Saturday, July 24, 2010

ADA APA DENGAN ELLA?


Tulisan ini tiada kena mengena dengan Ratu Rock Malaysia Ella, atau nama sebenarnya Nor Zila binti Aminuddin yang berasal dari Klang, Selangor, tetapi tulisan ini cuba membawa para pelajar kepada tafsiran perkataan 'Illah (علة) dalam pelbagai perspektif kerana ella dan illah lebih kurang sebutannya. Tajuk di atas sekadar ingin menarik minat pembaca sahaja, tiada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Tulisan ini juga berstatus (U), sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Selama ini kita mendengar nama-nama artis terutamanya penyanyi dan pelakon bahkan kita menghafal setiap lirik dan lagu mereka dengan penuh khusyuk, jadi saya harap kita dapat luangkan masa untuk menerokai definisi 'illah yang mempunyai kaitan dengan subjek Bahasa Arab dan Ulum Al-Hadith.

Perbincangan tentang ilmu pengetahuan sebenarnya merupakan cahaya petunjuk kepada kita. Oleh itu, cerita tentang 'illah ini akan dijana melalui satu sinaran yang dibahagikan kepada 3 cahaya.

CAHAYA PERTAMA:
Dalam bahagian ini ia berkaitan dengan kandungan awal buku teks Bahasa Arab tahun 4 yang kita akan bincangkan dalam kuliah. Dalam buku teks tersebut, dua bentuk fi'il madhi dibincangkan iaitu fi'il madhi sohih dan fi'il madhi mu'tal. Fi'il Madhi Sahih ialah kata kerja berbentuk telah lepas yang tidak terdapat hurf 'illah di dalamnya. Manakala Fi'il Madhi Mu'tal ialah kata kerja berbentuk telah lepas yang terdapat hurf 'illah di dalamnya. Huruf 'Illah ialah huruf Alif, Wau dan Ya. Dari sudut bahasa perkataan Mu'tal secara langsung berkaitan dengan 'Illah. Huruf 'Illah ialah huruf yang cacat atau bermasalah apabila ditukarkan kepada fi'il mudhari'(kata kerja sedang berlaku).

Contoh yang paling mudah ialah perbezaan antara perkataan "Nazala" (turun) dan "Wa'ada" (janji). Nazala ialah fi'il madhi sahih sebab tiada huruf 'illah di dalamnya. Oleh itu apabila ia ditukarkan kepada fi'il mudhari' ia dapat dikiaskan seperti ini Nazala-Yanzilu ُنَزَلَ-يَنْزِل (dibandingkan dengan prinsip saraf: fa'ala-yaf'ilu فَعَلَ-يَفْعِل). Tetapi Wa'ada ialah fi'il madhi mu'tal kerana terdapat huruf Wau di dalamnya. Oleh itu ia menjadi Wa'ada-Ya'idu ُوَعَدَ-يَعِد bukan Wa'ada-Yau'idu ُوَعَدَ-يَوْعِد . Fi'il mu'tal seperti ini perlu dibiasakan dengan pembacaan kerana ia tidak boleh dikiaskan dari konsep asal pembahagian saraf dalam Bahasa Arab. Inilah dia maksud 'illah apabila ia dikaitkan dengan bidang bahasa.

CAHAYA KEDUA:
Cahaya yang kedua ini membawa kita kepada istilah 'illah yang digunapakai oleh ilmuwan dalam bidang ilmu hadith. Saya rasa anda masih ingat lagi beberapa syarat hadith sahih iaitu tiada syaz (percanggahan) dan tiada 'illah (kecacatan tersembunyi)dalam sesebuah hadith. 'Illah menurut ulama hadith ialah satu kecatatan tersembunyi yang menyebabkan hadith itu tidak dapat dinilai sebagi hadith sahih. Ia berbeza dengan syaz. Syaz ialah percanggahan seorang perawi hadith yang dipercayai dengan perawi-perawi lain yang dipercayai (thiqah). Manakala 'illah ialah kecacatan atau masalah yang dilakukan oleh perawi hadith yang thiqah seperti apabila seseorang perawi hadith yang thiqah itu melakukan kesilapan dalam meletakkan titik atau tidak meletakkan titik pada salah satu huruf perkataan dalam hadith yang menyebabkan maksud hadith berubah. Kesilapan yang dilakukan oleh perawi thiqah yang paling susah dikenalpasti oleh para ilmuwan hadith. Sebab itu banyak buku yang dihasilkan bagi menjejaki kesilapan yang dilakukan oleh perawi yang thiqah. Adapun hadith-hadith yang lemah dan palsu, ulama hadith tidak menumpukan kepada perbahasan yang panjang kerana untuk mengenali hadith palsu lebih mudah jika dibandingkan dengan hadith yang mempunyai 'illah dan disangka sahih disebabkan disampaikan oleh perawi yang thiqah. Diharap cahaya yang kedua ini memberi sedikit sinaran kepada pelajar mengenai maksud 'illah dalam bidang ilmu hadith.

CAHAYA KETIGA:
Bahagian ini pula akan membawa kita ke arah maksud 'illah di kalangan ulama usul fiqh (iaitu sarjana Islam yang terlibat dalam soal hukum dan perundangan Islam). Dalam bidang usul fiqh 'illah juga dikenali sebagai sebab (penyebab), petunjuk, pembawa dan pemberi kesan. Bagi pelajar yang sudah mengambil subjek usul fiqh, sesetengah buku akan mendefinisikan maksudnya dan menyatakan pembahagian- pembahagiannya. Anda boleh merujuk buku-buku yang berkaitan dengan maksud dan perbahasan 'illah dengan lebih lanjut. Sebagai contoh yang ringkas. 'Illah atau sebab diharamkan arak dan judi ialah ia akan menjaga akal manusia dari membuat kerosakan dan permusuhan sesama manusia. Contoh yang lain pula ialah bermusafir ketika bulan ramadhan merupakan 'illah (sebab) kita dibolehkan berbuka dan memendekkan solat. Hikmahnya ialah untuk mengelakkan kesulitan.

Begitulah sifat perkataan dalam Bahasa Arab yang perlu kita dalami bersama. Satu perkataan digunakan dalam pelbagai perspektif dan konteks. Inilah dia keunikan yang boleh dapati dalam bahasa Arab. Ia menunjukkan tiada sesiapa yang boleh melakukan penafsiran sesuka hati mengenai nas-nas Islam melainkan dia mempelajari Bahasa Arab dengan mendalam. Diharapkan ketiga-tiga gabungan cahaya tadi telah memancarkan satu sinaran yang berupaya menerangi segenap kegelapan yang menutup pandangan kita terhadap istilah-istilah yang hanya dihafal tanpa difahami. Dan cahaya Allah meliputi segala-galanya.

FIRMAN ALLAH DI DALAM SURAH AL-SAFF AYAT 8: "Dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

No comments:

Post a Comment

BERDAMPING DENGAN JIN? MENGAPA TIDAK DENGAN AL-QURAN? IA LEBIH BERMAKNA! Dapatkan buku yang diterjemahkan dan dimurnikan dalam b...