula telah memperkenalkan astronomi daripada tamadun Islam dan menterjemah ke dalam bahasa Latin.

Pada pandangan penulis, menentukan pembahagian waktu pemerintahan Khilafah Abbasiyyah kepada centralization- decentralization atau strength- weakness hanya menjadi perbincangan ‘ warung kopi ’ bagi golongan intelektual dan akademik. Golongan awam dan bawahan mungkin tidak dapat memahami dan mudah merasa bosan. Tetapi kita tidak wajar mengenepikan perbahasan mereka. Apa yang ingin diketengahkan di sini ialah sejauh manakah umat Islam hari ini dapat menghadapi cabaran dan kelemahan dalam masa yang sama tidak mengabaikan tanggungjawab mereka untuk terus mencari segala bentuk kekuatan yang ada khususnya dalam bidang ilmu. Krisis politik dan konflik dalam masyarakat samada dicetuskan oleh pihak luar atau sesama muslim berlaku dalam setiap generasi kerana ia menjadi perkara biasa dan berulang-ulang dan tidak dapat dielakkan. Kebangkitan tamadun dan keruntuhannya ialah hasil tangan-tangan manusia yang bertanggungjawab terhadap fenomena tersebut. Atau dalam erti kata yang lain, persefahaman dan krisis di antara manusia menyumbang ke arah bangun dan jatuhnya sesebuah masyarakat itu. Hari ini situasi yang dihadapi oleh umat Islam bertambah kronik dengan munculnya pelbagai krisis politik dan sosial serta keruntuhan etika dan nilai yang lebih kompleks.

KESIMPULANNYA

Walaupun berlaku kekecohan dan kemelut dalam perkembangan politik yang melibatkan sistem khalifah umat Islam, perkembangan budaya ilmu mendapat tempat di sebaliknya. Pada hakikatnya, budaya ilmu bertumbuh tidak semestinya semasa sosio- politik, budaya mahupun ekonomi berada dalam keadaan yang stabil. Sejarah tamadun Islam sudah menyaksikan ilmu dapat tumbuh dengan subur dalam kemelut tersebut. Maka, hari ini, kita perlu yakin bahawa tradisi ilmu mempunyai harapan, iaitu dengan cara pembongkaran kembali ilmu tradisi dan penerokaan baru wilayah ilmu walaupun kita berhadapan dengan ancaman ganas globalisasi dan kemerosotan akhlak manusia. Sesungguhnya, ilmu itu luas walaupun ditinta dengan tujuh lautan tidak akan habis juga. Oleh itu, umat hari ini perlu meyakini bahawa ilmu mesti menjadi keutamaan dan ini tidak mustahil.

No comments:

Post a Comment

BERDAMPING DENGAN JIN? MENGAPA TIDAK DENGAN AL-QURAN? IA LEBIH BERMAKNA! Dapatkan buku yang diterjemahkan dan dimurnikan dalam b...