Sunday, February 20, 2011

BAGAIMANA MENGUASAI BAHASA KEDUA?


Gambar hiasan
PENDAHULUAN

Alhamdulillah...kita telah sampai ke penghujung semester bagi para pelajar Diploma Pendidikan Islam. Bagi pelajar Daurah (Kursus bahasa Arab) pula, anda perlu teruskan usaha untuk memantapkan lagi penguasaan bahasa Arab samada dari sudut nahu ataupun pertuturan. Penguasaan sistem bahasa dan kemahiran menggunakan bahasa Arab melalui komunikasi lisan amat penting dan tidak boleh dipisahkan sama sekali. Ada pelajar yang menguasai nahu bahasa Arab tapi tidak mampu bertutur. Ada yang boleh bercakap tetapi banyak kesalahan bahasa yang dilakukan. Untuk menjadi pelajar bahasa Arab yang cemerlang dan seimbang, dia perlu tahu beberapa sistem Nahu yang kritikal (penting) dan pada masa yang sama bermotivasi untuk bercakap dengan tidak melakukan kesalahan global (iaitu kesalahan yang menjejaskan kefahaman seperti salah menyebut huruf Qaf dan Kaf pada perkataan Qalb=jantung/Kalb=anjing, serta huruf Zai dan Sin pada kata kerja Zara=telah menziarahi/Sara=telah berjalan).

BAHASA ARAB IALAH BAHASA SEDERHANA SUSAH DAN SENANG

Mungkin ada pelajar yang masih mengatakan bahasa Arab ialah bahasa yang paling susah. Sebenarnya setiap bahasa ada aspek yang senang dan susah. Bahasa Cina ialah bahasa yang agak sukar dari sudut penulisan sehingga pelajar Cina juga menghadapi kesukaran mempelajarinya. Bahasa Inggeris juga susah dari sudut spelling (ejaan) kerana apa yang dieja tidak sama dengan apa yang disebut. Sebab itu ada program "spell it right" yang disiarkan suatu ketika dahulu di televisyen Malaysia. Dari sudut jumlah huruf, bahasa Bangladesh pula mempunyai jumlah huruf yang lebih banyak daripada bahasa Arab iaitu sekitar 50 huruf. Penutur asli bahasa Bangladesh juga kadang-kadang tidak menghafal kaedah nahu bahasa itu dan melakukan kesalahan Manakala Bahasa Jerman mempunyai pembahagian kata kerja yang banyak. Sebutan huruf dalam bahasa Russia juga perlu disebut dengan teliti kerana sebutan antara huruf seakan-akan sama dan ini juga sama dengan sebutan perkataan dalam bahasa Cina. Dalam bahasa Cina,perkataan "Ma" jika disebut dengan sedikit intonasi yang berlainan akan berubah maksudnya. Dalam bahasa Cina sendiri terdapat puak yang menggunakan bibir ketika bercakap. Sudah tentu amat sukar untuk meniru lenggok dan gaya percakapan puak tersebut. Bahasa Melayu juga kadang-kadang sukar dipelajari terutamanya kepada pelajar bukan Melayu seperti penutur bahasa inggeris. Aspek yang susah dalam bahasa Melayu ialah imbuhan. Agak sukar bagi bukan Melayu menentukan imbuhan bagi kata kerja samada ber- atau me- atau meng- atau men-. Hal ini juga diakui oleh seorang sahabat saya berbangsa Chechnya ketika mempelajari imbuhan dan menyebut imbuhan untuk perkataan Pustaka-Perpustakaan.

Tetapi dalam bahasa Arab ada juga aspek yang senang kerana sebutan dalam bahasa ini sangat jelas kecuali beberapa huruf yang perlu ditebalkan dan dinipiskan. Bagi pelajar di Nusantara banyak perkataan Arab yang dipinjamkan dalam bahasa Melayu yang boleh dimanfaatkan dalam pembelajaran bahasa Arab. Selain dari itu, pembacaan Al-Quran dalam solat dan azan juga sedikit sebanayak dapat membantu kita menyebut ayat bahasa Arab dengan lebih lancar dan baik. Walaubagaimanapun, pelajar perlu menggandakan usaha untuk fokus kepada sistem yang agak berlainan dari bahasa Melayu khususnya ketika menggunakannya dalam pertuturan. Antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah MASA, JANTINA dan BILANGAN.

PERMINDAHAN POSITIF DAN NEGATIF

Untuk memanfaatkan persamaan antara perkataan bahasa Melayu dan bahasa Arab, perbezaan sebutan antara perkataan dalam bahasa itu sangat penting. Boleh dikatakan perkataan yang dipinjamkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu amat banyak tetapi sebutannya berlainan. Pemindahan positif berlaku dari sudut perkataan. Manakala pemindahan negatif akan berlaku jika cara menyebut perkataan Arab tidak mengikut kepada stress (penekanan kepada huruf mad khususnya). Apa yang dimaksudkan dengan peralihan negatif ialah kita memindahkan sesuatu unsur bahasa kita kepada bahasa kedua dengan menyalahi kaedah sebutan atau tidak mengetahui sistem nahu dalam bahasa yang dipelajari. Sebagai contoh, pelajar melayu tidak mengutamakan perbezaan nahu di antara jantina ketika berkomunikasi. Dari sudut sebutan orang yang mempelajari bahasa Melayu akan memindahkan unsur bahasa secara negatif apabila menyebut perkataan Perangai, Pembela, Persatuan, Beli, Belang, Semua kerana dia akan menyebut perkataan tersebut seperti ini Pirangai, Pimbila, Pirsatuan, Bili, Bilang, Simua disebabkan sebutan PE,SE atau SE tidak wujud dalam bahasa pelajar Arab itu. Walaubagaimanapun jika sistem sebutan dalam bahasa pertama seseorang itu ada persamaan dengan sistem sebutan dalam bahasa kedua yang dipelajarinya, dia akan melakukan pemindahan positif (positive transfer). Oleh itu, kemungkinan besar pelajar Sweden dapat menyebut perkataan "Perangai", "Pembela", "Semua" dengan betul dalam bahasa Melayu kerana terdapat cara sebutan yang sama antara Bahasa Melayu dan Sweden.

MAHER ZAIN BERLATIH NASYID DALAM BAHASA MELAYU?

Jika dilihat secara perbandingan mengenai sebutan vokal tadi, ia memberikan kita satu lagi hujah bahawa tidak ada satu pun bahasa yang paling susah di dunia ini. Dari sudut sebutan vokal, bahasa Arab merupakan bahasa yang paling mudah kerana ia hanya mempunyai sebutan vokal a, i, u. Berbeza dengan bahasa Melayu, bahasa kita mempunyai lebih dari tiga sebutan iaitu sebutan "e" pepet (seperti perkataan periuk) dan "e" taling (seperti perkataan merah). Dalam hal ini, Maher Zain seorang ikon muslim yang semakin meningkat namanya di persada seni antarabangsa, melalui temuramah jemputan dalam radio Sinar.FM bertarikh 22 Februari 2011, menggunakan strategi pemindahan positif dari satu unsur dalam bahasa pertamanya (bahasa Sweden) iaitu dengan berlatih cara menyebut vokal e "taling" untuk perkataan PEMBELA kerana terdapat persamaan menyebut vokal e dalam perkataan Sweden dan Melayu. Walaubagaimanapun, beliau masih mempunyai sedikit kesukaran untuk menyebut huruf "Dal" atau "D" mungkin disebabkan oleh pengaruh bahasa Arabnya yang menjadi salah faktor gangguan. Tetapi Maher Zain tetap terus berlatih untuk menyebutnya untuk memantapkan lagi lagunya bertajuk "INSYAALLAH" yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu. Oleh itu pelajar Melayu perlu bersyukur kerana lidah kita masih lagi fleksibel untuk menyebut perkataan yang tidak terdapat dalam bahasa kita. Siapa yang cakap bahasa melayu senang? Semua bahasa ada perkara yang susah dan senang! Yang penting perlu ada usaha dan kekuatan kehendak untuk belajar dan belajar lagi.


STRATERGI PEMBELAJARAN PELAJAR DIPLOMA DAN DAURAH


Di sini saya ingin menyentuh sedikit mengenai cara pembelajaran setiap pelajar diploma dan daurah. Cara belajar bahasa berbeza dengan belajar subjek yang lain. Belajar bahasa Arab atau apa juga bahasa kedua tidak sama corak pembelajarannya dengan subjek Fiqh, Aqidah atau Pengajian Islam. Mempelajari bahasa memerlukan fokus dan objektif yang jelas. Bagi pelajar diploma terutama yang mengambil subjek Bahasa Arab Komunikasi, tempoh masa agak singkat. Apa yang penting ialah anda perlu fokus dalam kelas dan ada motivasi untuk belajar walaupun kelas telah berakhir. Anda perlu sentiasa terus mendengar, membaca dan bercakap dalam setiap waktu bersama rakan-rakan. Ia bergantung kepada usaha individu. Belajar bahasa tidak ada short cut ataupun jalan pintas. Imam Syafi'e pernah mengatakan menuntut ilmu itu memerlukan masa yang panjang. Berlatih menggunakan bahasa Arab tidak terhenti dengan berakhirnya kelas. Gunakan tips-tips yang telah kita bincangkan dalam kuliah.

Bagi pelajar Daurah pula corak pengajaran dan pembelajaran agak berbeza. Kursus bahasa Arab dijalankan dalam bentuk intensif. Sebenarnya pembelajaran bahasa Arab atau apa juga bahasa asing/kedua perlu kepada penekanan yang dilaksanakan setiap hari. Ambillah peluang yang diberikan. Menguasai bahasa Arab juga bergantung kepada latihan dan pengulangan serta aktiviti bahasa yang memantapkan bahasa pelajar. Jika pensyarah sahaja yang bercakap, pensyarah sahaja yang akan menjadi mahir. Pelajar hanya menjadi pakar mendengar. Sepatutnya subjek Nadwah perlu digunakan sepenuhnya oleh pelajar. Aktiviti seperti public speaking, forum dan debat merupakan cara untuk menggilap bakat anda untuk bercakap dan berkomunikasi dengan lebih berkeyakinan kerana antara sebab seseorang itu tidak boleh bercakap ialah tiada keyakinan diri dan masih berfikiran negatif. Sikap negatif terhadap bahasa Arab perlu dibuang. Berfikir bahawa bahasa Arab ialah bahasa yang paling susah ialah pandangan yang tidak tepat.

HUBUNGAN ANTARA BILANGAN PELAJAR DAN MASA BELAJAR

Dalam kelas Daurah kita telah membahagikan kumpulan asal kepada kumpulan yang lebih kecil. Dalam bidang pemerolehan bahasa kedua (Acquaring Second Language/SLA), terdapat satu teori yang sangat penting. Disebabkan pembelajaran bahasa tidak sama dengan subjek yang lain, para sarjana dalam bidang pembelajaran bahasa kedua telah menetapkan satu teori yang tidak boleh diketepikan sama sekali. Terdapat hubungan berlawanan antara MASA dan JUMLAH pelajar dalam kelas bahasa. "SEMAKIN RAMAI JUMLAH PELAJAR BAHASA DALAM SESEBUAH KELAS, SEMAKIN SEDIKIT PENDEDAHAN MEREKA TERHADAP PENGUASAAN BAHASA, BEGITU JUGA SEBALIKNYA, SEMAKIN SEDIKIT JUMLAH PELAJAR SEMAKIN BANYAK PENDEDAHAN MEREKA TERHADAP BAHASA YANG MEREKA PELAJARI ITU". Dalam kelas bahasa, untuk memastikan keputusan yang terbaik, jumlah pelajar dalam kelas sepatutnya tidak boleh melebihi 20 orang. Lagi sedikit lagi baik. Setiap pelajar perlu diberikan perhatian yang khusus dalam menguasai bahasa. Lihatlah sejarah menguasai bahasa German oleh Tentera Amerika Syarikat sepertimana yang anda boleh rujuk dalam artikel saya:"Menguasai Bahasa Arab melalui Kaedah Tentera" (Klik pada "Kaedah Tentera" pada ruangan artikel). Sekumpulan tentera Amerika ketika Perang Dunia Kedua telah dibahagikan kepada kelas yang bersaiz kecil untuk menguasai bahasa German bagi tujuan perisikan pada tahap yang maksimum. Melonggokkan pelajar dalam jumlah yang sangat ramai menyalahi etika pengajaran dan pembelajaran bahasa. Saya sebagai pelajar sarjana yang pernah mengambil subjek kaedah pengajaran bahasa Arab sebagai bahasa kedua ketika belajar di IPTA dahulu amat menghormati teori hubungan berlawanan anta MASA dan JUMLAH pelajar yang disebutkan tadi.

Akhir kata: "PERFECT PRACTICE MAKES PERFECT"

No comments:

Post a Comment