Friday, July 16, 2010

KEMAHIRAN MEMBACA DAN PSIKOLINGUISTIK


Syabas kepada pelajar kelas bahasa Arab yang telah memulakan pembentangan walaupun ada kelas lain yang masih tidak menepati jadual pembentangan. Dalam post kali ini, saya akan menterjemahkan cara mengukuhkan kemahiran membaca untuk menunaikan permintaan beberapa pelajar kelas bahasa Arab.

BEBERAPA LANGKAH MEMPERTINGKAT KEMAHIRAN MEMBACA DI KALANGAN PELAJAR:

(Langkah-langkah yang akan disebutkan ini dikhususkan untuk meningkatkan pelajar yang kita ajar, sila rujuk nota kuliah yang ketiga untuk rujukan dalam bahasa Arab):

1. Melatih pelajar membaca sesuatu petikan dengan pembacaan yang memberikan maksud, dengan megambil kira pergerakan tangan, ekspresi muka dan pandangan mata ke arah teks. Dari sini, pentingnya pembacaan yang betul oleh pengajar bahasa Arab khususnya sebagai contoh untuk diikuti oleh pelajar dalam setiap peringkat pembelajaran.

2. Mementingkan pembacan secara senyap dahulu kerana seseorang pelajar tidak akan dapat menyampaikan pembacaan yang baik kecuali setelah memahami kandungan teks atau petikan. Oleh itu, pelajar mestilah membaca petikan yang diberikan secara silence reading dan diawasi oleh kita setelah kumpulan pelajar dibahagikan. Kita juga perlu membincangkan perkara yang tidak difahami oleh pelajar sebelum memulakan pembacaan secara kuat/terang.

3. Membincangkan perkataan-perkataan baru dengan menggunakan lebih dari satu cara, kita tidak boleh terus menterjemahkan kepada bahasa ibunda kita. Berikut adalah cara-cara menerangkan perkataan baru:

a. Menggunakan perkatan baru dalam bentuk ayat.
b. Menggunakan perkataan seerti (sinonim).
c. Menggunakan perkataan berlawanan (antonim).
d. Melakonkan sesuatu perbuatan.
e. Melukis di atas papan hitam/putih.

Cara-cara yang disebutkan di atas bukan sahaja dibuat oleh pengajar, tetapi ia perlu dipraktikkan oleh pelajar juga dan dibincangkan di dalam kelas. Terdapat juga cara yang lain iaitu menggunakan gambar yang boleh dilihat samada gambar bergerak atau statik untuk menerangkan sesuatu objek atau sifat. Menggunakan gambar hanya dilakukan oleh kita sahaja.

PSIKOLINGUISTIK:

Istilah yang disebutkan di atas sebenarnya mempunyai kaitan dengan tajuk pembentangan kelas kita. Cara berfikir orang dewasa dan kanak-kanak/remaja, memerlukan kaedah tersendiri untuk disampaikan kepada mereka tentang sesuatu ilmu atau pengetahuan. Cara pelajar lelaki dan perempuan belajar bahasa kedua atau bahasa Arab secara khusus juga merupakan antara cabang psikolinguistik. Secara ringkas Psikolinguistik ialah:

Kajian tentang faktor-faktor psikologi dan neurobiologi yang membolehkan manusia untuk mendapatkan, menggunakan, memahami dan menghasilkan bahasa. Penyelidikan moden yang menggunakan biologi, Neuroscience, ilmu kognitif, linguistik, dan teori maklumat untuk mempelajari bagaimana otak memproses bahasa merupakan salah satu cabang bidang ini. Ada sejumlah subdisiplin dengan teknik non-invasif untuk mempelajari cara kerja saraf otak, contohnya, neurolinguistics yang menjadi satu pecahan yang lain dalam bidang psikolinguistik.

Cara lelaki dan wanita berfikir sebagai contoh, berbeza antara satu dengan yang lain berdasarkan kajian mengenai fungsi otak kanan dan kiri. Sebagai contoh, kedua-dua otak wanita mempunyai ruang emosi, manakala ruang emosi hanya terdapat pada salah satu bahagian otak kaum lelaki. Selain dari itu, perempuan lebih cepat ingat dari lelaki iaitu otak kiri wanita masih boleh menyimpan ingatan setelah 10 minit berlalu, manakala golongan adam biasanya akan lupa sesuatu yang dipelajarinya setelah 10 minit berlalu. Begitu juga dalam pengajaran bahasa Arab peringkat dewasa dan rendah, ia memerlukan kaedah yang sesuai dan pendekatan yang betul supaya objektif dan pembelajaran berjalan dengan berkesan. Sebab itu kita mendapati terdapat sesetengah sekolah yang dikhaskan untuk lelaki sahaja berdasarkan kaedah pengajaran yang sesuai dengan tabiat mereka. Seperti sekolah yang dikhaskan untuk pelajar perempuan. Contohnya Maa'ahad Lil Banin (Lelaki) dan Lil Banat (Perempuan) di Kelantan dan English College (bagi lelaki) serta Sekolah Tun Fatimah (bagi perempuan) di Johor.

Psikolinguistik juga ialah pecahan daripada ilmu yang dinamakan sebagai APPLIED LINGUISTIC (LINGUISTIK GUNAAN). Daripada Applied Linguistic ini terbahaginya bidang-bidang berkaitan dengan bahasa iaitu:

a. Linguistik Am.
b. Pengajaran Bahasa Kedua/Asing.
c. Psikolinguistik.
d. Sosiolinguistik.
e. Geolinguistik.
f. Komputer dan Bahasa.
g. Neurolinguistik.
h. Terjemahan.
i. Analisis Perbandingan Antara Bahasa dan Analisis Kesalahan Bahasa.

Saya menyenaraikan bidang-bidang bahasa di atas untuk menarik minat para pelajar sekelian agar dapat memilih salah satu bidang tersebut untuk tujuan menyambung belajar pada peringkat Ijazah. Saya syorkan Bidang Pendidikan dan Psikologi (Psikolinguistik) atau Bidang Pendidikan dan Komputer untuk dipelajari pada masa-masa akan datang. Seterusnya bidang-bidang yang kritikal seperti Terjemahan dan Geolinguistik atau Sosiolinguistik djadikan bidang oleh para pelajar sekelian untuk menyambung Program Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (Ph.D).

MUHASABAH UNTUK SEMUA: Proses pembelajaran bukan terhenti setakat peringkat Diploma atau Doktor Falsafah, tetapi ia merupakan proses sepanjang hayat yang sentiasa berterusan sehingga kita meninggal dunia.

No comments:

Post a Comment

BERDAMPING DENGAN JIN? MENGAPA TIDAK DENGAN AL-QURAN? IA LEBIH BERMAKNA! Dapatkan buku yang diterjemahkan dan dimurnikan dalam b...