Friday, May 28, 2010


PERANAN BAHASA ARAB TINGGI DALAM MEMERIHARA HADITH

BAHASA MELAYU DAN BAHASA ARAB TINGGI

Ungkapan Bahasa Melayu Tinggi merupakan satu isu yang pernah dibangkitkan di dalam majalah Pelita Bahasa keluaran Julai 2009. Sememangnya ungkapan itu tidak dapat ditemukan di dalam mana-mana kamus linguistik. Walaubagaimanapun, istilah yang tidak kita ditemui di dalam kamus mampu diterima sebagai perkataan yang mampu menarik perhatian umum dalam menjelaskan sesuatu isu semasa berkenaan penggunaan bahasa.

Sedar atau tidak, ungkapan bahasa tinggi pernah digunakan sebelum ini. Sebilangan besar pelajar sekolah menengah beraliran agama peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Malaysia mengambil mata pelajaran Bahasa Arab Tinggi. Adakah Bahasa Arab Tinggi berbeza dengan Bahasa Melayu Tinggi? Pada pandangan penulis apa sahaja bahasa di dunia ini yang dikaitkan dengan ungkapan “tinggi” sudah pasti mengarah kepada pengiktirafan sesuatu bahasa sebagai bahasa perpaduan dan bahasa intelektual. Bahasa tinggi juga bukan sahaja menjurus kepada penggunaan di kalangan golongan terpelajar di dalam suasana formal, bahkan ianya juga dianggap sebagai bahasa untuk menyebar dan memelihara ilmu pengetahuan.

Dalam konteks negara Malaysia penggunaan Bahasa Melayu Tinggi dicetuskan oleh para penggiat dan professional bahasa bagi merawat kadar pencemaran bahasa yang semakin galak ekoran istilah Bahasa Melayu yang dicampur adukkan dengan istilah Bahasa Inggeris, selain untuk melawan faktor-faktor yang boleh merencatkan pembudayaan bahasa. Bagaimana pula dengan Bahasa Arab Tinggi yang diajar di peringkat SPM? Secara umumnya, pengajaran Bahasa Arab Tinggi bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap Al-Quran dan Hadis serta berusaha mempertingkatkan kemahiran pelajar untuk membaca karya-karya cendikiawan Islam silam, rujukan-rujukan bahasa Arab yang terkini, disamping menanam semangat cintakan bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran. Walaupun matlamat antara bahasa Melayu dan Arab dilihat berbeza dari segi ruang lingkupnya, tetapi pengiktirafan kepada ke-tinggi-an bahasa itu tetap ditonjolkan.

SERANGAN ORIENTALIS TERHADAP BAHASA ARAB STANDARD
Jikalau kedudukan dan ketinggian Bahasa Melayu terdedah kepada pencemaran bahasa rojak yang berleluasa dan merosotnya kesedaran tentang norma dan sistem bahasa kebangsaan, nilai ketinggian bahasa Arab juga pernah cuba digugat di dalam dunia Arab suatu ketika dahulu. Bahkan konflik yang berlaku di luar negara kita lebih hangat dari fenomena perdebatan bahasa yang berlaku di negara kita. Mari kita mengupas secara ringkas fenomena pertelingkahan antara Bahasa Arab Baku dan dialek-dialek pasar Arab serta kesannya kepada kedudukan Bahasa Arab Baku.

Gerakan untuk menghapuskan Bahasa Arab Baku telah dilakukan oleh beberapa tokoh orientalis barat seperti Wilhelm Spitta dan William Wilcooks yang banyak menulis mengenai seruan ke arah keperluan menghidupkan dialek-dialek Arab pasar yang pelbagai bagi menggantikan bahasa Al-Quran yang asal. Sebahagian golongan cerdik pandai Arab turut terpengaruh dengan dakyah orientalis antaranya ialah Salamah Musa, Abdul Aziz Fahmi dan Qasim Amin. (lihat: Dr. Farouq Sanitan, Al-Fusha Wa Nazariyyah Al-Fikr Al-’Ami, 1986, m/s 25).

Perlu dijelaskan di sini dialek Bahasa Arab atau bahasa percakapan hariannya sangat banyak dan berbeza dari negara-negara Arab bermula dari benua Afrika seperti Magribi dan Mesir, Semenanjung Tanah Arab seperti Arab Saudi, Yaman, Oman sehingga ke bahagian Timur iaitu Iraq dan Kuwait. Seruan ke arah mematikan peranan Bahasa Arab Baku disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama: Dialek-dialek pasar Arab secara logiknya lebih mudah dituturkan dan maksud yang disampaikan sangat ringkas dan pantas. Kedua: Kecenderungan media seperti majalah dan surat khabar yang mementingkan bahasa pasar bagi menarik minat masyarakat awam. Ketiga: Pengaruh penjajahan kuasa Barat yang mengurangkan nilai bahasa Arab asli dan kebudayaan masyarakatnya.

Orientalis barat dengan bantuan cerdik pandai Arab yang terpengaruh dengan pemikiran penjajah telah membentuk satu jawatankuasa untuk mengkaji secara ilmiah bagi mencipta kaedah penulisan dialek-dialek pasar dan tempatan. Huruf-huruf baru perlu diperkenalkan bagi menjayakan objektif tersebut untuk menggantikan huruf Arab yang asal. Hal ini akan mengakibatkan genosid terhadap Bahasa Arab yang digunakan dalam Al-Quran dan Hadis. Sekalipun demikian, Al-Quran tetap dipelihara oleh Islam kerana kitab suci tersebut telah terjamin keasliannya. Tetapi sumber kedua Islam iaitu Hadis sedikit sebanyak akan merasai kesan negatif tersebut. Ini kerana bahasa Arab standard dan bersifat “tinggi” berperanan dalam menjelaskan maksud hadis sebenar. Ia juga dapat menentukan keaslian dan kesahihan sesebuah hadis. Jika Bahasa Arab Standard dihapuskan, sudah pasti generasi muslim sedunia akan datang tidak mampu memahaminya dan maksud hadis akan mudah ditafsirkan dan diselewengkan sesuka hati.

BAHASA ARAB DAN HUBUNGANNYA DENGAN BIDANG HADIS
Berbicara mengenai Bahasa Arab dan bidang hadis, hubungan antara kedua-keduanya tidak dapat dipisahkan. Bahasa Arab Tinggi khususnya memainkan peranan penting untuk memelihara hadis dalam dua aspek penting iaitu: 1) Memastikan sesuatu hadis itu difahami sebaik mungkin oleh setiap muslim. 2) Memelihara sesuatu hadis itu dari pemalsuan dan pembohongan melalui kaedah periwayatan yang mementingkan penggunaan Bahasa Arab Baku. Oleh itu, usaha untuk menhapuskannya oleh beberapa golongan orientalis sudah pasti merosakkan kedua-dua aspek yang disebutkan tadi.

Bagi aspek yang pertama, kepentingannya sangat jelas yakni hadis yang diberitakan oleh Nabi perlu difahami oleh segenap masyarakat muslim di seluruh dunia. Sebagaimana yang kita maklum, dunia Islam merentasi setiap pelusuk dunia. Penggunaan Bahasa Arab Baku telah diiktiraf sebagai bahasa sejagat dalam peribadatan, pengajian Al-Quran dan Hadis, serta dijadikan bahasa ilmu terutama dalam bidang penulisan. Setiap masyarakat Muslim samada di Magribi, Turki, Iraq, India dan Nusantara bersatu di bawah satu bahasa untuk menjamin perpaduan dan kefahaman yang jelas terhadap kandungan yang disampaikan melalui hadis Nabi.

Aspek yang kedua pula lebih menjurus kepada memelihara Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dan intelektual. Secara lebih khusus, ia berperanan dalam memelihara cara dan kaedah dalam penyampaian serta penulisan hadis Nabi. Jika tidak kerana Bahasa Arab yang bersifat tinggi, maka pincanglah proses penyampaian dan pemahaman terhadap hadis. Sebenarnya proses pemeliharaan Bahasa Arab telah dilakukan semenjak awal lagi. Pemeliharaan tersebut juga berjalan seiring dengan pemeliharaan hadis dari penyelewengan.

Para sarjana linguistik Islam silam telah menetapkan kaedah dan asas-asas untuk mengiktiraf Bahasa Arab yang baku untuk membezakan perkataan-perkataan Arab yang asli dan perkataan-perkataan yang tidak asli dan diserap dari masyarakat non-arab seperti Parsi dan Mesir. Sebagai contoh, mereka mula memperkenalkan titik dan baris bagi perkataan Arab yang mempunyai fungsi-fungsi tatabahasa tertentu. Proses ini sejajar dengan proses pengumpulan dan penyampaian hadis yang dilakukan bagi membezakan hadis yang benar dan yang palsu (lihat: Dr. Hammam Abdul Rahim, Al-Tamhid Fi Ulum Al-Hadis, 1990, m/s 71-72). Justeru, bahasa Arab dan bidang hadis saling melengkapi antara satu sama lain.

Di sini penulis ingin berkongsi maklumat beberapa contoh mengenai peranan Bahasa Arab Baku dalam memelihara keaslian hadis, di samping menjelaskan ketepatan dan kejelasan maksudnya. Dalam keadeh menyampaikan hadis, ungkapan “Haddathana” dan “Akhbarana” mempunyai maksud yang tersendiri yang hanya boleh difahami melalui Bahasa Arab Baku. Haddathana dan Akhbarana biasanya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu seperti berikut: “Telah menceritakan kepada kami”. Perbezaan antara keduanya ialah ungkapan pertama bermaksud seorang guru atau penyampai hadis memceritakannya kepada pendengar secara lisan. Manakala ungkapan kedua bererti penuntut hadis membacanya sambil didengari dan diawasi oleh guru hadis. Kedua-dua ungkapan tadi sangat penting kerana selain membezakan maksudnya, ianya menjamin kesinambungan rangkaian penyampai hadis kepada generasi seterusnya. Ini bermakna Bahasa Arab Baku mempunyai nilai makna yang tersirat dan mampu menjelaskan sesuatu konsep dalam disiplin ilmu tertentu.

Bahasa Arab yang dituturkan oleh Nabi Muhammad juga mempuyai nilai keindahan dan kesantunan bahasanya. Melalui penggunaan Bahasa Arab yang fasih, kedudukan sesuatu hadis dapat ditentukan samada ia palsu ataupun benar. Kelemahan gaya bahasa dan makna sesuatu hadis dapat diketahui melalui penggunaan perkataan dalam sesuatu ayat. Sebagai contoh yang mudah, perhatikan dua hadis ini: 1) “Aku adalah sebahagian dari nasi dan nasi adalah sebahagian dariku”. 2) “Janganlah kamu memakan labu sehingga kamu menyembelihnya”. Kedua-dua hadis ini berstatus palsu menurut para sarjana hadis kerana ia mempamerkan gaya bahasa yang tidak enak didengar dan tidak padan dengan sifat dan peribadi seorang Nabi (Ridiculous kind of Attribution and Inadequate in its style).

Tidak dapat dinafikan peri pentingnya bahasa tinggi dalam sesebuah masyarakat. Ia menjadi bahasa pemelihara, bahasa pemersatu dan bahasa ilmu. Bahasa Arab yang “tinggi” penting bagi menjamin nilai keilmuan dan kesatuan bagi masyarakat Islam secara khusus. Kepada rakyat Malaysia umumnya, Bahasa Melayu Tinggi pula perlu dilihat sebagai agen perpaduan linguistik dan pembudayaan bahasa. Seharusnya kita bersyukur kerana Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dalam perlembagaan negara. Sesetengah negara lain menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi seperti yang berlaku di Kenya dan Nigeria.

No comments:

Post a Comment

BERDAMPING DENGAN JIN? MENGAPA TIDAK DENGAN AL-QURAN? IA LEBIH BERMAKNA! Dapatkan buku yang diterjemahkan dan dimurnikan dalam b...