Thursday, July 1, 2010

Membongkar Misteri Jumlah Ismiyyah & Fi'liyyah


ANTARA AL-KALAM DAN AL-JUMLAH

Dalam kesibukan pasukan paranormal mencari kewujudan dan misteri entiti halus yang tidak berkesudahan, adalah wajar
kita membongkar misteri Sistem Ayat Ismiyyah dan Fi'liyyah dalam bahasa Arab. Alam halus tidak perlu dibuktikan dengan pancaindera. Iman dan kepercayaan tidak memerlukan bukti secara nyata. Nilai keimanan dalam Islam ialah mempercayai sesuatu walaupun kita tidak mampu melihat. Adapun misteri Jumlah Ismiyyah & Fi'liyyah, maka ia perlu dikaji kerana ia tidak ada kaitan dengan alam ghaib.

Berbalik kepada perbincangan mengenai Jumlah Ismiyyah dan Jumlah Fi'liyyah, kedua-dua bentuk ayat dalam bahasa Arab perlu diketahui dan digunakan oleh para pelajar bukan Arab. Dalam buku teks tahun 1, kita telah menekankan mufradat (vocab) asas dan beberapa kata nama maskulin (mudzakkar) dan feminin (muannath). Sebaliknya, buku teks tahun 2 menyentuh bentuk dan struktur yang lebih kompleks iaitu sistem ayat dalam bahasa Arab. Dalam bahasa Arab, ada dua istilah yang perlu dibezakan iaitu:

1. Al-Kalam.
2. Al-Jumlah.

Al-Kalam ialah Lafaz yang berganding dengan lafaz yang lain dan ia memberikan (manfaat) maksud kepada pendengarnya.(Al-Kalam Huwa Al-Lafd Al-Murakkab Al-Mufid Bil Wadh'ie). Manakala Al-Jumlah mempunyai pengertian yang sama tetapi kadang-kadang ia memberi maksud dan kadang-kadang ia tidak memberi maksud. Oleh itu setiap Al-Kalam itu Al-Jumlah, tetapi tidak semua Al-Jumlah itu Al-Kalam. menerusi buku teks tahun 2, kita mandapati banyak contoh Jumlah Ismiyyah diberikan. Persembahan dalam buku itu dimulakan dengan contoh kemudian definisi baru disentuh. Contohnya Takrif Isim, Fi'il dan Huruf dibincangkan pada akhir buku teks. Kaedah pengajaran yang digunakan dalam buku tersebut ialah Kaedah Istiqraiyyah.

ANTARA KAEDAH ISTIQRAIYYAH DAN ISTINTAJIYYAH

Terdapat dua kaedah untuk menghuraikan sesuatu perkara iaitu Kaedah Istiqraiyyah (Inductive Method) dan Kaedah Istintajiyyah (Deductive Method). Kaedah yang pertama bermaksud: "a process of using observations to develop general priciples about a specific subject". Dalam konteks pengajaran bahasa, kaedah ini bermula dengan memberikan contoh-contoh bahasa yang ingin digunakan oleh pelajar kemudian teori atau definisi diterangkan setelah pelajar mendapat bentuk sesuatu struktur bahasa. Adapun Kaedah Intintajiyyah, ia bermula dengan menerangkan teori tentang struktur bahasa dan kemudian contoh akan diberikan untuk memberi huraian dengan lebih terperinci.

Kaedah Istiqraiyyah sesuai digunakan oleh kita apabila ingin menyampaikan sesuatu kandungan bahasa itu kepada pelajar peringkat rendah. Kaedah kedua lebih sesuai digunakan oleh pelajar dewasa kerana pemikiran orang dewasa lebih kepada logik dan analisis.

KEGUNAAN JUMLAH ISMIYYAH DAN FI'LIYYAH

Kita mungkin akan tertanya-tanya kenapa perlu belajar kedua-dua sistem bahasa Arab itu? Sebenarnya Jumlah Ismiyyah diutamakan dahulu sebelum Fi'liyyah untuk tujuan menggunakannya dalam dialog dan pertuturan harian bagi memudahkan pelajar kita membuat perbandingan dengan sistem ayat dalam bahasa ibunda mereka. Bahasa Melayu sememangnya bermula dengan kata nama dan bukannya kata kerja. Jadi apakah pula kegunaan Jumlah Fi'liyyah? Jumlah Fi'liyyah perlu dikenali oleh pelajar untuk tujuan pembacaan bahan rujukan dalam bahasa Arab pada masa akan datang. Ini kerana boleh dikatakan 80 peratus penulisan bahasa Arab menggunakan ayat yang dimulakan dengan kata kerja (fi'il). Selain dari itu, melatih diri mengenali Jumlah Fi'liyyah akan mengukuhkan penulisan pelajar dengan memantapkan gaya bahasa Arab dalam kemahiran menulis. Jika Jumlah Ismiyyah dan Fi'liyyah dapat diseimbangkan dalam penulisan mereka, ini bermakna sentuhan bahasa Arab telah meresapi dalam jiwa pelajar sedikit demi sedikit. Antara kesalahan gaya bahasa di kalangan pelajar ialah menggunakan ayat ismiyyah sahaja dan mengetepikan ayat fi'liyyah. Mempelbagaikan penggunaan ayat akan memantapkan bahasa kita.

Dengan ini, terbongkarlah misteri sistem ayat dalam bahasa Arab yang selama ini hanya dihafal untuk peperiksaan! Jangan biarkan hidup anda diselubungi misteri...(petikan ini dinukil dari dokumentari Misteri Nusantara terbitan TV3).

No comments:

Post a Comment

BERDAMPING DENGAN JIN? MENGAPA TIDAK DENGAN AL-QURAN? IA LEBIH BERMAKNA! Dapatkan buku yang diterjemahkan dan dimurnikan dalam b...