Friday, May 28, 2010


MENGUASAI BAHASA ARAB MELALUI KAEDAH TENTERA


PERLUKAH ILMU-ILMU ISLAM DIAJAR DALAM BAHASA ARAB?


Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang mula dicadang dan dilaksanakan pada 2003 mencetuskan pelbagai pandangan dan kritikan. Pihak yang menentang pelaksanaan dasar tersebut melihat isu ini berpunca dari krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kebangsaan. Bagi yang menyokong pula, dasar itu dilaksanakan agar para pelajar dapat berfikir dan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik. Antara hujah yang lain ialah istilah sains dan matematik dalam bahasa Inggeris lebih lengkap berbanding bahasa Melayu yang masih kekurangan dan terhad, serta bahan rujukan dalam bahasa Inggeris juga lebih meluas. Justeru, pelajar perlu menguasai bahasa tersebut agar mampu bersaing dalam arus globalisasi dan teknologi yang semakin sengit.

Jika bahasa Inggeris wajib dikuasai untuk meningkatkan pengetahuan sains, maka logik yang sama juga boleh digunakan kepada persoalan ini: Adakah penguasaan bahasa Arab yang kukuh dapat melahirkan generasi muslim yang benar-benar memahami ilmu-ilmu Islam seperti Fardhu Ain di peringkat rendah dan Pendidikan Islam di peringkat menengah? Adakah pengajaran dan pembelajaran matapelajaran tersebut perlu dilaksanakan dalam bahasa Arab? Jika bahasa Inggeris lebih terkehadapan dalam soal sains dan teknologi, bahasa Arab pula menjadi bahasa yang penting dalam bidang keagamaan. Rujukan bahasa Arab mengenai isu-isu agama juga lebih berkembang pesat mendahului rujukan dalam bahasa Melayu.



KEDUDUKAN BAHASA ARAB DI SISI UMAT ISLAM

Tidak dinafikan hubungan antara Islam dan bahasa Arab amat kukuh. Al-Quran diturunkan dalam bahasa itu sebagai risalah akhir yang menjadi petunjuk kepada seluruh manusia. Dalam Surah Yusuf ayat 2, Allah menjelaskan: “Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya”. Dalam ayat ini seruan menggunakan akal untuk memahami Al-Quran dititikberatkan kerana ia perlu difahami dengan sebaik-baiknya. Sudah tentu umat Islam yang bukan berbangsa Arab wajar menggandakan usaha mereka untuk memahami Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab.

Itulah kedudukan bahasa Arab di sisi umat Islam. Islam dan bahasa Arab tidak dapat dipisahkan. Jika orang yang menguasai bahasa Inggeris dipandang tinggi dalam dunia sains dan teknologi, seorang muslim yang menguasai bahasa Arab juga sudah pasti mendapat tempat yang sama. Lebih membanggakan lagi jika setiap orang Islam mampu memahami sumber-sumber asli Islam seperti rujukan fiqh, tafsir, hadith, falsafah dan tasawuf. Lalu, adakah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran apa sahaja ilmu berkaitan Islam dalam bahasa Arab perlu diperkenalkan bagi melahirkan generasi muslim yang berkualiti?

Sudah pasti cadangan tadi mengundang bantahan dari pelbagai pihak terutamanya para pecinta bahasa kebangsaan. Penulis berpendapat ilmu-ilmu Islam dan bahasa Arab merupakan entiti yang perlu dibincangkan secara berasingan. Tahap pengetahuan umat Islam terhadap agama mereka ialah satu masalah. Begitu juga dengan tahap penguasaan mereka dalam bahasa Arab, ia juga merupakan satu masalah yang tersendiri. Jika umat Islam pada hari ini masih tidak menguasai bahasa Arab sepenuhnya, maka tumpuan yang perlu ditekankan ialah kaedah pengajaran yang tepat dan efektif. Manakala idea meng-arab-kan pengajaran ilmu-ilmu Islam seperti yang dibangkitkan tadi akan melibatkan proses perubahan dasar pendidikan dan bahasa yang memakan masa serta merancakkan perdebatan yang tidak berkesudahan sepertimana yang berlaku dalam isu PPSMI.

KAEDAH TENTERA DAN KONSEP “TOTAL IMMERSION”
Hari ini bahasa Arab dipelajari untuk tujuan-tujuan tertentu. Antara objektif umat Islam mempelajari bahasa itu ialah untuk memahami Al-Quran dan Hadith. Tidak kurang juga yang hendak meningkatkan kemahiran berkomunikasi. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Dr. Mahmud Al-Naqah, seorang pakar pengajaran bahasa Arab, beliau menyatakan majoriti orang dewasa mempelajari bahasa asing menjadikan kefasihan dalam pertuturan sebagai matlamat utama. Manakala ibubapa yang menghantar anak-anak mereka belajar bahasa asing berharap agar mereka bertutur dengan yakin dan lancar (Lihat: Ta’lim Al-Lughah Al-‘Arabiyyah Li Al-Natiqin Bilughat Ukhra, 1985, mls 151-152). Sejauh manakah objektif tersebut membuahkan hasil? Antara masalah yang kita hadapi ialah tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Arab walaupun telah mempelajarinya dalam tempoh yang agak lama.

Walaupun pelbagai kaedah pengajaran dan buku-buku yang membantu banyak dihasilkan, kita juga perlu melihat pengalaman masyarakat Barat ketika Perang Dunia ke-2. Pengalaman mereka sebenarnya sangat menarik untuk dibincangkan. Peperangan di antara AS dan Jerman menyebabkan AS terpaksa melengkapkan tenteranya dengan keperluan bahasa, budaya dan sejarah bangsa Jerman untuk tujuan perisikan. Tentera AS dengan bantuan pihak universiti telah menyusun satu program khas yang dinamakan sebagai “Army Specialized Training Programme” yang dikenali sebagai “ASTP”. Latihan yang cukup pantas dan menyeluruh dilaksanakan. Mereka telah membina sebuah perkampungan ala-Jerman, mengamalkan budaya dan makanan bangsa Jerman.

Selepas beberapa bulan, keputusan program tersebut membuahkan kejayaan yang menakjubkan. Para peserta dalam program itu berjaya berkomunikasi dalam bahasa Jerman dengan begitu fasih dalam masa yang singkat. Sejak dari itu, kaedah “Army Method” dipercayai mengandungi rahsia kejayaaan dalam bidang pengajaran bahasa. Bagaimana kaedah tersebut berjaya menghasilkan penutur yang fasih dalam bahasa yang dipelajarinya? Adakah ia boleh diaplikasi dalam pengajaran bahasa Arab dalam masa yang singkat?

Franz Boaz, seorang ahli linguistik dan antropologi barat menjelaskan keberkesanan kaedah itu. Beliau menyatakan masa yang cukup diperlukan untuk tujuan meniru gaya dan lenggok percakapan. Latihan pertuturan dilakukan dalam suasana semulajadi. Oleh itu, apa yang diperlukan ialah pengetahuan dan hubungan semasa yang banyak mengenai bahasa asing yang dipelajari. Selain itu, para peserta program diagih-agihkan ke dalam kelas-kelas yang bersaiz kecil bagi memantapkan latihan. Mereka dilatih oleh penutur asli bahasa Jerman yang juga merupakan seorang informer bagi pihak AS. Latihan tertumpu kepada hafalan, penggunaan gambar, carta dan kaset (lihat: W.F Mackey, Language Teaching Analysis, 1969, m/s 150).

Melalui kaedah ini, maka lahirlah konsep yang dinamakan sebagai “Total Immersion”. Konsep ini kemudian menjadikan falsafah dalam dunia pengajaran dan pembelajaran bahasa asing/kedua. Konsep ini boleh didefinisikan sebagai kebolehan seseorang untuk berfikir dalam bahasa tertentu dan mampu untuk berkomunikasi secara efektif kerana telah menguasai sepenuhnya sesuatu bahasa yang dipelajarinya. Dengan kata yang lain, seolah-olah dia boleh menyelami gaya bahasa asing dengan berfikir (think), menghayati (feel), membaca (read) dan berkomunikasi dengan lancar. Ringkasnya kaedah tersebut memberi kita isyarat bahawa sesuatu bahasa asing itu dapat dikuasai dengan pemantapan kaedah pengajaran tanpa melibatkan perubahan dasar pendidikan dan bahasa.

MEMANFAATKAN KAEDAH INI UNTUK PENTERJEMAHAN DAN PELANCONGAN
Berdasarkan kepada kaedah yang dihuraikan tadi, ia boleh dimanfaatkan dalam pengajaran bahasa Arab dan juga bahasa-bahasa yang lain. Kaedah tadi mampu menghasilkan pelajar yang fasih bertutur dalam tempoh yang singkat. Untuk menjayakan kaedah ini, pihak kerajaan khususnya perlu memberi sokongan kepada institusi-institusi akademik untuk memantapkan lagi kaedah pengajaran bagi meningkatkan kemahiran bahasa asing.

Untuk bahasa Arab penulis berpendapat kaedah tadi perlu ditumpukan kepada dua bidang kemahiran iaitu kemahiran menterjemah dan kemahiran berkomunikasi. Kemahiran menterjemah dapat membantu usaha menhasilkan karya terjemahan yang berkualiti tinggi dalam tempoh yang singkat. Karya-karya klasik dan isu-isu kontemporari Islam dalam bahasa Arab yang diterjemah akan dapat diikuti dengan pantas oleh masyarakat awam. Walaubagaimanpun, kemahiran menterjemah lebih bersifat elit kerana tidak semua orang mempunyai bakat menterjemah. Tetapi kemahiran berkomunikasi jauh lebih mudah untuk dikuasai.

Penguasaan yang baik dan kemahiran dalam komunikasi bahasa kedua contohnya, dapat menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan negara. Minat yang semakin meningkat untuk ke Malaysia terutamanya para pelancong dari Timur Tengah memerlukan tourist guide yang professional. Pemandu pelancong wajar dilatih dengan kemahiran bertutur pelbagai dialek bahasa Arab selain dari bahasa Arab yang standard. Ini kerana negara-negara Arab seperti Arab Saudi, Jordan, Mesir dan Sudan mempunyai dialek yang berbeza. Pemandu pelancong yang mahir bertutur dalam dialek yang pelbagai dan mempunyai pengetahuan tentang adat dan budaya masyarakat Arab mengeratkan lagi hubungan di antara satu sama lain. Malah para pelancong Arab akan membantu usaha mempromosi pelancongan ke Malaysia dan ia secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menguasai apa sahaja bahasa asing dalam masa yang singkat bukannya sesuatu yang mustahil. Susah atau senangnya sesuatu bahasa bukanlah disebabkan faktor struktur dan sistem bahasa atau kelemahan dasar pendidikan, tetapi ia bergantung kepada language and cultural exposure (pendedahan kepada bahasa dan budaya) serta latihan secara intensif melalui kaedah yang tepat. Sebagai contoh, warga asing juga mampu menguasai bahasa Melayu dalam beberapa bulan sahaja. Hal ini diakui oleh Kalthum Ibrahim, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia: “Penguasaan bahasa asing memerlukan kaedah pengajaran yang tepat. Pengalaman saya mengajar diplomat asing menunjukkan mereka dapat menguasai bahasa Melayu dalam masa empat bulan” (Berita Harian, Khamis 30 April 2009, Kolum Sastera, m/s 19).

Kepada umat Islam khususnya mereka perlu menggandakan usaha untuk mendalami bahasa Arab secepat mungkin bagi memantapkan lagi kefahaman Islam dan komunikasi. Kaedah yang tepat untuk menguasai bahasa itu dapat melenyapkan andaian dan alasan yang tidak berasas. Lebih membanggakan lagi jika penguasaan bahasa Arab dan Inggeris dapat dipadukan oleh generasi Muslim pada masa akan datang, di samping memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk menghadapi arus globalisasi berteraskan nilai-nilai Islam.

No comments:

Post a Comment

BERDAMPING DENGAN JIN? MENGAPA TIDAK DENGAN AL-QURAN? IA LEBIH BERMAKNA! Dapatkan buku yang diterjemahkan dan dimurnikan dalam b...