Friday, May 28, 2010


PERSPEKTIF BARU DALAM TAFSIRAN SURAH YASIN


KONTROVERSI SURAH YASIN DAN PENDIRIAN KITA


Al-Quran merupakan wahyu Allah dan mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w. Di dalamnya terkandung panduan dan ilmu pengetahuan yang sangat bernilai bagi umat manusia. Al-Quran sememangnya sentiasa dibaca oleh umat Islam setiap hari bagi memenuhi syarat dan rukun solat. Tidak dinafikan juga ada yang membaca Al-Quran kerana fadhilatnya (kelebihannya). Antara surah Al-Quran yang popular dikalangan masyarakat Islam di Malaysia ialah Surah Yasin. Surah ini dikatakan mempunyai fadhilatnya yang besar kerana ia merupakan hati Al-Quran. Biasanya surah ini dibaca pada setiap malam Jumaat dan juga dibaca kepada orang yang telah meninggal dunia. Tidak kurang juga yang menjadikannya perhiasan di dinding-dinding rumah.

Terdapat sebahagian kelompok umat Islam yang cuba menafikan fadhilat surah Yasin dan mengatakan ia bersumber dari riwayat yang lemah. Kita juga mendapati ada kritikan yang menyatakan membaca Yasin pada malam jumaat adalah bid’ah dan tidak dilakukan oleh Nabi dan para sahabat. Oleh itu, terdapat dua pendirian dalam isu ini. Golongan pertama terus mengagungkan pembacaan Yasin pada malam Jumaat, manakala golongan kedua terus melakukan kritikan terhadap kelemahan riwayat mengenai kelebihan surah Yasin. Hasilnya, Surah Yasin menjadi mangsa!

Oleh itu, apakah pendirian kita terhadap pertelingkahan kedua-dua pertembungan pemikiran tersebut? Sebenarnya tiada untungnya jika kita berdebat dan memberikan fokus yang terlalu mendalam dalam perkara ini. Pendirian yang menguntungkan umat Islam ialah beralih ke arah memahami dan menghayati tafsiran Surah Yasin. Itulah sikap yang adil dan sihat dalam masalah ini. Bagi jemaah Yasin seluruh Malaysia adalah wajar jika mereka melangkahkan kaki mereka untuk memahami kandungan yang tersurat dan tersirat dalam surah ini. Bagi kaki-kaki kritik terhadap amalan-amalan umat Islam di Malaysia, mereka juga dialu-alukan untuk mengkritik berdasarkan ilmu tetapi alangkah baiknya jika mereka membantu umat Islam menggali mutiara dan hikmah dalam surah yang agung ini.

Terdapat hadis yang lebih sahih mengkhususkan fadhilat surah-surah tertentu seperti kelebihan surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran. Secara umumnya membaca Al-Quran tidak kira apa sahaja surah akan mendapat ganjaran yang sangat besar. Abdullah bin Mas’ud telah berkata: Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang membaca satu huruf dari Al-Quran maka dia akan mendapat satu kebaikan (pahala), satu kebaikan itu digandakan dengan sepuluh lagi kebaikan, Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif itu satu huruf, Lam itu satu Huruf dan Mim itu satu huruf (riwayat Al-Tirmizi: no. 2835). Betapa besarnya ganjaran membaca Al-Quran! Tidak hanya membaca Yasin sahaja bahkan semua huruf dan surah dalam Al-Quran mempunyai kelebihannya tanpa sebarang diskriminasi!

PENAFSIRAN UMUM TENTANG SURAH INI

Tulisan ini hanya menyentuh beberapa penafsiran penting dalam surah Yasin. Para pembaca yang sudah pun tersentak dengan sikap yang disyorkan oleh penulis iaitu “dari pembacaan ke arah pemahaman Al-Quran” boleh membuat kajian terhadap surah ini dengan lebih lanjut. Terdapat beberapa sebab penurunan ayat dalam surah ini berdasarkan peristiwa yang pelbagai. Menurut Imam Al-Suyuti, ayat pertama 1 hingga 7 diturunkan ketika kaum Quraysh Mekah tidak berpuas hati dengan tindakan Nabi s.aw yang sedang mengeraskan bacaan dalam solat baginda dan cuba untuk mengambil tindakan keras terhadap baginda tetapi Allah menutup penglihatan mereka, maka turunlah ayat tersebut. Diriwayatkan juga bahawa ayat 8 dan 9 diturunkan ketika Abu Jahal ingin menyakiti Nabi. Apabila dia menemui kaum Quraisy mereka berkata kepadanya: “Ini dia Muhammad!” Abu Jahal berkata: Di mana dia? Di mana dia? Tetapi Abu Jahal gagal melihat Nabi, maka turunlah ayat 8 dan 9 (lihat: Lubab Al-Nuqul Fi Asbab Al-Nuzul, Beirut: Dar Al-Ma’rifah, 2001, ms. 248).

Berdasarkan sebab penurunan yang disebutkan tadi, isi utama surah ini bertujuan menyokong dakwah yang dijalankan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan menenangkan baginda dalam menghadapi kecaman dan pengingkaran kaumnya. Surah ini dimulakan dengan pengiktirafan Allah kepada kebenaran Al-Quran dan kerasulan baginda. Setelah itu, Allah menerangkan kepada baginda kisah para nabi dan rasul terdahulu yang ditentang dan dibunuh di sekitar kawasan Syam (menurut sesetengah riwayat). Allah memperlihatkan kepada mereka kejahatan kaum-kaum terdahulu yang mereka lakukan kepada nabi-nabi mereka kerana Allah telah menutup pintu hati mereka untuk menerima kebenaran. Sehingga ada seorang lelaki yang berlari dari ceruk negeri tersebut menyeru penduduk di situ supaya menuruti dakwah para rasul yang diutuskan. Malangnya, para rasul dan lelaki itu terus mendapat ancaman bunuh dari penduduk di situ. Apa yang penting bagi mereka ialah menyampaikan dakwah walaupun gagal.

Jika kita mendalami maksud yang tersirat dalam kisah tersebut ia sebenarnya meniup semangat umat Islam yang sedang menyampaikan dakwah khususnya pada zaman ini. Pada hari ini umat Islam diancam melalui pelbagai bentuk ancaman dan serangan. Tidak dinafikan corak penentangan hari ini berlaku juga dengan cara fizikal (peperangan) tetapi penentangan terhadap Islam lebih menjurus dalam bentuk serangan minda melalui media. Serangan berbentuk psikologi sedikit sebanyak melemahkan semangat umat Islam.

Adakah anda masih ingat penyiaran karikatur yang menghina Nabi Muhammad s.a.w pada 2005 oleh akhbar Jyllands Posten di Denmark? Penghinaan dan fitnah ini berpunca dari golongan kafir yang tidak percaya kepada kebenaran Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. Kalau umat dahulu menganggap Nabi orang gila dan ahli sihir, akhbar tersebut membayangkan Nabi seorang terrorist. Penghinaan terhadap Al-Quran secara khusus juga dilakukan oleh seorang wakil parlimen Parti Kebebasan Belanda iaitu Geert Wilders yang menerbitkan sebuah filem yang berjudul Fitna. Dalam filemnya itu dia menggambarkan Al-Quran sebagai kitab fasis dan membawa ideologi Hitler. Wilders juga secara terbuka menyeru agar Al-Quran diharamkan daripada memasuki negara Belanda. Pendirian yang biasa diambil oleh umat Islam untuk membalas serangan ini biasanya melalui dua saluran yang paling diminati ramai iaitu demonstrasi jalanan dan pemboikotan barangan. Memahami surah Yasin dengan lebih mendalam sebenarnya merupakan salah satu senjata untuk mempertahankan Al-Quran melalui pendekatan ilmu selain membacanya setiap malam Jumaat. Tidak mustahil kita boleh memanfaat tafsiran surah Yasin untuk memberi keyakinan kepada masyarakat Barat bahawa Al-Quran ialah satu kebenaran yang sangat nyata!

DUA KAEDAH AL-QURAN DALAM BERHUJAH

Jika kita amati surah Yasin dengan lebih terperinci, kita akan dapati Al-Quran menggunakan dua kaedah bagi memberi keyakinan kepada kebenaran Al-Quran. Kaedah asas yang digunapakai dalam Al-Quran untuk menetapkan sesuatu kebenaran ialah dengan menerangkannya melalui ayat-ayat yang bersifat penegasan tanpa sebarang kiasan. Ayat-ayat dalam surah ini dimulakan dengan sumpahan Allah yang membuktikan Al-Quran itu benar-benar wahyu diturunkan oleh Allah dan Nabi Muhammad s.a.w merupakan seorang rasul yang diutuskan. Firman Allah: ((Yaa, Siin, Demi Al-Quran yang mengandungi hikmah dan kebenaran yang kukuh, Sesengguhnya engkau benar-benar seorang rasul yang telah diutus!)). Ayat-ayat ini memberi peringatan secara lantang kepada orang-orang yang tidak beriman tentang kebenaran Al-Quran. Surah ini tidak hanya memberi manfaat kepada orang yang masih berada dalam kejahilan dan kekufuran sahaja, bahkan ia meniup semangat kepada umat Islam itu sendiri agar sentiasa membuktikan kebenaran Al-Quran dalam apa jua keadaan. Walaupun Islam dan Al-Quran dihina sepertimana yang berlaku hari ini, bagi yang sentiasa membaca dan memahami surah ini setiap minggu dia sentiasa berasa tenang kerana tugas umat Islam hanyalah menyampaikan Islam semampu yang mungkin.

Manakala kaedah kedua yang digunakan di dalam Al-Quran lebih mirip kepada membangkitkan persoalan sains dan ia selari dengan pendekatan kontemporari pada hari ini. Bagi sesiapa yang pernah membaca terjemahan surah Yasin, dia akan mendapati ayat-ayat dalam surah ini membangkitkan pelbagai isu-isu yang berkait rapat dengan sains dan fenomena alam. Lebih menarik lagi ia membincangkan kejadian-kejadian alam yang sangat menyeluruh kerana ia meliputi fenomena alam di bumi dan angkasalepas. Ayat 33-42 membincangkan pelbagai fenomena tersebut seperti penciptaan bumi, peredaran matahari dan bulan serta penciptaan setiap makhluk secara berpasangan. Kaedah yang kedua ini secara tidak langsung mampu membuktikan kebenaran Al-Quran kepada orang-orang yang berminat dengan aspek-aspek sains. Kaedah ini juga sedikit sebanyak dapat menundukkan sedikit keraguan kelompok yang menyembah sains dan teknologi serta menimbulkan persoalan dalam diri mereka: “Apakah teori-teori sains selari dengan apa yang diisyaratkan oleh Al-Quran?”

Berbicara mengenai aspek sains dalam Al-Quran penulis tertarik dengan ayat 38 dalam surah ini yang menerangkan pergerakan matahari. Al-Quran menggunakan ayat “wassyamsu tajri limustaqarrillaha” ketika menerangkan sebahagian sifat atau keadaan matahari di angkasalepas. Di dalam Al-Quran terjemahan bahasa Melayu, ayat “wassyamsu tajri” biasanya diterjemahkan samada kepada: “Dan matahari beredar”/“Dan matahari berlari”. Penulis juga mendapati beberapa terjemahan Al-Quran dalam bahasa Inggeris yang menterjemahkannya kepada: “The sun is running”/“And the sun runs”. Nampaknya kata kerja berlari tidak hanya dikhususkan untuk manusia atau haiwan, tetapi ia digunakan juga untuk sesuatu yang lain. Kita dapati pemilihan kata kerja tersebut seolah-olah memberi isyarat kepada kita untuk menghayati seketika maksud yang boleh dibincangkan melalui penggabungan perspektif bahasa dan sains.

Menurut Mansur Muhammad, seorang pengkaji kemukjizatan sains dalam Al-Quran, kata kerja (berlari) menunjukkan ia sesuatu yang benar-benar bergerak dan beredar di angkasalepas bersama-sama dengan planet-planet yang mengelilinginya dengan tarikan graviti. Kata kerja (berlari) bukan sahaja menunjukkan pergerakan sebenar matahari, tetapi ia menerangkan kepada kita betapa maha besarnya pergerakan dan kelajuan tersebut kerana (berlari) sememangnya menunjukkan sesuatu yang bergerak pantas jika dibandingkan dengan (berjalan/beredar). Penemuan-penemuan sains terkini juga menyokong kepantasan pergerakan ini dengan menyatakan matahari bergerak dengan kepantasan 19 kilometer persaat. Manakala kelajuan matahari bersama-sama dengan kumpulan planet-planetnya yang lain di sekitar pusat peredarannya dalam bimasakti bergerak dengan kepantasan 220 kilometer sesaat (lihat: Al-Kaun Wa Al-I’jaz Al-‘Ilmi Li Al-Quran, Kaherah: Dar Al-Fikr Al-‘Arabi, 1991, m/s 112). Jelas kepada kita surah Yasin yang kita baca selama ini boleh dihuraikan dengan pendekatan bahasa dan sains sekaligus. Tidak mustahil juga boleh dihuraikan lagi mengikut pendekatan yang lain bagi membuktikan kebenaran Al-Quran.

PERSPEKTIF BARU DALAM SURAH INI DAN SARANAN BAGI PEMINAT KAJIAN AL-QURAN

Tidak syak lagi surah Yasin yang kerap kita baca mempunyai pelbagai rahsia samada yang diketahui taupun tidak. Tidak salah jika kita membacanya tanpa disertai dengan kefahaman kerana membaca Al-Quran tetap menjadi ibadah. Tetapi pembacaan yang disertai dengan kefahaman sudah tentu memberikan keuntungan yang lebih. Ilmu dapat dipertingkat dan ganjaran pahala pasti lebih lumayan. Kepada yang berminat dalam kajian Al-Quran, mereka boleh mengambil surah Yasin sebagai bahan kajian bagi menarik minat masyarakat untuk menggali keunikan yang terkandung di dalamnya. Antara aspek yang menarik dalam kajian mengenai Al-Quran ialah ‘Ilm Al-Munasabat yang boleh diaplikasi kepada surah yang sedang dibincangkan ini.

Dari segi istilah, ‘Ilm Al-Munasabat ialah salah satu ilmu Al-Quran yang membicarakan tentang hubungan di antara ayat dan surah sebelum atau sesudahnya. Ilmu ini menjadikan ayat dan surah Al-Quran saling berhubungkait dengan begitu rapat dan menguatkan di antara satu sama lain. Ia juga membantu kita mengetahui sebab-sebab penyusunan ayat-ayat dalam Al-Quran. Walaupun Al-Quran diturunkan berdasarkan peristiwa tertentu selama 23 tahun, penyusunan ayat Al-Quran bukanlah sesuatu yang sia-sia ataupun suatu kebetulan (lihat: Mustafa Muslim, Mabahith Fi Al-Tafsir Al-Maudu’i, Syria: Dar Al-Qalam, 2000, m/s 58 dan 65-66). Imam Fakhruddin (meninggal 606 Hijrah), seorang ahli tafsir yang muktabar (yang diiktiraf keilmuannya) ada membincangkan hubungan di antara beberapa ayat dalam surah Yasin. Antaranya ayat-ayat mengenai kejadian bumi dan planet-planet lain mempunyai hubungan yang kukuh, iaitu bumi (tanah) sebagai keperluan dan planet sebagai perhiasaan. Bumi dan planet yang lain digandingkan bersama bagi menerangkan tingkatan keperluan manusia dari yang lebih utama (asas) kepada yang kurang penting. Selain itu, ketika pergerakan planet yang seakan-akan berenang di angkasalepas disebutkan, Allah juga menyertakan ayat yang menerangkan pergerakan kapal yang sentiasa berenang di lautan (lihat: Al-Razi, Al-Tafsir al-Kabir, Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, 2000, jil. 26, m/s 68). Banyak lagi aspek hubungan di antara ayat-ayat yang menarik dibincangkan di dalam karyanya itu dan lebih menarik lagi jika beberapa contoh pandangan ahli tafsir yang hebat ini dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Kepada mereka yang sering melibatkan diri dalam aktiviti bacaan Yasin, penulis menyeru sekali lagi agar surah itu difahami maksudnya. Sebagai langkah awal, sekurang-kurangnya mereka mula membaca terjemahannya. Pada masa yang sama penguasaan bahasa Arab sudah tentu dapat ditingkatkan. Mereka juga boleh memanfaatkan fiqh (kefahaman) surah ini seperti dua kaedah berhujah untuk mempertahankan kebenaran Al-Quran dan Nabi Muhammad s.a.w yang telah dijelaskan tadi. Langkah seterusnya ialah mendalami tafsiran surah Yasin semampu yang mungkin dengan membuat perbincangan mengenai tafsirannya secara berperingkat-peringkat agar fadhilatnya dapat digandingkan bersam-sama dengan ilmu dan pengajaran yang terkandung di dalamnya. Buku-buku tafsir Al-Quran seperti Tafsir Al-Azhar karya Prof Hamka wajar dimanfaatkan. Sememangnya memahami tafsiran Al-Quran sesuatu yang meletihkan, tetapi ia merupakan salah satu latihan otak (brain exercises) yang mampu menajamkan pemikiran umat Islam, selain dari mengamalkan kismis doa dan air jampi Yasin. Semoga cetusan pendapat ini menjadi pendorong kepada kita untuk meneroka lagi perspektif baru dalam surah-surah Al-Quran yang lain.

No comments:

Post a Comment

BERDAMPING DENGAN JIN? MENGAPA TIDAK DENGAN AL-QURAN? IA LEBIH BERMAKNA! Dapatkan buku yang diterjemahkan dan dimurnikan dalam b...