Friday, June 17, 2011

BAHASA, DIALEK DAN QIRAAT


QIRAAT AL-QURAN DAN BAHASA ARAB - Oleh: Muhammad Hakim Rosly

Di Malaysia, boleh dikatakan bidang Qiraat Al-Quran dan Bahasa Arab diasingkan di institusi-institusi pengajian tinggi. Bidang yang berkaitan dengan Qiraat Al-Quran biasanya diambil oleh pelajar agama tulen yang ingin menghafal Al-Quran dan menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. Darul Quran yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan sebuah institusi untuk melahirkan para penghafal Al-Quran yang berkualiti dan berketerampilan. Manakala jurusan Bahasa Arab dipilih oleh pelajar yang berminat untuk mendalami teori-teori sintaksis, morfologi dan aspek-aspek pendekatan yang efektif ke arah menguasai bahasa itu di institusi pengajian yang lain.

Qiraat bermaksud: Mazhab atau kaedah menyebut lafaz Al-Quran yang digunakan oleh beberapa imam atau guru Al-Quran yang berbeza antara satu dengan yang lain (Manna’ Khalil Al-Qattan: Mabahith Fi ‘Ulum Al-Quran (Cetakan 53, 1998). Kepelbagaian menyebut lafaz-lafaz Al-Quran ini merangkumi pengetahuan terhadap sifat huruf dan cara sebutan seperti takhfif (menipiskan sebutan), tathqil (menebalkan sebutan) dan sebagainya (Al-Zarkasyi: Al-Burhan Fi ‘Ulum Al-Quran (Cetakan 1, 2001). Berdasarkan kepada pengertian yang diberikan, jelas kepada kita ilmu yang berkaitan dengan Qiraat Al-Quran mempunyai elemen fonetik yang menjadi salah satu skop kajian dalam ilmu linguistik. Secara tidak langsung Qiraat Al-Quran menyentuh persoalan yang berkisar tentang unsur-unsur bahasa dan dialek.

Fenomena perbezaan bahasa dan dialek bukan berlaku di dalam sesebuah masyarakat sahaja, malah perbezaan membaca lafaz Al-Quran juga dirakamkan di dalam Al-Quran. Di negara kita terdapat perbezaan dialek yang boleh kita bezakan sebutan dan penggunaannya seperti di negeri Selangor, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan. Di negara arab seperti Arab Saudi dan Mesir, fenomena yang sama berlaku. Setiap kabilah yang menetap di bahagian pedalaman padang pasir dan yang menetap di kawasan yang lebih maju sudah semestinya mempunyai cara sebutan dan penuturan yang berlainan. Menurut seorang pakar dan profesor linguistik Bahasa Arab di Universiti Alexandaria dan Beirut, Dr. ‘Abduh Al-Rajihi, beliau menyatakan bahawa penduduk Arab Badwi yang hidup di bahagian tengah dan timur Semenanjung Arab seperti kabilah Tamim, Qais dan Bani Asad lebih cenderung untuk menekankan huruf-huruf bahasa Arab dengan lebih jelas berbanding dengan penduduk yang berada di kawasan Hijaz. Mereka yang tinggal di Hijaz atau Mekah lebih cenderung untuk memudahkan sedikit sebutan beberapa huruf dalam Bahasa Arab (‘Abduh Al-Rajihi: Al-Lahajat Al-’Arabiyyah Fi Al-Qiraat Al-Quraniyyah (Tanpa Cetakan: 1996).

SKOP KAJIAN SARJANA AL-QURAN DAN BAHASA ARAB TERHADAP QIRAAT AL-QURAN

Perbezaan dialek merupakan fenomena sejagat dan pertembungan antara bahasa mahupun dialek akan berterusan dan sentiasa berkembang. Perbezaan sebutan perkataan-perkataan di dalam Al-Quran telah menarik perhatian sarjana-sarjana Al-Quran dan Bahasa Arab untuk membincangkannya secara lebih ilmiah dan terperinci. Setiap sarjana dalam bidang Al-Quran dan Bahasa Arab mempunyai bahan kajian yang sama tetapi penumpuan kajian mereka sedikit berbeza. Sebagai satu perbandingan ringkas, para sarjana dalam bidang Qiraat Al-Quran mengkaji kaedah pembacaan dan sebutan yang betul terhadap lafaz Al-Quran menerusi pembahagian bacaan kepada bacaan yang benar, lemah, palsu dan bacaan yang ditambah. Manakala para sarjana Bahasa Arab telah menekankan huraian kepada unsur-unsur sintaksis dan morfologi dalam perbezaan Qiraat Al-Quran. Penumpuan diberikan kepada perbezaan dialek dan sebab-sebab perbezaan dikaitkan dengan aspek sejarah, keadaan masyarakat dan sudut geografi. Mereka juga berpendapat perbezaan tersebut telah memberikan nilai tambah kepada perbendaharaan kata Bahasa Arab dan ia merupakan khazanah bahasa yang sangat bernilai kepada pengkaji dalam bidang sintaksis, etimologi dan leksikografi (perkamusan).

Perbezaan Qiraat Al-Quran telah berlaku semenjak zaman awal Islam lagi dan hal ini diperakui oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan sabdanya: “Sesungguhnya Al-Quran ini diturunkan dengan tujuh huruf, maka bacalah ia dengan bacaan yang mudah bagi kamu” (Hadith riwayat Al-Bukhari, Kitab Kelebihan Al-Quran). Terdapat pelbagai perbezaan pendapat terhadap perkataan “huruf” yang dimaksudkan dalam hadith tersebut. Pendapat yang lebih tepat dan diakui oleh sarjana yang terkemuka dalam bidang Al-Quran ialah tujuh jenis bahasa dari bahasa-bahasa Arab dalam mengungkapkan satu makna yang sama. Dalam bahasa Arab perkataan tujuh bukan hanya merujuk kepada nombor tujuh atau bilangan sahaja tetapi dari segi retoriknya ia menunjukkan penggandaan atau banyaknya sesuatu benda (Ibnu Manzur, Kamus Lisan Al-Arab (Cetakan 1, 1999). Oleh itu, tujuh jenis bahasa yang dimaksudkan ini boleh dipecahkan kepada pelbagai jenis perbezaan.

Perbezaan tersebut boleh juga dinamakan sebagai “Perselisihan Qiraat” iaitu perselisihan dari segi: 1) Penggunaan satu kata nama dengan kata nama seerti yang lain, 2) Perbezaan baris di sesebuah huruf disebabkan oleh kedudukan aspek nahu terhadap sesuatu perkataan, 3) Perbezaan dari sudut penggunaan imbuhan (morfologi) untuk kata mufrad, kata untuk dua orang dan jamak, 4) Perbezaan loghat (sebutan) seperti menipiskan atau menebalkan sebutan, bacaan ikhtilas (bacaan sambar) dan bacaan secara imalah (melencongkan sebutan). Kesemua perbezaan yang disebutkan ini memberikan impak dan faedah yang boleh dirungkai terhadap pembelajaran dan pengajaran dalam bidang Qiraat dan juga Bahasa Arab.

KESAN DAN FAEDAH PERSELISIHAN QIRAAT DALAM PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN BAHASA ARAB

Jika dilihat kepada keserasian hubungan antara Qiraat Al-Quran dan Bahasa Arab, adalah wajar jika subjek untuk kedua-dua bidang ini dihimpunkan. Justeru, penggabungan antara kedua-dua bidang diharapkan dapat memberi pendedahan awal kepada para pelajar pengajian Islam terhadap ilmu Qiraat dan pada masa yang sama mengukuhkan lagi penguasaan Bahasa Arab mereka samada dari segi bahasa, budaya, sejarah dan kemasyarakatannya. Kursus-kursus pengukuhan Bahasa Arab yang sedang dijalankan di Malaysia juga wajar mengambil beberapa aspek perselisihan Qiraat untuk dijadikan sebahagian dari silibus dan kandungan untuk dianalisis.

Terdapat beberapa kolej dan universiti yang telah pun menawarkan subjek yang dapat merealisasikan penggabungan tersebut seperti Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) yang menawarkan subjek: “Dialek dan Qiraat” untuk pelajar Diploma Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menawarkan subjek: “Qiraat Al-Quran dan Linguistik Moden” untuk pelajar Bahasa Arab peringkat sarjana dan subjek: “Analisis Sintaksis terhadap Qiraat Al-Quran” untuk pelajar peringkat Doktor Falsafah. Bagi memberikan faedah kepada semua pelajar pengajian Islam dan Bahasa Arab, satu subjek pilihan yang menggabungkan Qiraat Al-Quran dan Bahasa Arab wajar ditawarkan kepada pelajar peringkat diploma atau sarjana muda.

Subjek yang dicadangkan tadi juga bukan hak eksklusif untuk pelajar pengajian Islam yang berada di menara gading. Bagi memberi manfaat kepada semua masyarakat tidak mengira latar belakang akademik, umur dan status dalam masyarakat, satu mushaf Al-Quran Edisi Qiraat dan Linguistik atau Ensiklopedia Qiraat dan Dialek dalam bahasa Melayu khususnya perlu dihasilkan. Ini kerana Bahasa Melayu boleh dianggap sebagai bahasa “perkasa” yang digunakan oleh sekitar 300 juta penutur. Pada masa yang sama usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia akan tercapai. Bagi meralisasikan hasrat tersebut, kerjasama dari segolongan pakar dalam bidang Al-Quran, Bahasa dan Reka Bentuk sangat diperlukan. Sudah pasti sebuah mushaf dan ensiklopedia yang disertai dengan gambar berwarna, jadual, carta dan peta akan dapat menyuntik motivasi dan semangat mereka untuk mendalami ilmu-ilmu Al-Quran dan Bahasa Arab yang sememangnya perlu difahami secara lebih menyeluruh.

No comments:

Post a Comment

BERDAMPING DENGAN JIN? MENGAPA TIDAK DENGAN AL-QURAN? IA LEBIH BERMAKNA! Dapatkan buku yang diterjemahkan dan dimurnikan dalam b...