Sunday, December 5, 2010

DAURAH TAHFIZ AL-HIWAR


- Gambar hiasan.

Assalamualaikum. Salam sejahtera. Tidak lama lagi daurah atau kursus Bahasa Arab akan diadakan di MARSAH. Di Malaysia, pusat pengajian dan institusi Tahfiz Al-Quran telah berkembang dengan pesat. Satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Di sini saya ingin memberikan beberapa soalan iaitu:

1. Adakah kita mempunyai Ma'ahad Tahfiz Al-Hadith Al-Nabawi di Malaysia?
2. Adakah kita mempunyai Daurah/Kursus Bahasa Arab secara intensif di Malaysia?
3. Adakah kita mempunyai Ma'ahad Tahfiz Al-Hiwar Al-Arabiy di Malaysia?


Institusi yang ditubuhkan untuk menghafal hadith-hadith Nabi rasanya masih belum ditubuhkan secara serius. Satu cadangan yang perlu diambil perhatian. Manakala Kursus Intensif Bahasa Arab banyak diusahakan samada secara persendirian atau melalui syarikat motivasi ataupun menerusi kolej-kolej Islam di Malaysia. Apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah peranan kursus bahasa Arab yang dijalankan. Istilah "Menguasai Bahasa Arab" satu kenyataaan yang sangat umum. Apakah yang ingin dikuasai oleh pelajar yang mendaftar untuk kursus sebegini? Bahasa Arab mempunyai pelbagai cabang. Ilmu yang berkaitan dengannya juga boleh dibahagikan kepada Ilmu Nahu (Sintaksis) , Saraf (Morfologi), I'rab (Infleksi), Ilmu balaghah (Retorik dan Sastera) serta lain-lain lagi. Jika pelajar yang telah memperolehi sijil bagi kursus ini masih tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa itu dengan lancar, dia tidak harus dipersalahkan kerana tidak mungkin seseorang itu dapat menguasai bahasa Arab secara keseluruhan pada masa yang terhad ekoran banyak kemahiran yang perlu dikuasai iaitu kemahiran mendengar, bercakap, membaca dan menulis sebagaimana yang disarankan dalam kursus Bahasa Arab. Tidak mungkin mereka dapat menguasai kesemua kemahiran tersebut dalam tempoh yang singkat.

Pada pandangan saya, jika sesuatu kursus bahasa itu ingin dijalankan dalam masa yang singkat, penggunaan istilah untuk sesuatu kursus dan objektif yang terperinci dan memiliki nilai measurable or can be evaluated physically perlu difikirkan. Satu slot khas mengenai Attitude dan Aptitude terhadap Kepentingan Bahasa Arab juga akan dikuliahkan dalam bentuk yang boleh kita istilahkan sebagai PROPAGANDA BERSIFAT POSITIF untuk mengawal minda pelajar pada permulaan kursus tersebut. Justeru, nama kursus yang ingin saya cadangkan di sini ialah "Kursus Menghafal Dialog Bahasa Arab". Objektif yang ingin diperolehi ialah pelajar akan menghafal dan fasih berdialog dalam bahasa Arab dalam masa seminggu sebagai satu contoh. Konsep latihan yang akan digunapakai ialah konsep ala "total immersion" yang digunakan oleh kaedah tentera Amerika Syarikat semasa perang dunia kedua atau program yang dinamakan sebagai ASTP (Army Specialized Training Programme).

Konsep ini perlu dibina di atas objektif yang jelas dan akurat, pendekatan yang selari dengan teori komunikasi serta dilengkapi dengan teknik dan langkah yang tertentu. Dalam kursus "Mari Belajar dan Menghafal Dialog Bahasa Arab" contohnya, para pelajar akan didedahkan dengan dialog-dialog asas bahasa Arab dalam situasi yang pelbagai. Langkah yang seterusnya para pelajar akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan bersaiz kecil untuk latihan menuturkan ayat dalam dialog yang diberikan kemudian mereka akan diarah untuk menghafalnya dalam tempoh tertentu. Guru bahasa yang dilantik dan fasilitator yang fasih akan membantu menuturkan ayat dengan tepat dan betul. Setelah itu para pelajar akan menjalani aktiviti "TASMI'" sebagaimana Tasmi' Al-Quran dilakukan di ma'ahad-ma'ahad Tahfiz. Setiap hari pelajar akan diberikan dialog ringkas yang baru. Aktiviti tasmi' akan dibahagikan kepada beberapa waktu samada selepas solat subuh, solat maghrib atau sebelum memulakan riadah pada waktu pagi. Para pelajar yang tidak menghafal dialog akan dikenakan denda (sebagai contoh: mereka yang didenda perlu menulis kembali dialog bahasa Arab yang mereka pelajari sebanyak 3 helai beserta dengan baris), dengan tujuan penulisan akan membantu mengukuhkan hafalan struktur ayat Bahasa Arab dalam minda mereka. Para pelajar juga akan mengikuti aktiviti "outdoor" seperti riadah dan bersukan bagi menyeimbangkan tahap emosi, jasmani dan intelektual mereka.

Di samping itu, strategi pembelajaran juga amat penting. Setiap pelajar berbeza dari segi usaha untuk mempertingkatkan penguasaan mufradat (vocabulary) dan contoh ayat Bahasa Arab yang sering digunakan dalam kehidupan seharian. Bagi menyeragamkan strategi pembelajaran mereka, pelajar akan diberikan buku nota khas yang perlu digunakan untuk mengisi atau menulis apa saja ayat yang diberikan oleh pelatih. Semua aktiviti pelajar perlu dipantau dan dibantu oleh para fasilitator yang telah mendapat arahan dari ketua program.

Dengan ini diharapkan akan wujudnya satu kelainan yang diharapkan iaitu pelajar boleh bertutur dalam bahasa Arab setelah kursus selesai dijalankan. Teknik Hafalan yang digunakan secara berterusan oleh pelajar sepanjang tempoh kursus sekurang-kurangnya dapat dimanfaatkan pada masa-masa akan datang walaupun hafalan tidak semesti membolehkan mereka bercakap dalam Bahasa Arab secara spontan. Sekurang-kurangnya mereka berusaha untuk bercakap dengan mengenali gaya bahasa dan MENGENAL bentuk ayat Bahasa Arab serta mengukuhkan seni berbual-bual dalam Bahasa Arab di dalam alat pemerolehan bahasa mereka yang terletak di dalam setiap otak individu, atau apa yang dipanggil di dalam bidang psikolinguistik sebagai: "LANGUAGE ACQUISITION DEVICE" (LAD). Semoga kursus ini dapat menanamkan kemahiran berkomunikasi dengan penuh keyakinan dalam Bahasa Arab. MENGUASAI BAHASA PERLU KEPADA LATIHAN YANG SERIUS DAN BERTERUSAN. Tiada ubat atau suntikan khas yang boleh diisi dalam picagari doktor bagi menjadikan seseorang itu fasih berbahasa asing. Jika ada ubat khas sekalipun, ia bertentangan dengan konsep ta'aruf sepertimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran. Ta'aruf dalam konteks mengenali sesuatu bahasa memerlukan usaha yang gigih dan sifat saling hormat-menghormati antara satu dengan yang lain.

"PRACTICE MAKES PERFECT. WE LEARN HOW TO USE THE LANGUAGE NOT LEARN ABOUT THE LANGUAGE. THINK..."

Sekian.

Ditulis oleh:
Muhammad Hakim Rosly

No comments:

Post a Comment