Thursday, July 8, 2010

ORIENTALIS vs OKSIDENTALIS


Pada minggu yang lepas kita telah menyentuh definisi Orientalis secara ringkas dan membahaskan tohmahan dan kritikan yang dilontarkan kepada pengiktirafan Al-Hadith sebagai sumber utama Islam. Amat penting untuk kita memberikan semula hujah untuk mematahkan tuduhan yang tidak berasas para orientalis.

Orientalisme ialah kajian terhadap kebudayaan masyarakat timur dari aspek politik, agama, sosial, ekonomi dan lain-lain. Terdapat juga istilah yang berlawanan dengan istilah Orientalism iaitu Occidentalism. Istilah ini saya nukil dari tulisan Prof. Sidek Baba yang menghuraikan kepentingan Oksidentalisme kepada masyarakat timur. Selain itu, istilah itu juga telah dicetuskan oleh seorang pemikir Mesir Islam yang berusaha membuat counter attack kepada usaha para orientalis.

Perbezaan Oksidentalisme dengan Orientalisme ialah tujuan para oksidentalis ialah untuk mengembalikan semula ego masyarakat timur khususnya Islam kepada era kegemilngan yang pernah dikecapi suatu masa dahulu dalam pelbagai aspek samada ilmu, material dan sebagainya. Mengembalikan ego bukan bermakna membuat strategi untuk memanipulasi dan mengawal tamadun yang lain, tetapi mengkaji kekuatan Barat untuk digunakan dalam dunia Islam. Antara para oksidentalis Islam yang masyhur ialah Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh. Tokoh ini memang terkenal di peringkat antarabangsa dan mereka telah bertungkus-lumus dalam membina acuan baru Islam dengan memelihara keaslian sumber Islam dan mengambil kebaikan dari aspek kemodenan Barat. Isu-isu yang bersangkutan dengan pentafsiran baru mengenai Al-Quran, hak-hak wanita dan memodenkan sistem akademik telah dibangkitkan.

Manakala tujuan utama Orientalis ialah untuk mengawal, menguasai dan menghancurkan tamadun yang lain melalui serangan yang bersifat akademik. Sebagai contoh yang jelas, mempertikaikan pengumpulan dan penulisan hadith dengan mengatakan ianya tidak dilakukan pada zaman Nabi Muhammad. Walaubagaimanpun, tidak semua orientalis bersikap demikian. Tetapi secara umumnya, para orientalis sentiasa bersikap hasad dan dendam terhadap Islam terutama orientalis dari keturunan Yahudi. Oleh itu terdapat 3 jenis sikap orientalis iaitu:

1. Golongan yang memusuhi Islam secara terang dengan menyuntik bibit-bibit keraguan terhadap sumber-sumber Islam.
2. Golongan yang ingin mencari sesuatu keputusan kajian secara objektif (untuk mencari kebenaran dan jumlah orientalis ini sedikit).
3. Golongan yang tiada apa-apa niat melainkan minat untuk mengkaji (contohnya orientalis yang minat mengkaji budaya masyarakat Timur di Asia Tenggara).

3 Golongan yang disebutkan di sini mengingatkan saya tentang 3 pendirian kita terhadap cerita Israiliyyat. Bukan 3 sikap orientalis sahaja yang perlu diketahui, malah pelajar Ulum Al-Hadith juga perlu tahu 3 pendirian kita terhadap riwayat Israiliyyat yang biasanya disangka sebagai hadith sahih iaitu:

1. Jika cerita Israiliyyat itu menepati apa yang diceritakan oleh Al-Quran dan Al-Hadith maka kita boleh menerimanya (contoh: kisah Nabi Nuh yang membina bahtera dan dipenuhi oleh haiwan yang berpasang-pasangan).

2. Jika cerita Israiliyyat itu bercanggahan dengan apa yang diceritakan oleh Al-Quran dan Al-Hadith, dan juga cerita-cerita yang tidak mempunyai faedah, maka kita tidak menerimanya sama sekali (contoh: Firaun yang terkejut dengan ular Nabi Musa menyebabkan dia tidak dapat melepaskan hajat selama 40 hari).

3. Jika cerita Israiliyyat itu tidak menepati dan juga tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Hadith, maka kita hanya membiarkan sahaja cerita tersebut dan tidak menjadikannya hujah untuk menguatkan pandangan kita dalam sesuatu isu.

Berbalik kepada Orientalism, para pelajar perlu membaca sejarah penulisan hadith semasa era nabi, sahabat dan tabiin untuk menjawab kritikan tajam orientalis. Sebagai rujukan tambahan, anda boleh membaca buku Orientalism yang ditulis oleh Edward Said, seorang Profesor di Columbia University. Sebuah buku yang menarik dengan kupasan tentang hala tuju Orientalisme dan kaitannya dengan dasar Imperialisme dan sikap Barat terhadap masyarakat dunia. Buku tersebut telah digunakan sebagai bahan ilmiah di peringkat universiti dan telah diterjemahkan kepada 25 bahasa.

TIGA BENTUK SERANGAN YANG DIGUNAKAN OLEH ORIENTALIS:

1. Menyerang status perawi hadith terutamanya periwayat hadith di kalangan sahabat Nabi yang junior dalam Islam seperti Abu Hurairah dan Abdullah bin Umar. Abu Hurairah diragui kerana dia meriwayatkan 5800 hadith Nabi dalam masa 3 tahun.

2. Menyerang keperibadian Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas Baginda). Orientalis membahagikan status Nabi kepada tiga iaitu: Rasul, pemimpin negara dan orang biasa. Apabila sesuatu hadith itu berkaitan dengan soal agama, ia baru dianggap hadith. Jika tidak, ia hanyalah percakapan biasa yang tiada nilai.

3. Mengatakan bahawa usaha penulisan hadith tidak wujud sama sekali pada zaman Rasulullah. Penulisan hadith bermula setelah beberapa dekad berlalu. Oleh itu tiada penyampaian hadith secara jelas berlaku. Menurut seorang tokoh orientalis bernama Montgomerywatt katanya: "Semua perkataan dan perbuatan Muhammad tidak pernah didokumentasikan dalam bentuk tulisan semasa ia hidup atau setelah meninggal dunia. Pastinya hal ini tersebut disampaikan dari lisan ke lisan, sekurang-kurangnya pada awal Islam..."

GOLDZIHER DAN KRITIKAN ORIENTALIS TERHADAP HADITH:

Tokoh orientalis pertama yang mengkaji hadith ialah Ignaz Goldziher (1850-1921). BELIAU TELAH MENGARANG SATU BUKU BERTAJUK: "MUHAMMEDANISCHE STUDIEN". Buku tersebut menjadi sebuah kitab suci di kalangan orientalis. Beliau telah menuduh bahawa Imam Zuhri telah memalsukan hadith pada zamannya ketika pembukuan hadith. Imam Zuhri dikatakan dipaksa oleh pemerintah untuk menulis hadith. Sebahagian orientalis yang lain mengatakan bahawa hadith hanyalah rekaan ulama Islam abad pertama dan kedua. Hadith diperkenalkan ketika bermulanya pelantikan Qadhi pada zaman Bani Umayyah. Ulama hadith yang mengumpul dan meriwayatkan hadith juga dituduh memalsukan hadith. Antara ulama uyang dituduh ialah Al-Imam Al-Bukhari dan Imam Ibn Syihab Al-Zuhri.

No comments:

Post a Comment

BERDAMPING DENGAN JIN? MENGAPA TIDAK DENGAN AL-QURAN? IA LEBIH BERMAKNA! Dapatkan buku yang diterjemahkan dan dimurnikan dalam b...