Feedback

PERDALAMKAN ILMU BAHASA ARAB UNTUK MEMAHAMI AYAT-AYAT AL-QURAN DENGAN TEPAT

Seseorang yang ingin menggunakan ayat Al-Quran sebagai dalil mesti memahami tafsirannya dengan betul. Menggunakan ayat Al-Quran secara tekaan atau rasa-rasa adalah suatu tindakan yang boleh dikatakan tidak menepati kaedah mentafsirkan Al-Quran. Al-Quran mesti ditafsirkan melalui riwayat dan hadith-hadith Nabi. Jika ada sebab penurunannya kita perlu jelaskan. Antara ayat yang sering dijadikan hujah untuk menunjukkan haramnya memfitnah dan memaki hamun orang lain ialah ayat dalam surah Al-Baqarah ayat 191 iaitu:"Dan fitnah itu lebih dasyat dari membunuh". Ayat ini sebenarnya menjelaskan maksud fitnah yang merujuk kepada kesyirikan, kekafiran dan memalingkan orang daripada agama Allah lebih bahaya dari membunuh atau berperang dengan orang-orang kafir. Ayat tersebut perlu dibaca sepenuhnya. Ramai orang yang menggunakan ayat tadi untuk menjadikan dalil haramnya fitnah (menuduh orang tanpa bukti). Adalah lebih baik kita gunakan ayat 11 dari Surah Al-Nur untuk menjadikan dalil tidak boleh menuduh orang tanpa bukti yang jelas. Ia berkisar tentang fitnah (tuduhan buruk) kepada Aisyah sebagai orang yang telah melakukan zina dengan Safwan bin Al-Mu'attal (salah seorang sahabat Nabi). Boleh rujuk tafsir dan kisah itu dengan lebih lanjut.

Perkataan bahasa Arab wajib diketahui maksudnya berdasarkan konteks ayat. Perkataan fitnah merupakan perkataan polisemi iaitu perkataan yang mempunyai maksud yang berbeza apabila berada dalam konteks atau situasi yang berlainan. Dalam Al-Quran lebih kurang 59 ayat mengenai perkataan fitnah dan mempunyai maksud yang berbeza. Ayat yang lebih sesuai untuk dijadikan dalil bagi haramnya menuduh orang tanpa bukti ialah ayat dalam surah Al-Nur ayat 11 yang disebutkan sebentar tadi. Fitnah juga bermaksud sesuatu itu menjadi terbalik, baik disangka buruk, buruk disangka baik dan ia menjadi fitnah kepada diri sendiri. Ia bukan bermaksud fitnah tuduhan atau dugaan seperti dalam ayat iaitu "Janganlah Engkau jadikan fitnah kepada orang-orang yang kafir kepada kami". Ia bukan bermaksud doa supaya Allah memberikan fitnah (tuduhan buruk) kepada orang kafir, tetapi ia ialah doa orang beriman agar jangan jadikan fitnah (sesuatu perkara baik itu jahat di mata orang yang kafir dan perkara buruk itu baik di sisi orang yang kafir. Oleh itu, perkataan fitnah mengandungi pelbagai makna. Secara bahasa perkataan asal fitnah sebenarnya ialah menguji atau menduga dari perkataan asal arab iaitu Fa-Ta-Na. Contoh: Saya menguji (Fa-Tan-Tu) sesuatu benda itu samada ia emas atau perak. Contoh perkataan lain yang bersifat polisemi ialah perkataan Da-Ra-Ba dan Za-Ha-Ba. Daraba bukan sahaja bermaksud pukul tetapi ia kadangkala bermaksud berjalan. Zahaba pula bukan sahaja bererti pergi. Ia boleh menjadi maksud: berpandangan atau hilang mengikut kepada konteks ayat. Cuba pelajar cari maksud yang pelbagai daripada kedua-dua perkataan tadi di dalam kamus.

Begitu juga dengan ayat dalam surah ayat 54 surah Ali Imran: "Dan mereka merancang dan Allah juga merancang dan Allah sebaik-baik perancang". Ayat ini digunakan untuk mengatakan apa yang kita rancang Allah yang tentukan sebagai kata-kata akhir sesuatu ucapan atau untuk memberi nasihat. Ia memang ada kaitan dengan rancangan dan ketentuan Allah. Namun begitu, ayat tadi merujuk kepada rancangan jahat orang yahudi yang ingin membunuh nabi Isa tetapi telah dipatahkan oleh rancangan Allah. Ia lebih kepada rancangan atau rencana jahat. Adalah lebih tepat jika kita menggunakan ayat ini (Luqman:34): "Setiap jiwa tidak akan mengetahui apa yang ingin dilakukan pada hari esok".

Saya juga ingin berikan contoh ayat yang sering disalah tafsirkan oleh golongan sufi yang menyeleweng iaitu ayat 99 Surah Al-Hijr: "Dan sembahlah tuhanmu sehingga datangnya keyakinan". Ramai tokoh sufi sesat mengatakan apabila tahap taqwa telah sampai ke tahap yang paling tinggi iaitu tahap yakin, maka tidak perlu kepada ibadah. Sebenarnya maksud Yakin dalam ayat tadi ialah kematian. Kita disuruh menyembah Allah sehingga kita dijemput ilahi (kematian). Perkataan di dalam Al-Quran tidak boleh ditafsir sesuka hati tanpa ilmu bahasa Arab.

KESIMPULAN: Tafsiran AL-Quran perlu difahami dengan mengetahui ilmu bahasa Arab dan riwayat mengenai asbabun nuzul dan melihat kepada keseluruhan konteks ayat. Antara syarat menjadi pentafsir Al-Quran ialah mahir dalam bahasa Arab. Ini kerana Al-Quran kadang-kala memberi makna hakiki dan kadangkala memberi makna majazi. Sebab itu tidak ramai tokoh tafsir yang terkenal di nusantara atau dunia melayu kerana tafsir ialah bidang yang agak sukar dikuasai kerana memerlukan banyak bidang ilmu yang wajib dikuasai oleh sesiapa yang ingin menafsirkan al-quran atau menjadi pakar tafsir. Saya cadangkan ramai pelajar melayu kita supaya dapat menjadikan tafsir sebagai bidang pengkhususan suatu hari nanti insyaallah. Untuk bacaan tambahan boleh rujuk kepada artikel ringkas saya bertajuk: Imej Islam dan bahasa Arab di ruangan artikel dan pandangan. Klik pada tajuk tersebut. Terima kasih. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui.

BOLEHKAH BERPUASA SETELAH 15 SYAABAN?

Setelah saya meneliti beberapa forum perbincangan hukum dan dalil dari beberapa sumber hadith, memang ada hadith yang mengatakan tidak boleh berpuasa selepas 15 syaaban. Hadith itu berbunyi: "Apabila menjelangnya separuh syaaban maka janganlah kalian berpuasa" hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Al-Tirmidzi. Hadith ini dihukum sebagai hadith hasan sahih oleh imam Al-Tirmidzi. Tetapi hadith ini kelihatan bertentangan dengan riwayat yang lain seperti riwayat ini berdasarkan riwayat dari Aisyah: "Adalah Rasulullah s.a.w berpuasa di bulan syaaban secara penuh..."(riwayat dan lafaz hadith Muslim).

Terdapat beberapa imam hadith yang melemahkan hadith yang pertama tadi. Mereka ialah Imam Bukhari, Imam Al-Baihaqi, Imam Al-Tahawi dan Imam Ahmad. Imam Ahmad mengatakan bahawa hadith pertama tadi diriwayatkan oleh Al-'Ala' bin Abdil Rahman, dan mengatakan hadith ini sebagai hadith mungkar (iaitu hadith janggal yang datang daripada perawi ini sahaja atau yang dinamakan hadith gharib).

Pada penelitian saya yang lemah ini, masalah hadith ini tergolong dalam masalah hadith mukhtalaf (hadith sahih yang bercanggah). Ini kerana Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam huraiannya dalam kitab Fathul Bari, mengatakan bahawa Imam Al-Qurtubi ada menyatakan: Tiada percanggahan antara hadith yang menegah berpuasa setelah 15 syaaban dan hadith yang membolehkan sambung puasa hingga ke bulan ramadhan. Oleh itu menghimpun hadith yang bertentangan tadi mumkin (boleh). Iaitu tidak boleh bagi yang tidak biasa berpuasa sunat untuk berpuasa pada 15 terakhir bulan syaaban. Adapun yang biasa berpuasa tatawwu' (puasa sunat seperti Isnin dan khamis) maka dibolehkan.

Dalam mazhab Syafie, penegahan dalam hadith pertama yang diutarakan tadi bersifat penegahan haram (tahrim). Tetapi bagi siapa yang biasa berpuasa sunat sehingga ia menjadi adat dalam aktiviti hariannya dibolehkan. Namun, terdapat sebahagian ulama Syafie iaitu Al-Ruyani yang mengatakan penegahan tersebut merupakan penegahan bersifat memakruhkan (karahah: iaitu tidak sampai ke tahap haram). Ada juga yang mengatakan penegahan tersebut untuk tanzih iaitu memberi keringanan kepada orang Islam agar tidak keletihan jika berpuasa di bulan ramadhan di kalangan mereka yang tidak biasa puasa sunat. Dalam karya Imam Nawawi yang terkenal iaitu Riyadus Salihin terdapat bab yang menyebut: "Bab atau tajuk penegahan untuk berpuasa sebelum ramadhan iaitu selepas pertengahan syaaban kecuali bagi sesiapa yang biasa berpuasa sunat pada Isnin dan Khamis". Ini menunjukkan - pandangan menurut saya - Imam Nawawi melakukan kaedah jama' (menghimpunkan) antara hadith yang bercanggah tadi.

Tetapi bagi ulama yang melemahkan hadith pertama tadi, mereka membolehkan berpuasa selepas 15 syaaban kerana menganggap riwayat Al-'Ala tidak kukuh. Ibnu Qudamah di dalam kitab fighnya Al-Mughni (mazhab hanbali) mengatakan bahawa Imam Ahmad mengatakan: "Al-'Ala ialah seorang yang thiqah (dipercayai), riwayatnya tidak mungkar (janggal) melainkan hadith ini (hadith tentang penegahan berpuasa selepas 15 syaaban").

RUMUSAN:

PADA PANDANGAN PERIBADI SAYA, DALAM BAB FIQH KITA HARUS BERLAPANG DADA. BAGI YANG BIASA BERPUASA DIA BOLEH MENERUSKAN PUASANYA SELEPAS 15 SYAABAN. BAGI YANG TIDAK BIASA DIMAKRUHKAN UNTUK MELAKUKAN DEMIKIAN KERANA IA MUNGKIN DAPAT MERINGANKAN BEBANAN PUASA PADA BULAN RAMADHAN NANTI. BAGI SESIAPA YANG INGIN MENCUBANYA, SAYA SARANKAN AGAR ANDA JUGA BERNIAT UNTUK MENGAMALKAN PUASA SUNAT PADA HARI-HARI AKAN DATANG SUPAYA TIDAK TIMBUL KONFLIK DALAM MASALAH INI. JIKA SEMUA ORANG ISLAM TERMASUK SAYA YANG LEMAH INI MENGAMALKAN PUASA SUNAT, MAKA SAYA RASA TIADA MASALAH YANG TIMBUL. SEMUA ORANG DI ASIA, BARAT DAN KUTUB UTARA ATAU SELATAN BOLEH BERPUASA SELEPAS 15 SYAABAN.

SESIAPA YANG MEMILIH KAEDAH DAN IJTIHAD IMAM AHMAD DIA BOLEH BERPUASA. ADAPUN YANG MEMILIH PANDANGAN YANG MENGHIMPUNKAN HADITH-HADITH TADI, PUASA SETELAH 15 SYAABAN ADA SYARAT IAITU DIBOLEHKAN BAGI SESIAPA YANG BIASA BERPUASA SUNAT DAN TIDAK DIGALAKKAN BAGI SESIAPA YANG TIDAK BIASA BERPUASA SUNAT.

UNTUK PELAJAR ULUM HADITH, ANDA BOLEH RUJUK ILMU DALAM ULUM HADITH YANG DINAMAKAN SEBAGAI ILMU MUKHTALAFUL HADITH. IA MEMBINCANGKAN HADITH-HADITH YANG SAHIH YANG SALING BERTENTANGAN DAN KAEDAH UNTUK MENYELESAIKANNYA. SATU BAB YANG SANGAT MENARIK UNTUK DIBINCANGKAN.

Ditulis oleh: Muhammad Hakim Rosly pada 21/7/2011 pada pukul 3.55 ptg.



MAKSUD “UMMI” YANG TERDAPAT DALAM AL-QURAN:


1. Istilah Ummi perlu dihuraikan secara lebih luas. Memahami istilah tersebut sebagai tidak tahu membaca dan menulis merupakan salah satu tafsiran atau pecahan dari pengertian Ummi. Kita tidak boleh memahami istilah tersebut dari satu sudut sahaja.
Dalam Al-Quran Surah Al-A’raf ayat 157-158, secara umum Allah menjelaskan bahawa antara sifat orang yang beriman dan ialah mereka yang mengikuti seorang rasul yang ummi yang tertulis kebenaran rasul itu dalam kitab Taurat dan Injil.

2. Sifat Ummi secara bahasa boleh dibahagikan kepada dua sudut makna iaitu maksud positif dan maksud negatif. Sama seperti sifat Takbur. Sifat takbur dipandang salah satu sifat yang sesuai dan positif bagi Allah sahaja kerana Dia berhak untuk menunjukkan keagungan-Nya. Manakala perasaan takbur menjadi negatif jika dikaitkan dengan sifat manusia. Begitu juga dengan marah. Seorang ibu yang memarahi anaknya perlu dipuji marahnya itu kerana ia dilihat dari perspektif tarbiah (untuk mendidik). Manakala sifat Ummi iaitu tidak pandai membaca dan menulis dalam ayat tersebut perlu dipandang dari sudut yang positif juga.

3. Secara umumnya orang yang pandai menulis dan membaca dianggap orang yang sempurna. Jadi Nabi perlu bersifat sedemikian. Nabi yang ummi membuktikan baginda mempunyai kekurangan dan kejahilan. Para orientalis biasanya akan menggunakan hujah ini. Secara logiknya penyataan di atas memang benar. Pada masa yang sama, kita juga boleh katakan orang yang pandai membaca dan menulis juga tidak sempurna kerana orang yang pandai pun boleh menipu dan melakukan perkara yang tidak baik (negatif).

4. Dalam ayat di atas, kita perlu faham maksud ummi dari segi pengaruhnya dalam menyampaikan Islam sebagai seorang Nabi dan merangkap sebagai seorang pembawa utusan yang tidak boleh menukar sebarang maklumat dan ajaran yang disampaikan. Walaupun Nabi bersifat Ummi, ia membawa maksud nabi menerima ilmu secara langsung dari Allah. Oleh itu kita boleh keluarkan satu formula bandingan di mana kita perlu menganggap Ummi itu bermaksud sifat yang bergandingan dengan wahyu dan dikhaskan untuk Rasul:

“WAHYU+UMMI TIDAK SAMA DENGAN ILMU MELALUI PEMBACAAN DAN PENULISAN”
atau
WAHYU + UMMI = bagi RASUL
ILMU + USAHA MEMBACA & MENULIS = bagi ORANG BIASA

5. Dalam konteks menerima wahyu dari Allah, seseorang rasul itu perlu bersih dari sebarang aktiviti atau kemampuan yang memungkinkan dia mengubah atau menambah kandungan wahyu tersebut. Ayat dalam Surah Al-A’raf menunjukan kelebihan Rasul bersifat ummi kerana ia menunjukkan kemukjizatan Al-Quran iaitu ianya datang 100% daripada Allah. Sifat ini dilihat sebagai sifat yang positif. Sifat ummi perlu digandingkan dengan bantuan wahyu dan Ilmu dari Allah. Apabila seseorang Nabi itu tidak tahu menulis atau membaca ia juga tetap akan mendapat ilmu melalui wahyu di mana ilmu itu lebih hebat jika dibandingkan dengan ilmu orang yang pandai membaca dan menulis. Sebab perlunya nabi itu bersifat ummi ketika melakukan kerja dakwah dan menyampaikan isi kandungan Al-Quran ialah:

1. Nabi Muhammad perlu membaca dan menyampaikan isi kandungan dan ayat-ayat Al-Quran tanpa mengubahnya atau menambah dengan gaya bahasanya sendiri disebabkan jika dia mempunyai gaya bahasa hasil pembacan terhadap penulisan kitab-kitab terdahulu. Jadi, baginda hanya menerima wahyu yang disampaikan secara keseluruhan kerana dia tidak mampu membaca sendiri. Beliau hanya diajarkan oleh Jibril dengan bantuan kekuatan hafalan yang dianugerahkan Allah.

2. Jika Nabi dikatakan boleh membaca dan menulis dengan baik, sudah semestinya beliau akan dituduh seorang yang pernah membaca dan mengkaji kitab-kitab terdahulu dan mendapat idea daripadanya untuk menulis Al-Quran.

3. Sebenarnya mempelajari kemahiran membaca dan menulis merupakan proses yang lebih mudah. Orang yang kurang cerdik juga mampu belajar untuk menulis. Tetapi anugerah wahyu yang diberi kepada Nabi membuktikan baginda mendapat ilmu yang lebih berprestij dan lebih unik berbeza dengan orang yang lain. Satu dalam sejuta atau lebih dari itu. Baginda mendapat ilmu langsung dari Allah.

4. Selain itu lafaz ummi mampu menyeimbangkan kedudukan Nabi sebagai hamba Allah dan Rasul-Nya bagi membeza kedudukan para nabi yang lain yang pernah diangkat secara berlebih-lebihan. Nabi Muhammad hanyalah hamba Allah dan Rasulnya. Nabi mempunyai sifat manusia tetapi dipandu dan oleh Allah.

Secara kesimpulannya, Lafaz Al-Rasul dan Al-Ummi dalam ayat 157 Surah Al-A’raf perlu digandingkan bersama (Lihat betul-betul ayat ini kembali). Lafaz Al-Rasul akan memandu lafaz Al-Ummi. Apabila dikatakan Al-Rasul secara automatic Nabi Muhammad mendapat ilmu dan maklumat yang lebih agung dan unik. Tidak memerlukan usaha untuk belajar bentuk-bentuk huruf dalam Bahasa Arab. Manakala lafaz Al-Ummi hanya ditujukan kepada kitab dari sudut bahasa dan situasi masyarakat Arab yang lebih bergantung kepada hafalan syair dan puisi pada zaman Nabi. Kerana itu ada hadith yang mengatakan nabi Muhammad diutuskan kepada masyarakat yang ummi (lihat hadith Abu Daud, sanadnya hasan, kitab Al-Malahim). Mungkin ada orientalis yang mengatakan Nabi mungkin menghafal kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil. Tetapi ia hanya dakwaan sahaja tanpa ada bukti yang terperinci. Jika ada, mereka tidak menyatakan dengan siapa Nabi belajar, di mana baginda belajar dan pada waktu bila baginda belajar. Sekadar dakwaan tiada asasnya.

Bagi orang-orang Islam pula, mereka perlu mempelajari dan menimba ilmu dengan membaca menulis dan berbincang. Tidak boleh mengharapkan ilham atau mimpi untuk mendapatkan ilmu. Kita juga tidak boleh salah faham terhadap ajaran Islam yang sentiasa menyuruh umatnya berusaha menuntut ilmu. Terdapat perbezaan antara cara Nabi mendapatkan ilmu dan cara kita memperolehinya.

Diharap saudara Azizi Rahmat dan rakan-rakan yang lain dapat mengembangkan lagi jawapan ini dan berbincang dengan lebih ilmiah lagi.


ISRAILIYYAT DAN RAKAAT SOLAT TERAWIH

ISRAILIYYAT: Berkenaan dengan soalan mengenai ketika nabi Adam turun ke bumi dan beberapa perkara yang ditawarkan kepadanya, jika tidak dapat dipastukan kesahihan cerita tersebut, kita hanya menganggap cerita itu datang dari riwayat ahli kitab dan mengambil jalan tengah iaitu tidak tidak meyakini seratus peratus perkara tersebut dan tidak menyebarkan perkara tersebut kepada orang ramai melainkan dijelaskan sumber cerita tersebut. Jika kita tidak pasti kebenaran cerita itu adalah wajar jika kita mengambil cerita yang lebih diyakini statusnya. Isu ini dibangkitkan oleh seorang pelajar kelas 2 yang mengatakan nabi Adam diberi pilihan samada nak pilih akal, akhlak dan agama sebelum turun ke bumi. Maka Nabi Adam pun memilih akal. tetapi akhlak dan agama juga diturunkan semula kepada Nabi Adam kerana 3 perkara tersebut tidak dapat dipisahkan. Tetapi menurut pandangan saya Nabi Adam setelah mendekati pohon terlarang di syurga dia telah bertaubat dan diturunkan ke bumi. Nabi Adam sememangnya telahpun mempunyai akal yang mantap sebelum itu dan menandingi kehebatan para malaikat dalam soal ilmu dan akal. Apa yang penting sekarang ialah syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad mengiktiraf akal, akhlak dan agama sekaligus. Wallahu A'lam Bis Sawab

:RAKAAT TERAWIH:Mengenai perkara ini, untuk memberi sedikit penjelasan kepada isu yang diutarakan oleh pelajar kelas 3, sebenarnya rakaat yang diperselisihkan untuk solat terawih bukan sahaja 11 dan 23, malah ada pandangan yang mengatakan sebanyak 39 dan 43 termasuk witir. Solat 11 rakaat memang dilakukan pada zaman nabi. Manakala solat terawih 23 rakaat dilakukan oleh Umar Al-Khattab. 39 rakaat soalt witir adalah pendapat Imam Malik. Perselisihan ini timbul kerana nabi sebenarnya tidak menetapkan jumlah yang tetap kerana solat sunat boleh dikerjakan menurut kemahuan kita berdasarkan kemampuan. tetapi ramai dari negara-negara Islam sekarang yang mengambil jalan pertengahan iaitu antara 10 dan 40 rakaat dijadikan 23 rakaat. Manakala ada yang melakukan 11 rakaat kerana mengikut nas atau perbuatan Nabi. Bagi saya terpulang kepada kita untuk solat berapa rakaat yang mampu dan tidak boleh diwajibkan ke atas imam-imam masjid untuk melakukan solat terawih 23 rakaat dan mengharamkan solat terawih 11 rakaat. Apa yang penting ialah soalt dalam keadaan toma'ninah (tidak terburu-buru) dan menghayati solat terawih. Tetapi sekarang ini berlaku satu masalah di masjid-masjid yang melakukan solat 23 rakaat iaitu mereka mendirikan solat dengan pantas dan boleh dikatakan membaca dengan laju (tidak menepati tajwid) dan bergerak dengan laju. Hal ini menyebabkan objektif solat tidak dihayati sepenuhnya. Bagi saya terpulang kepada kita samada nak buat 11 atau 23 tetapi mestilah bacaan dalam solat tidak terburu-buru walaupun membaca ayat-ayat lazim dalam solat terawih 23 rakaat. Mungkin sikap terburu-buru adalah hasil dari penghayatan terhadap solat untuk MOREH, bukan solat untuk solah TERAWIH. Wallahu A'lam Bis Sawab.


PENJELASAN TERHADAP KISAH HINDUN MEMAMAH HATI HAMZAH:


Pandangan peribadi: Kalaulah cerita di atas betul berlaku pada zaman Rasulullah, berdasarkan kajian-kajian pada masa-masa akan datang,kita boleh katakan Hindun melakukan perkara sedemikian kerana beliau pada masa itu tidak beriman (kafir). Selepas dia memeluk Islam dia antara kalangan Sahabat yang diiktiraf. Menjadi tabiat seseorang ketika berperang akan melakukan pembunuhan disebabkan situasi peperangan itu sendiri. Adapun perbuatan Hindun sebelum Islam maka ia dimaafkan setelah beliau beriman dengan Islam. Berkenaan dengan sirah Hindun yg diajarkan di sekolah, kita boleh ceritakan kepada pelajar, tetapi kena beritahu mereka perbuatan tersebut beliau lakukan ketika sebelum Islam. Tetapi setelah memeluk Islam dosa itu dimaafkan kerana dalam Islam, apabila orang kafir masuk Islam, segala dosanya yang lepas akan terhapus dengan izin Allah.

Untuk menjawab persoalan ini, saya mempunyai buku asal mengenai cerita di atas. Buku tersebut ada di tangan saya dan anda boleh pinjam dari saya. Bukunya berjudul: Ibnu Ishaq Peranannya Dalam Penyebaran Fahaman Syi'ah Di Kalangan Ummah. Ditulis oleh tokoh hadith yang terkenal di Kelantan bernama Muhammad Asri Yusoff yang menghabiskan masa yang panjang mempelajari kitab-kitab hadith di India. Saya sendiri telah menghadiri seminar di sebuah IPTA untuk membincangkan buku tersebut dan isu-isu tentang Syiah di Malaysia pada tahun 2004.

Jika anda membacanya sahaja tanpa penjelasan yang dibincangkan di seminar tersebut tidak mencukupi. Jadi ada beberapa penjelasan yang perlu disebutkan di sini iaitu:

1. Kisah Hindun memakan hati Hamzah ketika peperangan Uhud telah dipertikaikan oleh sesetengah pihak. Mengapa baru sekarang baru nak diperdebatkan? Cerita tersebut telah kita pelajari dan menjadi silibus Sirah Nabi Muhammad secara umumnya di Malaysia. Ia berpunca kerana penilaian terhadap Sirah atau Sejarah tidak begitu serius jika dibandingkan dengan penilaian terhadap hadith Nabi.

2. Berdasarkan kajian dan perbandingan antara cerita tersebut, riwayat mengenai peristiwa itu bersumberkan buku sejarah yang direkodkan oleh Ibnu Ishaq di dalam buku sejarahnya iaitu: "Sirah Ibnu Ishaq". Muhammad Asri Yusof telah melakukan kajian terhadap cerita itu. Hasil kajiannya ialah rangkaian atau sanad perawi terputus dan tidak dapat dijadikan hujah. Ia diceritakan oleh seorang tabi'i kecil yang bernama Saleh bin Kaisan sebelum kelahirannya. Jarak jarak waktu antara Saleh bin Kaisan dengan orang yang tidak hidup sezaman dengannya tidak dapat dijadikan sandaran yang kukuh.

3. Pembongkaran peristiwa itu sebenarnya bukannya di buat oleh musuh-musuh Islam, tetapi ialah semangat menilai setiap riwayat yang bersangkut paut tentang kedudukan Sahabat Nabi. Hindun merupakan antara sahabat nabi yang diiktiraf dan mempunyai kelebihan. Tidak mustahil juga jika ada sesetengah pihak cuba mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan sesama Islam. Tetapi berdasarkan pengamatan saya, kajian tersebut harus dihargai dan ia membuka minda kita supaya meluaskan penilaian kita terhadap Sirah dan Hadis Nabi sekaligus.

4. Adalah wajar kita mengutamakan kisah yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari tentang cerita semasa Hamzah dibunuh oleh Wahsyi. Riwayat Al-Bukahri tidak terputus dan bersambung sekaligus menepati piawaian penilaian Hadith. dalam riwayat Imam Al-Bukhari, cerita tentang Hindun memakan hati Hamzah tidak disebutkan sama sekali, malah Hindun dan Wahsyi memeluk Islam selepas peperangan Uhud dan kelebihan Hindun dirakamkan dalam Sahih Al-Bukhari.

5. Dalam buku Muhammad Asri Yusoff, punca berlakunya cerita itu disebabkan oleh Ibnu Ishaq sendiri. Muhammad Asri mengatakan Ibnu Ishaq ialah seorang Syiah yang berpura-pura menjadi Ahlis Sunnah dan mengamalkan taqiyyah (berpura-pura). Dalam menilai hadith atau sirah, jika cerita itu seakan-akan memburukkan sahabat Nabi ia merupakan riwayat yang dibuat oleh golongan Syiah Rafidhah. Cerita mengenai Ibnu Ishaq boleh anda dapatkan dari saya dengan syarat anda memulangkan buku saya setelah selesai membacanya.

6. Akan tetapi kita tidak boleh menuduh Ibnu Ishaq seorang Syiah yang ekstreme kerana semasa perbincangan buku itu dalam seminar yang berlangsung pada tahun 2004 di tempat saya belajar, beberapa pandangan pensyarah yang berpengalaman telah diambil kira. Kesimpulannya, tidak dapat dipastikan samada Ibnu Ishaq seorang syiah atau sebaliknya. Ini kerana ada ulama yang mengatakan beliau seorang yang boleh dipercayai dan ada yang mengatakan beliau tidak boleh dipercayai.

7. Dalam hal ini, ulama berbeza pandangan. tetapi Ibnu ishaq telah pun menyatakan riwayat peristiwa Hindun itu beserta sanad sekali walaupun sanad tersebut munqati' (terputus). Jadi, Ibnu Ishaq telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam menyampaikan sesuatu berita atau sejarah. Ini kerana dalam buku Ustaz Muhammad Asri, beliau telah menyatakan Ibnu Ishaq sebagai seorang syi'ah yang dipertikaikan. Oleh itu pendirian kita dalam hal ini ialah tidak menyalahkan Ibnu ishaq kerana beliau telah menyatakan sanad peristiwa itu.

8. Akhir kata, cerita yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari lebih afdhal untuk diguna pakai dan jauhkan dari riwayat yang mencela para Sahabat Nabi. Menilai semula hadith dan Sirah tidak menjadi kesalahan dan bukannya niat musuh Islam untuk memporak perandakan umat Islam. Allah lebih mengetahui.

Ditulis oleh Muhammad Hakim
Hari Jumaat, pukul 10.16 pagi.



PENJELASAN TERHADAP HADITH MENINGGAL DUNIA PADA MALAM JUMAAT:


Saya telah ditanya oleh saudara Shahrul Anuar (KELAS 3) mengenai hadith ini: "Sesiapa yang meninggal dunia pada malam Jumaat, dia akan terlepas dari fitnah (ujian dan azab) kubur", samada ia boleh dijadikan hujah ataupun tidak (in other word: sahih/authentic or dha'if/weak).

Berdasarkan kepada pembacaan saya secara pantas dengan mengambil pendapat pakar hadith yang bernama Dr. Sa'ad bin Abdullah Al-Hamid, seorang ulama di Mekah Al-Mukarramah, beliau menyatakan status hadith tersebut adalah "DHA'IF" (lemah-tidak boleh diyakini secara pasti dan tidak digunakan sebagai hujah dalam agama). Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya, juga diriwayatkan oleh Imam Al-Tirmidzi dan Imam Abdul Razzaq serta Imam Al-Tahawi.

Imam Al-Tirmidzi sendiri menjelaskan status hadith itu dengan katanya: "Hadith ini Gharib (yakni lemah)kerana sanad dalam hadith tersebut tidak bersambung".

Sebaliknya, Imam Al-Bukhari meriwayatkan hadith yang orang yang meninggal dunia dengan meletakkan satu bab iaitu: Bab meninggal dunia pada hari Isnin. (sila lihat Kitab Al-Janaiz, Sahih Al-Bukhary) Bab yang diletakkan oleh Al-Bukhari merupakan ijtihad beliau dan seakan-akan hadith yang menyatakan meninggal dunia malam jumaat tidak sahih di sisi Imam Al-Bukhari.

Tambahan pula, ramai perawi yang menyampaikan hadith ini tidak menepati syarat-syarat periwayatan hadith seperti seorang yang lemah ingatan dan tidak kuat hafalannya. Sebagai contoh, Imam Al-Daruqutni menyatakan dalam hadith tersebut terdapat perawi yang bernama Mu'awiyah bin Sa'id yang banyak meriwayatkan hadith yang terputus sanadnya.

Selain itu, terdapat ulama hadith yang berpendapat bahawa tarikh kematian kita bukanlah satu pilihan. Jadi adalah sesuatu yang tidak logik jika kita berharap kalau boleh kita meninggal hari jumaat. Mati adalah di luar kawalan seseorang insan.

Lagipun Nabi Muhammad (semoga Allah berselawat ke atas baginda), MENINGGAL DUNIA PADA HARI ISNIN...Bagi ustaz jika orang itu meninggal dunia pada hari isnin dia perlu bersyukur kepada Allah. Kita juga dapat pahala jika kita bercita-cita untuk meninggal pada hari isnin dengan syarat kerana nak ikut Nabi. Tetapi bukan tarikh mati yang perlu kita cita-citakan, akan tetapi persediaan kita sebelum mati. Adakah kita bersedia dengan amalan kita??? Itulah persoalan yang lebih utama untuk orang2 yang masih hidup.

Agak pelik bagi masyarakat Melayu kerana hari jumaat merupakan hari yang bercampur baur dengan unsur2 jahat dan unsur2 baik. Sesetengah dari kalangan kita percaya hari jumaat hari hantu atau roh jahat keluar mencari mangsa, dan pada masa yang sama kita percaya malam jumaat malam yang penuh berkat.

Berkenaan hadith tadi terdapat juga hadith2 yang sama tetapi berbeza sedikit dari segi lafaznya. Tetapi hadith tersebut tidak dapat menyokong hadith tadi kerana terdapat beberapa orang perawi yang pernah membuat hadith palsu iaitu:
1. Al-Husain bin 'Ulwan
2. 'Umar bin Musa Wajih


Furthermore, Hadith tersebut juga bertentangan dengan riwayat sahabat yang lain yang menyatakan azab kubur adalah sesuatu yang thabit (tetap) kepada semua orang yang melakukan dosa di dunia. Azab kubur juga merupakan antara rukun yang perlu diimani oleh setiap muslim. Kita takut jika ada orang yang bercita2 mati hari jumaat dengan tujuan mengelakkan azab kubur kerana mahu terus melakukan maksiat dan dosa di dunia.

Untuk lebih selamat ketika membuat penerangan pengurusan jenazah, adalah lebih baik jika Shahrul Anuar dan rakan-rakan yang lain mengambil petikan ayat Quran yang berbunyi : "Setiap jiwa pasti merasai kematian" dan hadith2 lain yang sahih berkaitan kematian dan azab kubur. Berikan juga motivasi dengan menaikkan semangat peserta agar menambah amalan masing-masing kerana apa yang penting ialah persediaan amalan bukannya hari yang menentukan nasib kita di akhirat kelak. Apa-apa pun kita memohon rahmat daripada Allah agar dimatikan dalam keadaan Iman dan Islam serta dijauhkan azab kubur yang tidak terperi sakitnya. Akhir kata Rahmat Allah mengatasi kemurkaan-Nya.

WALLAHU A'lam BISSAWAB (Allah lebih mengetahui)

Ditulis oleh: Muhammad Hakim bin Rosly
29 Jun 2010, pukul 4.15 petang

BERDAMPING DENGAN JIN? MENGAPA TIDAK DENGAN AL-QURAN? IA LEBIH BERMAKNA! Dapatkan buku yang diterjemahkan dan dimurnikan dalam b...