Saturday, November 20, 2010

Kaedah Penilaian Hadith


SUBJEK: HADITH (DPF 2543)

UJIAN 20%
PEMBENTANGAN 20%
KERJA KURSUS 30%
HAFALAN 20%
KEHADIRAN 10%

JUMLAH KESELURUHAN (Carry Mark)= 100% (60%)

Peperiksaan Akhir = 100% (40%)

Friday, November 19, 2010

BAHASA ARAB KOMUNIKASI



1. Objektif Pembelajaran Bahasa Arab Komunikasi
- Objektif Umum Pembelajaran Bahasa Arab
- Objektif Pembelajaran Bahasa Arab Komunikasi di Malaysia

2. Definisi Komunikasi dan kemahiran-kemahirannya
- Proses yang berlaku ketika berkomunikasi
- Sejarah ringkas Pendekatan Komunikasi dalam pengajaran bahasa
- Kemahiran-kemahiran berkomunikasi (Mendengar, Bertutur, Membaca dan Menulis)

3. Ciri-ciri Penggunaan kaedah Komunikasi dalam pembelajaran Bahasa Arab
- Langkah-langkah yang diperlukan untuk pelaksanaan pembelajaran Bahasa Arab berasaskan konsep komunikasi

4. Al-Mawaqif Al-Lughawiyyah (Situasi dan Konteks Berkomunikasi)
- Definisi
- Majalat Al-Ittisal Al-Lughawi (Bidang komunikasi)
- Contoh-contoh Dialog dalam situasi berbeza

5. Al-Wazaif Al-Lughawiyyah (Fungsi dan Bentuk berkomunikasi)
- Definisi
- Contoh-contoh bentuk komunikasi

6. Kemahiran-kemahiran penting komunikasi dalam Bahasa Arab
- Aspek Fonetik
- Aspek Sintaksis (Nahu) dan Morfologi (Saraf)

7. Situasi 1 dan pembentangan/aktiviti:
- Pengenalan diri
- Masa dan waktu
- Negara dan tempat

8. Situasi 2 dan pembentangan/aktiviti:
- Di Pasar/Kedai
- Di tempat kerja
- Nilai keagamaan dan moral

9. Situasi 3 dan pembentangan/aktiviti:
- Di asrama kolej
- Cuaca dan iklim
- Di kantin/Di hospital

10. Situasi 4 dan pembentangan/aktiviti:
- Waktu lapang
- Surat Rasmi dan tidak rasmi
- Di majlis dan acara

11. Situasi 5 dan pembentangan/aktiviti:
- Pandangan dan pendapat
- Pidato dan ucapan awam
- Jemputan

12. Situasi 6 dan pembentangan/aktiviti:
- Tunjuk arah
- Cerita (fakta/fiksyen)

13. Situasi 7 dan pembentangan/aktiviti:
-Iklan dan pengumuman

14. Perbincangan/Ulangkaji/Penilaian

AHLAN WA SAHLAN...


Pengajaran dan pembelajaran melalui konsep e-learning merupakan satu pendekatan kontemporari yang sedang mendapat tempat dalam dunia pendidikan. Penggunaan blog antara pensyarah dan pelajar ialah antara salah satu unsur penting dalam e-learning. Secara ringkas e-learning atau pembelajaran elektronik ialah penggunaan elektronik untuk tujuan pembelajaran. E-Learning melibatkan pembelajaran menerusi laman web dan komputer serta pertukaran maklumat secara digital. Penggunaan blog bukanlah satu tamparan negatif terhadap pendekatan tradisionalis, malah ia merupakan satu integrasi antara kedua-dua pendekatan supaya proses pembelajaran menjadi lebih berkesan.

Dalam blog ini, para pelajar boleh mengetahui perkara-perkara berikut dengan lebih pantas:

1) Silibus Subjek
2) Tugasan yang perlu dilakukan
3) Maklumat terkini yang perlu diambil perhatian
4) Berkongsi maklumat dengan pensyarah
5) Kaedah penilaian seperti markah kerja kursus dan ujian


Selain itu, para pelajar juga boleh memberikan pandangan masing-masing melalui blog ini kerana sesetengah pelajar lebih selesa melontarkan pandangan melalui blog daripada memberi pandangan di dalam kuliah. Masalah pembelajaran yang dialami oleh pelajar juga boleh dikongsi dengan pensyarah subjek dan akan direkodkan dalam sistem penasihatan akademik.

Thursday, September 30, 2010

MEMAHAMI AL-QURAN DENGAN TERJEMAHAN ATAU BAHASA ARAB?


Oleh: MUHAMMAD HAKIM ROSLY
(*Catatan: Artikel ini telah disunting dan disiarkan oleh Majalah Dewan Masyarakat September 2010 di dalam ruangan Agama)

SEJARAH RINGKAS AL-QURAN DAN UMAT ISLAM


Al-Quran ialah wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam bahasa Arab. Proses memahami Al-Quran dari setiap generasi ke generasi yang lain mengalami beberapa situasi yang berlainan. Tidak dapat dinafikan masyarakat yang hidup pada zaman awal kebangkitan Islam ialah masyarakat Arab yang memahami isi kandungan Al-Quran secara langsung. Orang Arab sewaktu itu terkenal dengan bangsa yang mahir dalam aspek bahasa dan sastera. Turunnya Al-Quran telah memberikan cabaran yang besar kepada para penyair Arab khususnya. Keindahan bahasa Al-Quran menjadi satu alat yang berkesan bagi menarik masyarakat Arab supaya menerima Islam sebagai agama yang benar.

Dengan turunnya Al-Quran secara beransur-ansur selama 23 tahun, para sahabat Nabi dan masyarakat Arab yang memeluk Islam mampu memahami Al-Quran dengan jelas. Mereka dapat mengetahui di mana, bila dan kepada siapa serta sebab ayat-ayat Al-Quran diturunkan. Sebahagian sahabat Nabi yang mempunyai daya pemikiran yang tajam dan penguasaan bahasa yang tinggi, berupaya melihat tafsiran Al-Quran dan menghuraikannya selaras dengan kehendak Al-Quran seperti Ibnu ‘Abbas dan Ibnu Mas’ud.
Seterusnya Islam berkembang dan disebarkan kepada masyarakat yang berada di luar kawasan Arab. Dari sudut sejarah secara umumnya, sebelum kejatuhan empayar Uthmaniyyah pada tahun 1922, umat Islam berada di bawah dua era pemerintahan yang utama iaitu Era Umayyah dan Era Abbasiyyah. Era Abbasiyyah di bawah pemerintahan Harun Al-Rashid merupakan zaman yang menonjol dari segi perkembangan ilmu pengetahuan dan disifatkan sebagai Zaman Keemasan Islam. Semangat umat Islam untuk memahami Al-Quran dan ilmu-ilmu yang lain serta dorongan karya-karya sarjana Islam membantu mereka memahami Al-Quran dengan lebih mendalam lagi.
Semasa era ini, Muhammad bin Jarir Al-Tabari dan Ibnu ‘Atiyyah Al-Andalusi merupakan antara sarjana yang menghasilkan buku Tafsir Al-Quran yang terkenal.

Buku-buku tafsir tersebut ditulis dalam bahasa Arab walaupun umat Islam pada waktu itu terdiri dari pelbagai bangsa dan latar belakang bahasa yang berbeza. Namun begitu, pada waktu itu umat Islam masih mampu memahami penjelasan terhadap ayat-ayat Al-Quran dan rujukan-rujukan lain dalam bahasa Arab.
Setelah Islam mengalami era kemerosotan dengan jatuhnya pemerintahan Uthmaniyyah di Turki, umat Islam dipengaruhi oleh gerakan sekularime dan semangat kebangsaan yang disuntik oleh penjajah Barat. Hal ini telah memberi kesan yang besar kepada proses perkembangan ilmu dan pendidikan dalam masyarakat Islam. Dasar bahasa dalam aspek pendidikan telah diubah. Negara Turki dibawah pemerintahan baru Mustafa Kamal Atartuk telah mengarahkan agar Al-Quran perlu dicetak dalam bahasa Turki. Begitu juga dengan azan, ia perlu dilaungkan dalam bahasa itu. Bahasa Turki sendiri diubah dengan membuang unsur-unsur Arab dan Parsi. Akibatnya, umat Islam telah jauh sedikit demi sedikit dari bahasa Arab yang menghubungkan mereka dengan kefahaman terhadap isi kandungan Al-Quran.

Pengaruh Sekularisme bukan sahaja dialami oleh satu negara sahaja, malah ia memberi kesan ke atas seluruh negara-negara Islam yang lain. Pengaruh penjajah Barat seperti Inggeris juga telah mengikis semangat umat Islam di Nusantara untuk mempelajari bahasa Arab dengan memperkenalkan sekolah aliran Inggeris dan perubahan penggunaan tulisan Jawi kepada tulisan Rumi. Dengan tidak menafikan bahasa Inggeris sebagai bahasa asing yang tidak kurang pentingnya, usaha pemodenan dalam pendidikan telah menyebabkan umat Islam bergantung kepada terjemahan Al-Quran dalam bahasa-bahasa yang lain. Pada hari ini proses menterjemah Al-Quran giat dilaksanakan ke dalam bagi memberi kefahaman khususnya kepada masyarakat Islam minoriti di negara-negara Asia bukan Islam seperti Jepun.
Perterjemahan Al-Quran ke dalam Bahasa Jepun telah dilakukan oleh seorang Muslim berbangsa Jepun iaitu Umar Mita dan selesai dihasilkan pada 10 Jun 1972. Usaha penterjemahan Al-Quran dalam bahasa-bahasa Asia yang lain seperti Bahasa Urdu, Turki, Tamil, Cina dan Melayu giat diperkembangkan sebagai salah satu cara menyampaikan ajaran Al-Quran kepada semua umat manusia (Lihat: Mohd Shukri Hanafi, Terjemahan Al-Quran Dalam Pelbagai Perspektif, (Selangor: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Cetakan 1, 2003, m/s 121-122).

MEMBACA TERJEMAHAN ATAU MEMPELAJARI BAHASA ARAB?

Berdasarkan sejarah ringkas yang dibincangkan tadi, ia mengheret kita kepada satu persoalan: Adakah usaha penterjemahan Al-Quran dan tafsirannya sudah memadai kepada masyarakat Nusantara khususnya di Malaysia. Begitu juga dengan buku dan rujukan Islam yang giat diterjemahkan dari semasa ke semasa. Adakah cukup dengan membaca buku-buku terjemahan tersebut atau kita perlu mempelajari bahasa Arab untuk mengukuhkan pemahaman terhadap Islam?
Prof. Dr. Khalid Al-Samadi, Pengarah Pusat Penyelidikan Pendidikan Islam di Magribi, telah memberikan satu penjelasan berhubung dengan perkara ini. Beliau berpendapat usaha penterjemahan Al-Quran wajar digandingkan dengan pengajaran bahasa Arab kepada penutur bukan berbangsa Arab. Meskipun Al-Quran berjaya diterjemahkan kepada bahasa-bahasa lain, sesetengah istilah dalam bahasa Al-Quran tidak dapat diterjemahkan dengan bandingannya yang tepat khususnya istilah-istilah yang berkaitan dengan perkara-perkara keimanan.

Menurut beliau lagi, seorang muslim yang tidak memahami bahasa Arab hanya akan menjadi pentaklid yang tidak dapat memahami hukum-hukum Islam melainkan dengan bahasa perantaraan. Boleh dikatakan kebanyakan masyarakat Muslim di Eropah tidak mampu membaca rujukan-rujukan Islam dari sumbernya yang asli. Pada kebiasaannya, mereka bergantung kepada rujukan yang diterjemahkan dari rujukan terjemahan yang lain lalu mengakibatkan pentafsiran yang berbagai-bagai. Hasil dari itu, salah faham terhadap Islam akan berlaku secara tidak langsung. Oleh itu, beliau menyarankan agar bahasa Arab dijadikan sebagai bahasa pengajaran bagi matapelajaran Pendidikan Islam di negara-negara Islam bukan Arab kerana ia memberi dua faedah iaitu: 1) Memahami Islam dari sumbernya yang asli, 2) Mengukuhkan penguasaan bahasa Arab pada masa yang sama.

PANDANGAN DAN CADANGAN

Pada pengamatan penulis, usaha penterjemahan Al-Quran, rujukan-rujukan Islam yang lain dan pengajaran bahasa Arab merupakan dua perkara yang perlu berjalan seiring. Walaubagaimanapun beberapa tindakan perincian wajar ditekankan dalam kedua-dua aspek tersebut. Dalam konteks Malaysia, penterjemahan Al-Quran dan rujukan Islam yang lain ke dalam bahasa Melayu perlu diteruskan kerana setiap bahasa berupaya menjelaskan sesuatu istilah. Masyarakat Melayu yang membaca hasil terjemahan Al-Quran dengan baik mampu memahami kandungan Al-Quran dengan pantas di samping menyemai semangat cintakan bahasa ibunda dan menyemarakkan lagi keyakinan menggunakan bahasa sendiri.

Tidak dapat dinafikan juga terdapat perkataan yang sukar dicari bandingannya. Bagi mengatasi ini, golongan penterjemah profesional perlu memilih perkataan yang lebih sesuai kerana dalam proses penterjemahan makna harus diberikan fokus. Ini kerana terdapat perkataan-perkataan bahasa Arab yang disangka mempunyai satu makna sahaja, tetapi ia sebenarnya mempunyai sedikit perbezaan dari sudut penggunaan dan melihat kepada konteks yang dibahaskan. Selain dari itu, penterjemah juga dinasihatkan agar merujuk sebahagian rujukan tafsir Al-Quran yang menjurus kepada perbahasan linguistik. Rujukan-rujukan tersebut kadang-kala menjelaskan perkataan tertentu dengan lebih terperinci bagi menjamin ketepatan dalam proses terjemahan.

Aspek pembaharuan dan penelitian dalam penterjemahan juga perlu digandingkan dengan usaha memantapkan penguasaan bahasa Arab. Antara kaedah yang digunakan untuk mempelajari Bahasa Arab di samping meningkatkan kefahaman Al-Quran ialah Kaedah Harfiah yang pernah diperkenalkan sekitar tahun 70-an. Ia ialah satu proses mengalihkan lafaz dari satu bahasa ke lafaz yang serupa dari bahasa yang lain sesuai dengan susunan bahasa pertama (lihat: Manna’ Khalil Al-Qattan, Studi Ilmu-Ilmu Al-Quran, Penterjemah: Mudzakir AS, (Jakarta: Litera Antarnusa, Cetakan 5, 2000), m/s 443). Kaedah ini sesuai digunakan bagi pelajar peringkat permulaan. Apa yang menarik, pendedahan kepada struktur asas tatabahasa, morfologi Arab dan kaedah pemindahan dari gaya bahasa Al-Quran kepada bahasa ibunda juga diberikan fokus.
Bagi peringkat yang lebih tinggi terutamanya para pelajar pengajian Islam di universiti atau kolej, untuk memantapkan penguasaan bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam yang mereka pelajari, sesetengah universiti menjadikan subjek Bahasa Arab untuk Pengajian Islam sebagai subjek wajib. Subjek tersebut dicadangkan berdasarkan kepada teori pakar-pakar linguistik yang bersangkutan dengan Pengajaran Bahasa Arab Untuk Tujuan Khusus (Arabic Language for Specific Purposes). Melalui subjek tersebut, kehendak para pelajar untuk mempelajari bahasa Arab dianalisa untuk menentukan kandungan yang sesuai dengan bidang mereka agar objektif pengajaran mencapai matlamatnya.

Walaupun subjek tersebut sesuai untuk pelajar peringkat universiti yang mempunyai latar belakang bahasa Arab yang baik, sekurang-kurangnya ia menjadi satu mekanisma untuk melahirkan segolongan cerdik pandai yang dapat menangkis penyelewengan dan salah faham terhadap kandungan Al-Quran dan sumber-sumber Islam yang lain. Golongan ini diharapkan dapat membantu menyampaikan mesej Islam yang benar dan membetulkan penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat. Dengan mengambil isu penyelewengan penafsiran Al-Quran sebagai contoh, pelajar yang mengambil jurusan Al-Quran yang mempunyai tahap penguasaan bahasa Arab yang baik dapat menjelaskan penafsiran yang salah mengenai perkataan Yakin di dalam Al-Quran. Dalam Surah Al-Hijr ayat 99 yang bermaksud: “Dan sembahlah tuhanmu sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin”.

Sesetengah kelompok sufi yang menyeleweng mengatakan kita perlu menyembah Allah sehingga sampai ke tahap keyakinan yang dapat melepaskan segala kewajipan ibadah. Bagi yang mendalami bahasa Arab seseorang akan mendapati bahawa sesetengah kata dalam bahasa Arab mengandungi lebih daripada satu makna (polisemi). Maksud yang sebenar dalam ayat tadi ialah kita diperintahkan untuk menyembah tuhan sehingga datangnya yakin iaitu kematian.
Kesimpulannya, umat Islam dalam arus globalisasi dan ledakan maklumat pada hari ini memerlukan usaha terjemahan Al-Quran yang berkualiti dan berterusan. Kepentingan mempelajari bahasa Arab juga wajar didedahkan dari semasa ke semasa. Menyentuh mengenai seruan kepada Bahasa Arab, sebahagian dari kita mungkin merasakan mempelajari bahasa Arab bererti mengunggulkan bahasa asing sepertimana isu bahasa Inggeris yang pernah menjadi pertelingkahan suatu ketika dahulu. Oleh itu, disarankan kepada para pengajar dan perancang silibus bahasa Arab agar menggunakan istilah “Bahasa Al-Quran” supaya dapat membawa manusia sejagat ke arah wadah perpaduan yang merentasi sempadan geografi, perbezaan bahasa dan warna kulit.

Al-Quran bukan hak eksklusif yang hanya dimiliki oleh bangsa Arab ataupun golongan agamawan. Pengajaran bahasa Arab seharusnya diperluaskan kepada masyarakat bukan Islam sebagai langkah awal mempersadakan bahasa itu ke tahap yang lebih tinggi.
Kepada masyarakat Melayu khususnya, mempelajari bahasa Arab dengan lebih mendalam tidak melunturkan kedaulatan bahasa Melayu, malah ia akan mengharmonikan persahabatan di antara kedua-dua bahasa kerana banyak perbendaharaan kata yang sama digunakan samada dalam percakapan harian mahupun penulisan.

Saturday, August 28, 2010

SUBJEK ULUM AL-QURAN


ASSALAMUALAIKUM KEPADA PELAJAR DIPLOMA PENDIDIKAN ISLAM SEMESTER 5...
SELAMAT KEMBALI KE MARSAH SETELAH MENJALANI LATIHAN PRAKTIKUM, SEMOGA ANDA SEMUA MEMPEROLEHI PENGALAMAN YANG BERHARGA DARI PENTAS PENDIDIKAN DAN PENGAJARAN. SESUNGGUHNYA SETIAP APA YANG DIPELAJARI HARUS DIAMALKAN DAN DISAMPAIKAN MELALUI PENGAJARAN SAMADA DALAM BENTUK LISAN MAHUPUN TULISAN.

Pada 1 September 2010 akan bermula sesi pendaftaran dan kuliah Ulum Al-Quran akan bermula selepas hari pendaftaran iaitu 2 September 2010. Diharap anda dapat merujuk jadual yang akan ditentukan oleh bahagian akademik. Walaubagaimanapun, para pelajar harus mendapatkan sedikit sebanyak maklumat dari blog ini untuk makluman lebih lanjut.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sebelum dan semasa kuliah bermula:

1. Kuliah akan berjalan selama 25 hari. Contact hour akan diperuntukkan sebanyak 42 jam. Pada masa yang sama juga silibus untuk 14 minggu perlu dibincangkan.

2. Untuk melengkapkankan silibus 14 minggu dalam masa 25 hari, kuliah akan menyentuh tajuk yang merangkumi 3 minggu kuliah biasa sekaligus dalam seminggu. Kuliah Ulum Al-Quran akan diadakan pada setiap hari selama 2 jam melainkan hari Jumaat iaitu satu jam sahaja.

3. Kuliah akan bermula pada 2 September 2010. Sila rujuk jadual kuliah yang ditetapkan oleh pihak akademik MARSAH.

4. Untuk makluman para pelajar, kelas 2 dan 3 mungkin akan digabungkan dalam satu bilik kuliah iaitu kelas saya dan Al-Ustaz/Al-Syeikh Mohd Saih Md Daud melainkan hari Jumaat.

5. Berkenaan dengan rujukan anda boleh menggunakan mana-mana bahan rujukan mengenai subjek Ulum Al-Quran. Antaranya buku pengantar Ulum Al-Quran oleh Dr. Rosmawati (Bahasa Melayu) dan Ulum Al-Quran oleh Manna' Qattan (Bahasa Indonesia). Buku bahasa Arab juga dialu-alukan untuk dijadikan rujukan bagi yang lebih mahir berbahasa Arab.

6. Untuk kelas saya (kelas 2 dan 3), sila bawa BUKU NOTA dan PEN kerana para pelajar perlu menulis setiap nota yang dibacakan oleh pensyarah. Nota akan diberikan berdasarkan kepada beberapa bahan rujukan sesuai dengan tahap pelajar peringkat kolej.

7. Walaubagaimanapun, setelah para pensyarah telah bermesyuarat mengenai buku yang perlu dijadikan rujukan utama untuk tujuan hafalan ialah buku Dr Rosmawati Ali (Pengantar Ulum Al-Quran). Para pelajar boleh membelinya di kedai buku yang berhampiran (di Badan Cemerlang Plaza Angsana).


8. Kaedah penilaian untuk subjek Ulum Quran ialah:
Midterm = 40 markah
Pembentangan = 25 markah
Ulasan Artikel = 25 markah
Kehadiran dan Sahsiah = 10 markah = 100 markah
Carry mark = (100/60)

Peperiksaan Akhir = (100/40)


9. Berikut adalah jadual kuliah subjek Ulum Al-Quran:

ISNIN HINGGA KHAMIS : 2.00 - 4.00 PETANG DI DEWAN KULIAH 1

JUMAAT : 10.00 - 11.00 PAGI (DI KELAS YANG AKAN DITETAPKAN)

Wednesday, August 11, 2010

AHLAN YA RAMADHAN...

SELAMAT BERPUASA DIUCAPKAN KEPADA SEMUA PELAJAR..
Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, saya mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pelajar. Bulan Ramadhan ialah bulan ibadah dan bulan untuk meningkatkan amalan umat Islam. Di dalam bulan ini juga Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan panduan kepada seluruh manusia. Oleh itu, kita perlu menambah lagi bacaan Al-Quran kerana bulan Ramadhan bukan sekadar berpuasa dari makan dan minum tetapi merupakan bulan Al-Quran.

Membaca Al-Quran samada tidak mampu memahami kandungannya tetap diberi pahala. Sekurang-kurangnya umat Islam mendapat satu alternatif yang dapat menghindari dari bercakap tentang perkara yang sia-sia. Pergerakan mulut ketika membaca, penglihatan mata ke arah ayat-ayat Al-Quran dan juga usaha membacanya dengan tajwid yang betul boleh kita katakan sebagai satu senaman fizikal dan mental pada bulan yang mulia ini.
Nabi Muhammad (selawat dan sejahtera ke atasnya) juga bertadarus dengan Malaikat Jibil dan Nabi Muhammad ialah orang yang paling baik dan paling mantap ketika menjalani ibadah puasa.

Pada kesempatan ini saya ingin memberikan beberapa amalan yang patut dilakukan ketika berpuasa antaranya:

1. Tidak meninggalkan sahur dan melewatkan waktu bersahur.
2. Memperbanyakkan bacaan Al-Quran samada secara tadarus (baca dan semak antara beberapa orang) atau secara individu.
3. Menyegerakan waktu berbuka.
4. Solat terawih.
5. Melakukan qiyamullail pada 10 malam ramadhan yang terakhir.


Firman Allah maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan kepada kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa" (Surah Al-Baqarah: Ayat 183)

Tuesday, August 3, 2010

SELAMAT BERCUTI sambil BELAJAR


Kepada semua pelajar MARSAH saya ucapkan selamat bercuti sambil belajar. Dalam tempoh percutian yang saya rasa agak singkat ini, mungkin ramai yang bekerja sambilan ataupun pergi berkelah bersama rakan-rakan yang lain. Walaubagaimanapun, saya harap para pelajar dapat mengisi beberapa jam untuk melakukan apa-apa sahaja aktiviti ilmiah dan amaliah.

Aktiviti ilmiah yang boleh kita lakukan ialah membaca buku yang lebih tinggi sedikit statusnya dari bahan bacaan yang lain seperti buku-buku selain dari buku hiburan. Pilih sahaja buku-buku tentang persoalan hukum contohnya, yang disajikan dalam bentuk yang santai dan lebih banyak grafik dan gambar seperti buku persoalan remeh-temeh tentang solat, puasa dan sebagainya.

Manakala aktiviti amaliah pula lebih menjurus kepada praktikal. Amali sebenarnya berasal dari bahasa Arab iaitu memperaktikkan sesuatu yang telah dipelajari. Bagi pelajar lelaki contohnya, anda boleh menjadi imam di masjid kampung anda dan memberi sedikit tazkirah bagi yang mampu. Ia melatih kita agar yakin apabila bercakap di hadapan khalayak.

Bagi yang tiada bakat ketika bercakap, anda boleh melakukan aktiviti dakwah amaliah melalui penulisan. Kadangkala penulisan ataupun pena lebih berkesan dari lisan. Anda boleh menulis artikel yang ringkas mengenai isu-isu masyarakat Islam. Untuk permulaan, elakkan dari menulis isu-isu yang kontroversi. Sebagai contoh mulakan dengan tajuk-tajuk berkaitan dengan kepentingan puasa dan kesihatan. Lagipun tidak lama lagi bulan Ramadhan bakal menjelang.

Kenali potensi anda. Jika anda lebih suka bercakap gunakan kupayaan anda. Jika anda lebih suka menggunakan non-verbal communication, pastikan ia digunakan pada tempat yang betul. Tiada sesiapa yang sempurna.

SELAMAT BER-'UTLAH DAN BER-IJAZAH (SELAMAT BERCUTI) 'UTLAH (عطلة) DAN IJAZAH (إجازة) IALAH PERKATAAN SEERTI DALAM BAHASA ARAB...

BERDAMPING DENGAN JIN? MENGAPA TIDAK DENGAN AL-QURAN? IA LEBIH BERMAKNA! Dapatkan buku yang diterjemahkan dan dimurnikan dalam b...